Lagu Cari Pacar ciptaan komposer Eddie Hamid menonjolkan irama dangdut yang digemari oleh Aida Elias.


DALAM kalangan peminat seni tempatan, nama Aida Elias mungkin belum dikenali sebaris dengan penyanyi lain. Namun pembabitan Aida dalam bidang seni suara bukanlah baru setahun jagung, sebaliknya dia sudah mengenali pentas persembahan agak lama.

Cuma rezeki belum menyebelahi Aida untuk bergelar penyanyi rakaman seperti penyanyi lain walaupun hasrat itu sudah lama terpendam.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi baharu


Kini impian anak seni yang berasal dari Jelutong, Pulau Pinang itu dilaksanakan oleh Muzik Dua Karya selepas 10 tahun pemilik syarikat tersebut, Mohd Zamri Othman, mengikuti perkembangan Aida dalam media sosial.

Aida yang mula bergiat dalam bidang seni sejak 1990 ditawar menjadi penyanyi naungan syarikat tersebut untuk tempoh dua tahun.

Sebagai permulaan kolaborasi Aida dengan Muzik Dua Karya, dia diberi tanggungjawab merakam lagu Cari Pacar yang bergenre dangdut. Lagu Cari Pacar merupakan ciptaan komposer Eddie Hamid dan Zam Meletop, sementara lirik oleh Zam Meletop bersama Eddie Hamid.



“Sesungguhnya, saya masih tak percaya dapat peluang merakam lagu, sedangkan saya sudah lama dalam bidang seni suara. Apapun saya anggap ini adalah rezeki biarpun lewat.

“Sebenarnya, saya mendapat tawaran untuk merakam lagu Cari Pacar dari Muzik Dua Karya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu (2021).

“Saya tanya kepada abang Zamri, kenapa saya? Abang Zamri cakap, dia sudah lama mengikuti perkembangan seni saya dalam media sosial sejak 10 tahun lalu dan berhajat untuk mengambil saya menjadi artis naungan syarikatnya, cuma waktu tak sesuai. Bagi saya inilah peluang untuk saya tampil sebagai penyanyi rakaman,” katanya syukur.


Aida bersama pemilik syarikat Muzik Dua Karya, Mohd Zamri Othman yang yakin dengan kebolehannya sebagai penyanyi.


Tambah Aida, lagu Cari Pacar sudah lama siap dan dibuat khas untuknya. Malah, lagu Cari Pacar yang berentak dangdut itu dilihat serasi dengan penampilannya yang happy go lucky itu.

“Saya tanya kenapa lagu Cari Pacar sebab abang Zamri ada bagi saya dengar beberapa lagu lain. Tapi dia cakap dalam banyak lagu yang saya dengar, dia rasa lagu Cari Pacar amat sesuai untuk saya. Bila saya dengar lagu itu terus jatuh cinta.

“Saya suka lagu ini sebab saya adalah seorang entertainer, saya bukan menyanyi saja. Saya akan berkomunikasi dengan penonton dan buat lawak spontan. 

"Bila saya seorang entertainer, abang Zamri cakap dia tak akan bagi lagu berentak slow kepada saya. Cari Pacar rentaknya catchy dan ria. Dia tahu karakter saya di atas pentas macam mana,” katanya panjang lebar.


Selain menyanyi, Aida juga berlakon dan merupakan pengasas kosmestik jenama Mommy Beauty. 


Tambah Aida, dia tidak menghadapi masalah untuk menjiwai lagu Cari Pacar sewaktu rakaman di NAR Studio, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur kerana telah mendapat lagu tersebut dua bulan awal sebelum memasuki studio rakaman.

“Rakaman siap dalam masa tiga jam, sebab saya dapat lagu tu dua bulan awal. Saya perlu hafal dan hayati lagu tersebut sebelum masuk studio, jadi tak ada masalah. Bila sering dengar dan pergi NAR Studio terus masuk suara. Atas dorongan dan bimbingan Eddie Hamid, tiga jam siap.

“Cabaran masa nyanyi tak banyak tapi rasa tak selesa sebab batuk ketika itu. Saya rasa sedikit kecewa sebab batuk sewaktu rakaman, kalau waktu tu sihat rasanya lagu tu lagi sempoi. Tuhan bagi dugaan kerana ini pertama kali saya masuk studio untuk lagu sendiri. Selalu masuk studio untuk buat jingle,” kata pemilik nama penuh Suhaida Md. Elias.


Bersama angota kumpulan Sera Six Band yang menggalakkan Aida untuk muncul solo.


Sejak video muzik Cari Pacar dimuat naik di saluran YouTube rasmi Muzik Dua Karya Official pada 30 Januari lalu, jumlah tontonannya telah mencecah lebih 39,000 tontonan.

Aida beruntung kerana kehadirannya sebagai penyanyi rakaman mendapat sokongan daripada peminat tempatan, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Pada 7 Februari 2022, lagu Cari Pacar diputar serentak di 50 stesen radio di Indonesia dan dia juga telah ditemu bual oleh stesen Radio Komunitas Pass, Bandung.

“Sewaktu temu bual, deejay beritahu lagu Cari Pacar mendapat sambutan yang sangat hebat di Indonesia. Alhamdulillah, itu semua atas usaha syarikat rakaman selain muzik lagu Cari Pacar adalah ikut trend terkini dan mudah diterima oleh pendengar di sana.

“Saya pernah mengadakan persembahan di Indonesia tapi waktu itu menyanyikan lagu orang lain. Kali ini saya harap dapat bertemu dengan peminat di sana untuk nyanyikan lagu saya sendiri,” katanya yang merupakan ketua kumpulan Sera Six Band.


Pada 7 Februari 2022 lalu, lagu Cari Pacar diputarkan serentak di 50 stesen radio di Indonesia. 


Dia yang pernah menyertai program terbitan TV3, Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1998 dan berpengalaman menyanyi di hotel dan majlis tertutup itu mampu mendendangkan pelbagai rentak lagu dan bahasa.

Jelas Aida, sebagai penghibur, dia sentiasa mengikuti perkembangan terkini trend muzik semasa kerana peminatnya terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

“Saya jenis suka melayan peminat. Setiap hari saya akan buat empat kali live di platform Bigo bermula pada pukul 7.30 pagi, 1.30 petang, selepas habis waktu kerja dan sebelah malam akan buat persembahan kira-kira tiga jam.

Video muzik Cari Pacar sesuai dengan karakter Aida yang ceria.


“Apa saja dalam bidang seni, saya akan buat. Syukur, saya mendapat peluang meluas, sampai boleh pergi buat show di seluruh Malaysia, sedangkan orang tak kenal saya tapi siapa yang nampak bakat saya akan terus hubungi untuk buat pesembahan,” katanya yang juga berkebolehan dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Aida pernah berlakon drama antaranya, Pertemuan Di Kaki Gunung Jerai, arahan Khalid Sulaiman dan Selamat Pagi Abang Posmen, arahan Datuk Zulkifli M.Osman.

Aida berharap kehadiran lagu Cari Pacar akan membuatkan namanya lebih dikenali dan sekali gus mengukuhkan kedudukannya di persada seni tanah air. - KitaReporters


19
10
0
16
0

Copy Link: