Video| Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa pasti havoc! Imbau memori Aidilfitri di kampung!
Published byKampong Pisang Musikal Raya Istimewa dapat ditonton menerusi Astro First pada 27 Mei 2021.
BAGI pengikut setia Mamat Khalid yang sinonim dengan cerita jenama Kampong Pisang, pasti terhibur kerana kali ini pengarah itu menghasilkan filem muzikal pula.
Penghasilan
filem muzikal kerana kejayaannya sebelum ini menerusi Kampong Pisang
Bersiri-Siri yang disiarkan pada Disember 2020 dan diikuti pula dengan 18 Puasa
Di Kampong Pisang yang ditayangkan pada Ramadan 2021 lepas.
Apa yang
pasti, penonton tidak jemu menonton karya arahan Mamat kerana ia berkualiti,
elemen komedi, konten segar yang berbeza darpada kebiasaan dan kekuatan setiap
watak sehingga menjadi bualan ramai.
Justeru itulah, Astro dan pengarah tersohor berkenaan, tidak teragak-agak untuk menghasilkan filem baharu daripada francais Kampong Pisang. Penerbitan filem berkenaan, diharap dapat menghiburkan penonton melalui jenaka dan jalan cerita yang santai.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Mamat Khalid
Semua pelakon dalam filem ini menunjukkan kebolehan sebagai penyanyi.
Ramadan 1442 lalu,
penonton menyaksikan telatah dan pengajaran daripada penduduk Kampong Pisang
yang tidak berpuasa, istimewa Syawal ini penonton dihidangkan dengan gelagat
mencuit hati mereka dalam persiapan Hari Raya Aidilfitri menerusi filem Kampong
Pisang Musikal Raya Istimewa.
Filem yang
menampilkan 10 buah lagu malar segar yang didendangkan oleh barisan pelakon Kampong
Pisang, boleh ditonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula
27 Mei 2021.
Kesemua lagu yang terdapat dalam filem ini adalah lagu popular hari raya dan juga lagu hit sekitar 1990-an yang mampu membuat penonton sama-sama menyanyi semasa menontonnya. Malah, setiap nyanyian turut diiringi dengan tarian oleh setiap watak yang tidak pernah penonton lihat sebelum ini.
Watak Husin kembali ke Kampong Pisang bersama kekasih baharu.
Antara lagu
yang pasti mengimbau kenangan penonton adalah Cahaya Di Aidifitri (Kazar Saisi,
Dewa Sapri, Mok Ram & Nazeera Sardi), Pulang (Joey Daud), Suasana Hari Raya
(Yah Kuchei & Aziz M Osman), Doa Di Hari Mulia (Yah Kuchei), Selamat Hari
Raya (semua barisan pelakon), Halaman Asmara (Kaka Azraff & Datuk Awie), Di
Persimpangan Dilema (Nazeera Sardi), Kekasih Awal Dan Akhir (Awie) Belaian Jiwa
(Bell Ngasri), dan Pantun Budi (Mat London, Awie, Mok Ram, Ahmad Yassin).
Masih
mengekalkan barisan pelakon utama Kampong Pisang seperti Kazar Saisi, Aziz M
Osman, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin, Afea Deana, Joey Daud,
Nazeeera Sardi, Avaa Vanja dan Yoep Hitler.
Cuma kali ini Awie kembali sebagai teraju utama serta watak-watak baharu yang digerakkan oleh penyanyi dan pelakon Kaka Azraff, Imuda serta penampilan istimewa oleh Siti Elizad Sharifuddin dan Raja Azmi.
Bagi edisi
Aidilfitri, ia menyaksikan setiap watak mempunyai konflik dan dilema masing-masing dalam menyambut Hari Lebaran. Ia bermula apabila seluruh penduduk
Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti masak-masak, sehari sebelum
raya.
Husin kembali ke kampung bersama kekasih baharu, Nelly sehingga Cik Chun cemburu dan merajuk kerana cintanya ditolak. Manakala Barkoba dikejutkan dengan kehadiran bekas kekasih yang pernah tinggalkannya dahulu kerana berkahwin dengan lelaki berpangkat pengurus kilang.
Pak Din pula sedih kerana anaknya tiba-tiba tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersamanya. Cik Purnama membawa beg pakaian dan tilam ke mana-mana kerana kesunyian.
Pak Karim dan Kak Som hiba kerana ini kali pertama beraya tanpa anak mereka yang telah tiada. Serta Daud M yang perlu bekerja pada malam raya bagi penghantaran barang-barang buat penduduk Kampong Pisang yang membeli barang dalam talian.
Watak Barkoba lakonan Bell Ngasri, kali ini kecewa kerana kekasih lama kembali ke kampung.
Daya tarikan
lain filem ini adalah babak-babak yang dipersembahkan mengimbau memori sambutan
Aidilfitri di kampung dan serta tonjolkan perubahan sambutan dan tradisi hari raya pada zaman dahulu dan masa kini.
Antaranya
nostalgia rumah yang dihias dengan pelita panjut dan kad hari raya, bersama
jiran tetangga menyediakan juadah Aidilfitri, kanak-kanak bermain pada malam raya
dan banyak lagi.
Menurut pengarah Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa, sempena Aidilfitri, beliau yakin ramai yang ingin bergembira meskipun ketika ini beraya dalam keadaan norma baharu.
Kebanyakan filem arahan Mamat Khalid sering mendapat sambutan hangat.
“Menerusi filem ini, saya himpunkan lagu-lagu yang dekat dengan penonton ke dalam sebuah filem agar sedikit sebanyak dapat menceriakan hari mereka dengan berhibur serta mengembalikan nostalgia dan memori pada Hari Lebaran.
“Istimewanya filem ini, ia turut menyelit cerita cinta dan semangat bermasyarakat pada hari raya yang sudah berbeza jika dibandingkan zaman dulu hingga zaman moden masa kini.
“Saya harap kehadiran filem ini mampu tunjukkan kepada generasi masa kini tentang suasana dan berkasih sayang di hari raya,” kata Mamat penuh harapan.
Jalan cerita Kampong Pisang Musikal Istimewa dekat dengan hati penonton.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, jenama Kampong Pisang semakin kukuh dan sinonim dengan penonton serta peminat karya tempatan di Malaysia.
Ia terbukti apabila francais tersebut hangat diperkatakan oleh masyarakat serta penggiat seni tanah air sejak ia diperkenalkan menerusi filem, kemudian dibawa melalui drama premium Kampong Pisang Bersiri-Siri dan bersambung dengan filem di platform Astro First seperti 18 Puasa Di Kampong Pisang.
“Kami yakin karya pengarah Mamat Khalid sentiasa dinantikan dan apa yang kami boleh kongsikan, sudah pasti akan ada lebih banyak kerjasama di antara pihak kami dan beliau dalam menghasilkan karya yang mampu menghiburkan penonton Malaysia sepanjang berada di rumah lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini.
“Jadi, kali
ini kami bawakan sebuah filem bertemakan hari raya dan lebih uniknya ia adalah
filem pertama daripada francais Kampong Pisang yang berkonsepkan muzikal. Bagi
kami sutradara Mamat sentiasa mempunyai
idea kreatif dalam menghasilkan karya,” katanya.
Malah Raja Jastina juga berkata, pihak Astro sentiasa terbuka dalam memberi sokongan penuh kepada pengkarya di Malaysia dengan menyediakan platform untuk kembangkan kreativiti mereka agar dapat disampaikan kepada penonton serta memeriahkan lagi industri filem tanah air. - KitaReporters