KISAH bahtera Nabi Nuh dan banjir besar yang melanda kaumnya amat masyhur dalam kalangan umat Islam. Baginda berdakwah siang malam agar kaumnya mengesakan Allah. Namun kaumnya enggan menerima, malah memperlekeh dan mencabar Allah mendatangkan azab buat mereka sedangkan Allah telah pun memberi pelbagai nikmat. : KitaReporters


MASJID Al Safinatun Najah di Semarang bagai bahtera di atas lautan (kiri) sementara seorang pengunjung asyik menghayati keindahannya. - Kredit foto: Merdeka.com


Lagi cerita-cerita berkaitan Indonesia:

https://kitareporters.com/search?search=indonesia


Kerana keingkaran dan kekufuran kaumnya, Allah memerintahkan Nabi Nuh membina bahtera besar di kawasan tinggi, jauh dari laut. Kaumnya menganggap Nabi Nuh gila.

Allah kemudian menurunkan azab hujan lebat sehingga menyebabkan banjir paling besar, menenggelam dan memusnahkan umat yang ingkar. Nabi Nuh dan pengikut setia beriman terselamat kerana menaiki bahtera.

Setelah banjir surut, bahtera dikatakan berlabuh di satu kawasan. Tidak diketahui di mana bahtera ini berlabuh walau pun para pengkaji menjangka ia terdampar di Banjaran Ararat antara Turki dan Armenia. Namun tiada siapa yang pasti atau bukti ditemukan.


DIBINA dalam kawasan sawah dan pepohon menghijau, Masjid Al Safinatun Najah memang sejuk mata memandang , ditambah dengan reka bentuknya yang unik. - Kredit foto: Instagram



Tetapi tahukah anda terdapat sebuah masjid di Indonesia yang dibina mengambil sempena bahtera Nabi Nuh ini? Masjid yang bernama Masjid Al Safinatun Najah ini terletak di Podorejo, Semarang, Jawa Tengah.

Kerana sifatnya yang unik berbentuk bahtera Nabi Nuh, masjid ini bukan sahaja menjadi kebanggaan penduduk setempat tetapi menjadi daya tarikan pelancong dari  tempat lain.

Memetik laporan AyoSemarang.com, masjid ini yang dibina dalam kawasan dikelilingi sawah luas mata memandang, berdiri di tengah kolam dan seolah-olah bahtera terapung di lautan.

Masjid ini mempunyai tiga tingkat. Pada tingkat pertama terdapat pelbagai kemudahan awam seperti tempat wuduk dan bilik air. Tempat solat pula ialah di tingkat dua. Tingkat tiga masjid yang mula dibina pada 2014 ini pula dijadikan perpustakaan untuk kegunaan mereka yang ingin membaca atau membuat rujukan.

Selain itu disediakan juga ruang klinik kesihatan untuk orang ramai, pejabat pengurusan masjid dan lembaga pendidikan Al-Quran. 


MASJID berkonsep bahtera Nabi Nuh menjadi kebanggaan penduduk Semarang serta daya tarikan pelancong luar. - Kredit foto: Instagram.


Kerana keunikan masjid ini ia bukan sahaja menjadi tempat solat tetapi juga menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar Semarang khusus untuk melihat sendiri keindahannya serta mengabadikan foto berlatar belakang masjid unik itu.

Dari bandar Semarang perjalanan ke tempat ini mengambil masa lebih kurang 45 minit melalui kawasan sawah dan perkebunan. Sungguh menarik pemandangan di sepanjang perjalanan ini dengan padi dan tanaman menghijau sejuk mata memandang.

Masjid Al Safinatun Najah ini bagaikan bahtera besar lengkap dengan jendela bulat, buritan dan haluan. Dibina di atas kawasan 7,500 meter, luas bangunan ialah 2,500 meter persegi.

Reka bentuk dalaman masjid bahtera ini juga menarik seperti keindahan binaan luar. Ada jendela besar disediakan untuk membolehkan pengunjung menyaksikan pemandangan indah di sekeliling dari dalam masjid.

Jika berpeluang ke Semarang nanti, bolehlah berkunjung ke masjid unik ini. Pastinya ia satu pengalaman sukar dilupakan. - KitaReporters


1
0
0
0
1

Copy Link: