YANG di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan untuk menyampaikan titah pada majlis Anugerah SAM-100Plus 2019 melalui rakaman video. Majlis rakaman titah ini dilangsungkan di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini, Selasa 11 Ogos 2020. : KitaReporters

Kredit foto-foto: Ihsan SAM


Lagi cerita-cerita berkaitan SAM:

https://kitareporters.com/search?search=penulis+sukan


Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Jasni Shafie berkata, rakaman titah ucapan baginda akan disiarkan kepada hadirin ketika majlis Anugerah SAM-100Plus 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 1 September 2020 di Auditorium Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Turut hadir bersama dalam majlis rakaman ini ialah Dato’ Kamal Harun, Konsultan F&N iaitu penaja utama anugerah berprestij ini.


Menurut satu kenyataan media, SAM amat menyanjung tinggi dan menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan titah ucapan ini, yang pastinya suatu amanat yang amat dinanti-nantikan oleh pengamal media sukan dan atlet negara kita.

Pada majlis yang sama pada tahun 2019 lalu yang juga disambut sempena meraikan Ulang Tahun Ke-50 tahun penubuhan SAM, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, telah mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan.

Majlis Anugerah SAM-100 Plus kali ini akan dilangsungkan dalam skala kecil dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dari Kementerian Kesihatan (KKM) ekoran penularan wabak Covid 19. Hanya calon akhir kategori kewartawanan sukan, atlet dan beberapa wakil persatuan-persatuan sukan serta ahli SAM sahaja dijemput menghadiri majlis anugerah kali ini.


"Walaupun begitu, prestij anugerah ini akan tetap kekal dengan hadiah kepada pemenang tidak berubah. Lebih bermakna ialah apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan titah ringkas melalui rakaman video yang disempurnakan hari ini. Pastinya inti pati yang disampaikan dalam titah itu akan menjadi sesuatu yang dinanti oleh semua kita,’’ kata Jasni sambil menambah Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican dijangka hadir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: