Cinta personaliti penyiaran TV dan aktivis masyarakat, Senator Datuk Ras Adiba Radzi, 52, kembali berkembang apabila dia sudi disunting semula bekas suaminya pada Sabtu, 28 Mei 2022.  

Setelah sekian lama berpisah, majlis pertemuan semula (reunion) pada Disember 2021, kembali menaut perasaan cinta setelah masing-masing sudah menjadi duda dan janda.  



Wajah kegembiraan apabila disatukan semula. - Kredit foto: IG @rasadibaradzi

Ras dan Mohamed Azam Ali kali pertama bertaut cinta di TV3, ketika Ras menjadi wartawan dan pembaca berita dan Azam sebagai penerbit sukan pada tahun 1986.  

Walaupun sudah lama berkenalan, kedua-duanya hanya berkahwin pada 16 Mac 2019  dan berpisah tidak lama kemudian. Perpisahan mereka tidak dihebahkan

Ras pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai dua orang cahaya mata manakala Mohamed Azam juga dikurniakan enam anak hasil daripada perkahwinan terdahulu.

Tetapi jodoh mereka masih kuat. Setelah sudah beberapa waktu berpisah dan menjadi janda dan duda, perasaan cinta kembali berbunga




Atas sebab itu kedua-duanya sepakat untuk kembali membina hidup baharu ketika sudah memasuki usia separuh abad. Hubungan mereka dihalalkan dalam majlis pernikahan ringkas di Masjid Jamel Al-Khadijah, Kuala Lumpur pada jam 2.38 petang Sabtu, 28 Mei 2022.

Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Radzi Wahab dengan disaksikan Imam masjid berkenaan, Yahya Mat Husin.

Ras, menerima mas kahwin RM300 daripada Mohamed Azam yang kini ahli perniagaan namun jumlah wang hantaran dirahsiakan. Pihak pengantin perempuan menyerahkan lima dulang hantaran, manakala dibalas empat dulang daripada pengantin lelaki. 



Ras meluahkan rasa syukur perkenalan selama 34 tahun akhirnya kembali sekali lagi membawa ke jenjang pelamin. Ras berharap perkahwinan kali kedua ini kekal hingga ke akhir hayat. 

Ras merupakan Presiden Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral dan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara sejak Mei 2020 kemudian dilantik sebagai Pengerusi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 23 November 2020 untuk tempoh 3 tahun.



Sementara itu, Ras memperlihatkan kegembiraan menyertai acara sempena ulang tahun ke-38 TV3 itu dan bertemu semula dengan personaliti lain dan kenalan lama melalui video yang dimuat naik dalam laman Instagramnya.

Dia cukup teruja apabila terpilih sebagai salah satu ikon legenda pembaca berita sukan TV3. Dia muncul dalam segmen Sukan Buletin Utama pada 30 Me1 2022 dengan menggunakan kerusi khasnya.

Walaupun sudah menjadi OKU, namun Ras Adiba tidak menganggap ia suatu kekurangan dan tetap mampu melakukan khidmat berguna kepada masyarakat dan negara. - KitaReporters

14
15
0
10
0

Copy Link: