Lagu-lagunya sering dijadikan runut bunyi filem mahu pun drama. ‘Ombak Rindu’ yang dinyanyikan bersama rakan seperjuangannya, Hafiz Suip melalui filem tajuk sama antara yang popular sehingga Adira Suhaimi mendapat jolokan ‘Ratu Soundtrack’. Terbaharu, Adira hadir sekali lagi dengan sebuah runut bunyi berjudul ‘Kesempatan Bagimu’. : KitaReporters




Lagi kisah-kisah menarik berkaitan runut bunyi:

https://kitareporters.com/search?search=runut+bunyi


Lagu nyanyian pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi, 29,  ini bakal melatari drama 28 episod bertajuk 'Tercipta Satu Ikatan’ dalam slot MegaDrama Astro Ria bermula 29 Disember 2020 ini.




Jika dihitung, Naib Juara Akademi Fantasia musim ke- 8 ini sudah lebih 10 lagu runut bunyi pernah dinyanyikannya dan kerana itu juga beliau tidak terkesan dengan gelaran ‘Ratu Soundtrack’ yang diberikan kepadanya.

“Pada saat ramai bakat baru dan yang sedia ada bersaing di pasaran, rezeki untuk menyanyikan lagu runut bunyi masih menyebelahi saya. Saya lihat semua itu dari sudut positif, sekali gus jadi penghormatan peribadi buat diri ini.

“Tahun ini saja sudah dua lagu runut bunyi saya nyanyikan. Sebelum ini, saya menyanyikan lagu “Maaf” untuk drama ‘Maaf Tak Indah’ yang menghiasi slot Samarinda TV3 pada bulan Februari (2020) lalu,” katanya penuh kesyukuran walaupun kadangkala dalam hatinya terbit juga rasa, orang tak jemu ke, lagi-lagi Adira.



Pun begitu, penyanyi kelahiran Ranau, Sabah ini, secara peribadinya tidak menganggap gelaran ‘Ratu Soundtrack’ sebagai perkara membebankan  tetapi menjadi nilai tambah buat dirinya.

“Kalau ada yang suka dengan lagu nyanyian saya melatari drama di kaca TV itu sudah cukup baik. Lagu soundtrack ini menyuntik dan menjentik emosi penonton dan jika ada yang terus memberikan gelaran 'Ratu Soundtrack' kepada saya, saya okey sahaja malah bersyukur dengan pengiktirafan sebegitu, “ Adira berpendapat.

Selepas lebih sedekad dalam industri muzik tempatan, tuah dan rezeki ibu kepada tiga orang cahaya mata Anggrek, 3; Asan, 2; dan Anggun, 7 bulan, ini tidak pernah salah alamat terutama apabila membabitkan lagu yang menjadi runut bunyi drama rantaian. 

Buah tangan terbaharu terbitan Nova Music Malaysia ciptaan gandingan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh itu  siap dirakam bulan Novermber 2020 lalu, sekali gus menjadikan kerjasama kali keempat Adira dengan Ikhwan.

Menurut Adira, beliau tidak menafikan jiwanya masih terarah menyanyikan lagu berentak balada dan melankolik.

“Mungkin juga dalam ketegasaran diri ini, kelembutan jiwa itu masih terserlah,” seloroh isteri kepada Datuk Seri Adnan Abu yang lebih dikenali dengan panggilan Datuk Red.  


Foto kredit Instagram @dato_red.


Semua pun maklumkan, tahun lalu, apabila Adira berdepan masalah rumah tangga sehingga mahu bercerai, namun beliau memberikan peluang kedua untuk berdamai kembali dengan Datuk Red demi anak-anak. Adira berkahwin dengan Datuk Red  di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Dalam perkembangan lain, Adira juga sejak awal tahun ini menceburi perniagaan menjual barangan ‘bundle’ dan vintaj.

“Saya selesa mencuba nasib dalam bidang baru ini. Malah, kemungkinan saya akan buat siaran langsung menjual barang dalam laman sosial. Tak perlu malu pun, janji rezeki halal. Tak kisahlah siapapun kita. 

“Pada saat kita diuji dengan pandemik COVID-19 ini, ramai yang terkesan dan melibatkan diri dengan pelbagai perniagaan alternatif untuk bangkit semula meneruskan survival,” katanya.

Single terbaru “Kesempatan Bagimu” Adira Suhaimi dilancarkan pada hari ini, 25 Disember 2020 dan boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, YouTube Music, KK Box dan Deezer  manakala siaran video muzik rasmi single tersebut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’. - KitaReporters



3
0
0
0
0

Copy Link: