Jual lemang, beli van jenazah! Usaha anak muda Gugusan Salak
Published byKEBIASAANYA apabila menjelang Syawal ramai dalam kalangan pengusaha lemang tidak melepaskan peluang bagi memasarkan makanan tradisonal yang menjadi kegemaraan ramai. Lebih menarik, hasil penjualan lemang akan disumbangkan ke arah amal jariah semasa bulan Ramadan ini. : Kitareporters
Bagi sekumpulan anak muda dari Persatuan Belia Gugusan Salak (PBGS) di Sepang yang mengusahakan jualan lemang bukan sekadar untuk meraih keuntungan semata-mata, malah dijadikan sebagai dana untuk membeli sebuah van jenazah bagi kegunaan komuniti setempat.
Diusahakan sejak 2011, setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal, jenama Lemang Bagus bermaksud Belia Gugusan Salak itu dikenali kualitinya daripada para pelanggan sekitar Sepang, Nilai, Putrajaya, Bangi dan Kajang.
Pengerusi Majlis Belia Selangor Daerah Sepang, Muhamad Hydier Hamid, berkata program diadakan itu
bertujuan memupuk kerjasama dalam kalangan belia, di samping dapat menambah pendapatan peserta sepanjang Ramadan.
GERAI Lemang Bagus di Salak Sepang menawarkan pembelian sambil menderma sejak 2011.
Hydier berkata, idea mendapatkan dana melalui penjualan lemang itu tercetus tatkala melihat situasi berkenaan kekurangan kenderaan itu bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan setiap kali berlaku kematian di kampung berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Belia 4B Selangor, berkata kebiasaanya aktiviti menjual lemang itu diadakan seminggu selepas bermula Ramadan sehingga Syawal membabitkan kira-kira 25 belia di kawasan berkenaan.
"Selain dapat membantu orang ramai mendapatkan bekalan lemang, aktiviti itu juga dapat mendedahkan golongan muda kepada pembuatan makanan tradisional yang diminati semoga golongan dan bangsa di negara ini.
KERJA-KERJA membakar Lemang Bagus diadakan seawal petang
"Pada tahun lalu, kami berjaya memasarkan sebanyak 12,000 batang lemang dan kali ini menyasarkan 17,000 batang dengan harga bermula RM12, 14 dan RM18 sebatang.
"Program diadakan itu dapat mendedahkan belia kepada aktiviti berfaedah, di samping mewujudkan kerja samping di kalangan anak muda di kampung berkenaan," katanya.
Gerai yang terletak berdekatan pekan Salak itu turut menjual ketupat, rendang ayam dan daging, kuih raya dan kerepek.
Manakala bekalan buluh dibeli dari pembekal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
PETUGAS Lemang Bagus menunjukkan stok buluh yang akan digunakan sepanjang Ramadan
Hydier berkata, kerja penyediaan membakar lemang ini bermula seawal pagi yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan terdiri dari penyediaan pulut dan santan, mengisi pulut dalam buluh, kerja membakar dan pemasaran bagi menjaga kualiti lemang yang dipasarkan.
Menurut beliau, pihaknya juga menjaga kualiti penyediaan lemang itu dengan menggunakan santan asli dan membersihkan batang buluh berkenaan sebelum dimasukkan pulut dan santan.
Katanya, ini bagi menjaga kualiti lemang itu di samping menjaga kebersihan bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini kepada pelanggan.
SEORANG petugas sedang membersihkan buluh lemang di dalam bekas yang diisi air.
"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini pihaknya mengadakan jualan secara dalam talian dan menubuhkan team ' Bagus Delivery' dari kalangan belia di kampung itu untuk menghantar pesanan pelanggan.
"Pada tahun ini, kami menyasarkan jumlah jualan yang tinggi berdasarkan tambahan perkhidmatan penghantaran bagi merealisasikan impian membeli sebuah van jenazah bagi kegunaan masyarakat setempat secara percuma.
"Selain menawarkan rasa yang enak ketika menjamah juadah berkenaan kami juga menggalakkan orang ramai meraih pahala sepanjang Ramadan kerana sebahagian daripada hasil pembelian lemang itu akan diinfakkan ke dalam tabung dana berkenaan," katanya. - KitaReporters
PELANGGAN boleh juga mendapatkan juadah hari raya yang dipasarkan di gerai Lemang Bagus, Salak, Sepang.