NAMANYA mungkin sudah tidak sehebat ketika zaman kegemilangannya pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an pada era demam pop yeh-yeh melanda Malaysia dan Singapura. Namun Kamsiah M. Ali tetap diingati dan diminati sehingga kini. Ketika itu beliau merupakan antara penyanyi pop yang diminati sebaris dengan penyanyi seangkatan seperti Fatimah M Amin, Fatimah HS, Azizah Mohamad, Afida Es, Siti Zaiton dan Sanisah Huri. : KitaReporters 


KAMSIAH M. ALI penyanyi pop yeh-yeh popular pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an.


Lagi cerita-cerita berkaitan pop yeh-yeh:

https://kitareporters.com/search?search=yeh-yeh


Kini penyanyi berusia 76 tahun berasal dari Taiping itu itu tidak lagi aktif menyanyi, sebaliknya lebih banyak meluangkan masa lapang bersama keluarga dan membuat kerja-kerja rumah.

Ketika ditemui di kediamannya di Air Kuning, Taiping, Kamsiah memberitahu, sekali sekala ada juga beliau menyanyi pada majis perkahwinan atau keraian sebagai memenuhi permintaan rakan-rakan yang rindukan suaranya.

“Saya menyanyi untuk tidak menghampakan mereka, terutama kawan-kawan dan peminat saya,” katanya.

Menurut beliau, ini adalah satu cara menghargai rakan dan peminat yang banyak membantu beliau dalam kerjaya seninya. Pada masa sama juga ia dapat melepaskan kerinduannya untuk menyanyi.

Selain itu, Kamsiah lebih banyak menghabiskan masa berehat di rumah, melayan anak cucu serta mengikuti ceramah dan kelas agama di surau.


KULIT album piring hitam Kamsiah M. Ali dan M. Osman bersama The Siglap Boys. Antara lagu popular dalam album ini ialah 'Joget Si Burung Senja'. - Kredit foto: YouTube



Kamsiah minat menyanyi sejak kecil dengan menyanyi pada majlis-majlis perkahwinan. Majlis seperti inilah menjadi tapak beliau mengasah bakat seni.

Ternyata memang bakatnya besar. Dia berjaya menjuarai pertandingan Bintang Radio Kawasan Utara pada 1963

Ekoran kemenangan itu kerjaya seninya semakin bersinar. Beliau sering menerima tawaran menyanyi pada pertunjukan pentas sekitar Taiping dan tempat lain.

Kejayaannya menjadi juara dan bintang seninya yang semakin bersinar akhirnya membuka laluan kepada beliau menjadi artis rakaman. Kamsiah merakamkan lagu ke piring hitam di Singapura pada 1966.

Ditanya bagaimana beliau berpeluang ke Singapura, Kamsiah memberitahu, orang yang bertanggungjawab membawa beliau ke sana ialah adik iparnya sendiri iaitu biduan pelopor pop yeh-yeh, Megat Osman Muhammad atau M. Osman.

Ketika itu Kamsiah sudah pun berkahwin dengan Megat Ali (M. Ali) seorang pegawai di Penjara Taiping pada 1963. M. Ali ialah abang M. Osman. Nama Kamsiah M. Ali adalah sempena namanya dan nama suaminya.

Lagu rakaman Kamsiah adalah ciptaan dan lirik oleh M. Osman, yang juga suami kepada penyanyi Afida Es. Rakaman pertama ialah bersama kugiran The Siglap Boys. Beliau juga merakamkan lagu dengan iringan kugiran The Clans.

Antara lagu popular Kamsiah ialah Sayang Selintas, Pertanyaanku dan Joget Burung Senja  berduet dengan M. Osman.

Beliau kemudian menjadi penyanyi kugiran The Tornadoes di Taiping dan turut merakamkan lagu ke piring hitam. Antara lagu popular beliau bersama kumpulan ini ialah Batik Malaysia.


KAMSIAH bersama suami, M. Ali pada awal perkahwinan mereka. - Gambar ihsan Kamsiah M. Ali.



Kamsiah memberitahu, pendorong kejayaannya dalam dunia seni ialah suaminya sendiri yang banyak memberi semangat dan bantuan dalam mengharungi kerjaya seni penuh mencabar.

Suami yang dikasihi pergi meninggalkan beliau pada 1987. Pemergiannya ibarat patah dahan tempat bergantung yang selama ini memberi kekuatan dan perlindungan kepada beliau.

Dengan pemergian suaminya, Kamsiah tidak lagi aktif menyanyi dan banyak menumpukan masa membesarkan dua anak perempuan. Beliau tidak berkahwin semula sehingga kini.

Jika dahulu masanya banyak tertumpu kepada rakaman piring hitam atau pertunjukan pentas, kini beliau menumpukan masa menguruskan rumah, meluangkan masa bersama anak dan cucu.

Katanya, memang dari dahulu pun beliau tidak suka berjalan-jalan. Jika tiada rakaman atau pertunjukan pentas beliau dan suami lebh banyak menghabiskan masa di rumah.

Bagi Kamsiah, beliau bahagia dengan kehidupannya sekarang. Kegemilangan masa lalu kini hanya kenangan yang tetap terpahat dalam hati. - KitaReporters


KAMSIAH M. Ali kini menumpukan masa menguruskan keluarga serta melayan anak cucu.  

           

ENDS.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

0
0
0
0
0

Copy Link: