Maria Tereza, melakukan pelbagai pengorbanan bagi memastikan anaknya, Jorginho berjaya dalam bola sepak. - Kredit foto: Instagram jorginhofrello.


KEJAYAAN Itali mara ke perlawanan akhir Euro 2020 selepas menumbangkan seterunya, Sepanyol, 4-2 melalui penentuan penalti (selepas terikat 1-1 pada masa tambahan), pada awal pagi Rabu, 7 Julai, 2021, tidak dapat tidak akan turut dikaitkan dengan pemain berjersi No 8, Jorginho.

Bukan sahaja kerana penalti terakhir yang disempurnakan pemain itu memastikan kemenangan Itali tetapi Jorginho memang menjadi perhatian sejak awal saingan bola sepak Eropah kali ini kerana watak yang dimainkan bersama Azzurri.

Sudah pasti, namanya akan lebih melonjak jika Itali bergelar juara untuk melengkapkan musim cemerlangnya selepas membantu Chelsea menjuarai Liga Juara UEFA pada 28 Mei, 2021 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Eropah atau Euro


Tidak syak lagi, selepas Cristiano Ronaldo terpaksa pulang awal ekoran kegagalan Portugal, kini nama Jorginho pula menjadi carian popular dalam media sosial kerana ramai ingin mengenali lebih dekat siapakah pemain berusia 30 tahun itu.

Ternyata, apa yang ditemui peminat melalui carian itu, menjadikan mereka lebih kagum dengan pencapaian Jorginho sekarang kerana sebelum berjaya, dia melalui perjalanan hidup dan karier yang berliku.

Malah, mereka turut kagum dengan seorang wanita, Maria Tereza, orang yang bertanggungjawab meletakkan Jorginho di tempat dia berada sekarang.


Kredit foto: Instagram @jorginhofrello


Maria tidak pernah melupakan impiannya.  Dia mengumpul wang dan akhirnya mampu membeli sebiji bola untuk Jorginho" 


Sejak Jorginho dalam kandungannya, Maria sudah berjanji kepada dirinya, jika anak yang bakal dilahirkan kelak adalah lelaki, dia mahu menjadikan anak itu pemain bola sepak profesional.

Ia bagi menebus kekecewaan dirinya yang gagal memenuhi impian untuk menjadi pemain bola sepak wanita profesional, sekadar mewakili kelab amatur kerana pelbagai kekangan dihadapinya.

Jadi, apabila Jorginho atau nama sebenarnya Jorge Luiz Frello Filho lahir pada 20 Disember, 1991 di Santa Catarina, Brazil, Maria sudah tahu apa perlu dilakukan demi mencapai impiannya itu.

Namun, ia bukanlah mudah apabila Maria terpaksa membesarkan Jorginho berseorangan selepas berlaku perceraian dan bekas suaminya meninggalkan mereka tanpa nafkah.

Tersepit dengan kehidupan di Brazil, Maria mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan keluarganya di Itali dan menetap di Verona. Di sana, Maria bekerja sebagai tukang sapu demi membesarkan anak tunggalnya yang ketika itu berusia 6 tahun.

Walaupun hidup mereka sukar, namun Maria tidak pernah melupakan impiannya.  Dia mengumpul wang dan akhirnya mampu membeli sebiji bola untuk Jorginho. Kemudian, selepas cukup wang yang dikumpul lagi, dia membelikan pula kasut bola dan kelengkapan lain untuk anaknya itu.


Bola pertama dibeli oleh Maria untuk Jorginho yang menjadi pencetus isnpirasi kepada anaknya itu. - Kredit foto: Media sosial.


Jorginho (bulatan) mendapat pendedahan awal dengan pasukan kanak-kanak tempatan. - Kredit foto: Media sosial.


“Tidak ada barangan permainan semasa saya kanak-kanak, hanya bola. Kekosongan hidup tanpa ayah berakhir apabila bola berada pada kaki saya,” imbas Jorginho.

Maria kemudian menghantar anaknya menyertai pasukan kanak-kanak tempatan, tempat pertama Jorginho mengasah bakat secara lebih sistematik.

Namun, si anak tetap melihat ibunya sebagai jurulatih terbaik yang membentuk karier awalnya. Selain mempengaruhi minat Jorginho serta kawan-kawannya terhadap bola sepak, Maria mewajibkan serta mengendalikan sendiri latihan mereka di pantai.

Pengorbanan Maria mula menampakkan hasil apabila sekumpulan ahli perniagaan berhasrat untuk mewujudkan projek bola sepak, bertujuan mempromosi bola sepak remaja di utara Itali. Mereka melabur wang yang banyak untuk menubuhkan sekolah bola sepak yang jaraknya 180km dari tempat tinggal Jorginho.

Maria meyakinkan Jorginho supaya mengambil peluang itu demi masa depannya dalam bola sepak walaupun pada usia 13 tahun, berjauhan dengan ibunya adalah sesuatu yang sukar dilakukan.


Selain memberi galakan, Maria turut menjadi jurulatih apabila melatih Jorginho dan rakan-rakan di pantai. - Kredit foto: Instagram @jorginhofrello.


Jorginho menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah bersama Chelsea pada Mei lalu. - Kredit foto: Instagram jorginhofrello.


Tamat pembelajaran di sekolah bola sepak itu, Jorginho tidak menganggur lama apabila kelab remaja Hellas Verona membuat tawaran pada 2007 dengan menyediakan keperluan asas dan tempat tinggal.

Selepas semusim dipinjamkan kepada AC Sambonifacese, dia kembali ke kelab asalnya untuk membantu layak ke Serie A.

Ia kemudian membuka pula laluannya ke kelab Napoli pada 2014. Namun, Jorginho perlu menunggu selama satu setengah tahun untuk bersinar bersama kelab itu, terima kasih kepada pengurus baharu kelab itu, Maurizio Sarri yang berjaya mengilap bakatnya.

Apabila Sarri menyertai Chelsea pada 2018, Jorginho mengikut jejak langkah pengurus itu dan kekal sehingga sekarang walaupun mentornya itu sudah angkat kaki lebih awal.

Sudah tentulah, selain Sarri, orang yang paling gembira sekarang adalah wanita bernama Maria Tereza. Dan kini, Jorginho hanya selangkah lagi untuk menghadiahkan medal Euro kepada ibunya. - KitaReporters



Jaringan penalti Jorginho membawa Itali ke final Euro 2020. - Kredit foto: UEFA Euro 2020.

4
1
1
0
0

Copy Link: