Dalam kita menjalani tempoh PKP 3.0 ini dengan banyak masa dihabiskan di rumah tentunya kerinduan terhadap orang tersayang sama ada suami isteri mahu pun kaum keluarga dan sahabat yang jauh di mata sentiasa menjentik sanubari ya tak?

Sehubungan itu apa kata dengar single terbaharu berjudul ‘Sayang Aku Tanya Apa Khabar’ hasil kolaborasi sulung penyanyi dan komposer muda, Zynakal bersama vokalis terbaik tiga kali pada AJL, Dayang Nurfaizah.

Mesti korang tertanya-tanya dalam hati, kenapa perlu dengar kan?

“Lagu ini saya hasilkan apabila membayangkan situasi semasa sekarang di mana PKP menghalang pertemuan bagi mereka yang berjauhan dengan orang tersayang termasuklah ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, rakan-rakan dan sesiapa sahaja, Kiranya lebih kepada kasih sayang dan kerinduan,” jawab Zyn atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli dalam wawancara media secara maya bersama Dayang Nurfaizah pada 6 Ogos 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan single terbaharu


Zynakal (atas) dan Dayang Nurfaizah ketika diwawancara secara maya.


Lebih mesra disapa Zyn, penyanyi muda berusia 23 tahun ini memberitahu, lagu tersebut sebenarnya dihasilkan secara suka-suka pada tahun lepas (2020) malah sudah ditayangkan dalam saluran YouTube, namun selepas beberapa bulan, baru ada yang mencadangkan ia dikomersialkan.

“Kebetulan Def Jam Malaysia muncul dengan idea untuk menampilkan Dayang Nurfaizah sebagai rakan duet dalam lagu ini. Alhamdulillah, kali pertama Dayang mendengar lagu ini dia terus suka, jadi saya pun buat susunan semula lagu pada awal tahun ini (2021),” cerita Zyn yang tidak menjangka impiannya untuk berkolaborasi dengan penyanyi berpengalaman seperti Dayang Nurfaizah menjadi kenyataan.

Berbeza daripada kebanyakan tema lagu ciptaannya sebelum ini, Zyn berkata tema cinta dan kasih sayang kali ini disesuaikan dengan keadaan semasa dilalui ramai orang.

‘Dari segi luaran lagu itu kedengaran macam lagu cinta tapi dalamannya mengenai mereka yang berjauhan dan sedang memendam perasaan rindu untuk sesiapa sahaja,” jelas Zyn sambil dipersetujui Dayang yang turut mengakui rasa puas apabila dapat menjalinkan kerjasama dengan karyawan muda seperti Zyn.



“Pertama kali mendengar melodi lagu ini Dayang dah suka dan bersetuju untuk berduet dengan Zyn apatah lagi liriknya bersahaja dan ada kaitan dengan keadaan yang kita alami sekarang ini,” sambung Dayang yang merindui untuk pulang ke kampung halamannya di Kuching untuk bertemu sanak saudara sambil bersyukur ibu bapanya ada bersamanya di Kuala Lumpur.

Selain itu kata Dayang, berduet dengan artis-artis muda antara ‘wish list’ yang menjadi keutamaannya kerana banyak yang beliau sendiri dapat belajar dari mereka.

“Artis muda baik penyanyi atau komposer apa yang saya ‘admire’ mengenai mereka adalah idea dan kreativiti dalam berkarya. Cara mereka bekerja terutama, saya sendiri berasa banyak perkara yang saya boleh belajar daripada mereka. 

“Jadi, seronok sangat dapat bekerjasama dengan Zyn. Dia antara yang sangat senang dan mudah bekerjasama. Paling penting bagi saya, kalau nak berkolaborasi kunci utamanya adalah senang untuk diajak berbincang,” ulas pelantun ‘Belagu’ ini selanjutnya.

Tambah  Dayang, beliau cuma melakukan dua kali sesi rakaman dan tidak mengambil masa lama memandangkan ada persefahaman antara dia dan Zyn apatah lagi Zyn mudah menerima ideanya bagi penambahbaikan lagu.  

“Alhamdulillah, proses rakaman lancar. Tidak ada yang susah walaupun pertama kali bekerjasama dengan Dayang. Lagi pula dia cepat dapat apa yang saya ingin sampaikan dalam lagu ini. Improvisasi yang dibuat Dayang pada lagu ini juga kena dan boleh diterima,” sambung Zyn mencelah. 


Foto kredit IG @dayangsayangkamu.


Baik Zyn mahu pun Dayang, keduanya berharap agar peminat menyukai karya duet pertama kali mereka itu.

“Saya harap peminat suka dan dapatlah terubat rasa rindu bila mendengar lagu ini dan tidaklah rasa bersendirian sebab semua mengalami perasaan sama ketika ini,” sambung Dayang.

Dalam masa sama, Dayang menyifatkan Zyn antara penyanyi dan komposer muda yang perlu diberikan perhatian. 

“Bagi saya, Zyn seorang penyanyi dan komposer yang berbakat. Kalau dia diberi peluang dan ‘guide’ yang betul, insya-Allah dia boleh pergi jauh dalam industri muzik tanah air,” akui Dayang.



Menariknya, dari segi 'Master' lagu terbitan Def Jam Malaysia ciptaan bersama Zyn, Nobita dan Chaan serta lirik oleh Zyn sendiri itu mendapat khidmat Idania Valencia yang pernah terbabit dalam penghasilan lagu untuk penyanyi antarabangsa, Sam Smith dan Shawn Mendes di Sterling Studio di Amerika Syarikat. 

Malah pada bahagian ‘Mixing’ pula ia memperoleh sentuhan penerbit dan penata muzik terkenal Indonesia. Ari Renaldi, pemenang 13 kali pada Anugerah Musik Indonesia antaranya ‘Best Sound Production Team’, ‘Best of The Best Album (Producer)’ dan ‘Best Mix Engineer’.

Ari juga banyak menerbitkan lagu-lagu dan album penyanyi terbaik Indonesia seperti Tulus, Ungu,  Yura Yunita dan ramai lagi.

Tentu berkualiti sangat hasilnya lagu ini kan? Jom kita dengar lirik video rasminya, terutama sekali bagi pasangan suami isteri jarah jauh untuk mengubati rindu, tertarik  tak? - KitaReporters


2
0
0
1
0

Copy Link: