Apakah anda tergolong dalam kelompok yang memerlukan bantuan atau pun mengetahui ada individu yang susah dan perlu ditolong?

Sekiranya ada, apa kata mengunjungi laman Instagram The Giving Bank (TGB) dan sertai projek ‘Live to Give’ di mana TGB bersama anggota kumpulan penyanyi wanita yang kini sedang meningkat popular, Dolla (gambar atas) menjalinkan kerjasama dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Melalui projek yang dinamakan 'The Giving Bank X Dolla', empat individu yang layak diberikan bantuan dicari, terutama mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sehingga ada yang hilang punca pendapatan, tidak kurang juga yang terpaksa mencari alternatif lain bagi menampung kehidupan seharian.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan penyanyi


“Menyedari ramai yang tidak mempunyai informasi tepat dan tempat untuk mencari mereka yang memerlukan bantuan sumbangan, 'The Giving Bank X Dolla' ini adalah platform untuk mereka merealisasikan perkara itu,” ujar pengasas dan Presiden TGB, Dr Janson Ang Chee Wee (gambar atas). 

Menurut beliau,  setiap agama mengajar pengikutnya untuk memberi dan berkongsi malah dalam beramal tidak ada kelebihan. 

“Negara ini tidak akan menjadi tempat yang baik untuk kita tinggal melainkan kita menjadikannya tempat yang baik untuk kita semua tinggal,” ulas  Dr. Janson.

Beliau berpendapat ada kitab suci dari semua kepercayaan yang sebenarnya mengajar kita untuk memberi dan berkongsi.



Sementara  itu, Dolla melahirkan rasa teruja mereka berpeluang bersama TGB berkongsi dalam projek amal sedemikian.

Mewakili Dolla, Sabrina atau Sabronzo berkata, projek itu adalah peluang terbaik buat dirinya bersama tiga rakan kumpulan lain iaitu Tabby, Angel dan Syasya untuk membantu menjayakan projek CSR itu.

"Kami pun tak selalu dapat peluang seperti ini, jadi kesempatan yang ada ini bakal digunakan sebaik mungkin. Sekurang-kurangnya dengan usaha yang dijalankan ini ia dapat membantu dan mengubah nasib mereka yang susah,” tambah Sabronzo sambil memuji langkah TGB menyedaikan platform sebegini khususnya dalam membantu golongan memerlukan dalam keadaan negara masih dilanda penularan COVID-19 ini.

Sehubungan itu, Dolla mengajak orang ramai untuk bersama-sama mereka mengenal pasti dan membantu golongan terbabit.

“Di pihak Dolla, kami akan mencari empat individu yang layak menerima bantuan. Cuma, tugas peminat dan orang ramai pula adalah mereka juga boleh pergi ke ruangan komen dengan memberikan informasi mana-mana individu yang mereka tahu sedang memerlukan bantuan,” ujar Dolla.

Dari situ, tambah mereka, mungkin pengguna laman sosial lain yang ingin turut serta dapat menghulurkan bantuan. 

Pendek kata, hanya dengan komen, anda dapat membantu. 




Terdapat empat cara mudah untuk orang ramai terbabit dalam 'The Giving Bank X Dolla'. 

Langkah pertama mereka perlu ‘follow’ Instagram 'The Giving Bank'. Kedua, tekan butang ‘like’ pada hantaran atau ‘posting’ dimuat naik dan ketiga, sebut nama individu yang mereka rasakan layak menerima bantuan manakala terakhir, kongsikan hantaran dimuat naik TGB itu ke Instagram Story masing-masing.

Jelas Dolla, apa yang paling penting ketika ini adalah setiap orang perlu bersabar dan sentiasa kuatkan diri untuk terus bertahan.

“Diakui sudah lebih setahun kita berada dalam keadaan yang kurang stabil. Bukan saja orang biasa, tapi kami dalam industri seni juga terkena tempias sama. Cuma, Dolla bersyukur kerana sebelum ini ada beberapa projek. Tapi, bagi mereka yang terputus punca pendapatan sudah semestinya berasa risau dan mungkin dalam keadaan tekanan,” akui Dolla. 

Berharap semua yang terkesan dapat bersabar, Dolla yakin dengan kesabaran yang ditanam membolehkan kita menjalankan aktiviti macam biasa suatu hari nanti. 

“Bagi peniaga, mereka boleh berniaga macam biasa. Insya-Allah, kita boleh kembali normal,” harapan Dolla dan The Giving Bank. - KitaReporters


0
1
0
0
0

Copy Link: