Team Mas tertiarap? 2 gangsa, 3 rekod kebangsaan! Tapi atlet muda ada kemajuan dan janjikan harapan!
Published by
PEMENANG pingat gangsa Team Mas pada Olimpik Paris 2024 (dari kiri), Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Kredit foto: MSN
DUA pingat gangsa Sukan Oimpik Paris 2024 yang melabuhkan tirainya tengah malam 12 Ogos 2024 (waktu Malaysia), hanya meletakkan Team Mas di anak tangga ke-80 daripada 206 kontinjen negara yang menyertai edisi ke-33 itu.
Pingat
milik beregu dan perseorangan lelaki badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Lee
Zii Jia itu juga sekadar menjadikan Malaysia, ke-18 terbaik dalam kalangan
negara Asia malah keempat sahaja yang mengekori jiran serantau Asia Tenggara
seperti Filipina, Thailand dan Indonesia.
Pertaruhan akhir negara bagi mengumandangkan Negaraku mahupun menaiki sebarang podium di Velodrom Saint-Quentin-en-Yveline pula gagal ditunaikan oleh Shah Firdaus Sahrom angkara rempuhan pelumba Jepun, Shinji Nakano dan terperosok ke tempat corot dalam pusingan akhir keirin berbasikal pada 11 Ogos 2024.
SHAH Firdaus Sahrom (kiri) dirempuh oleh Shinji Nakano dalam pusingan akhir keirin yang menempatkan 'The Terminator' corot menurut komisar perlumbaan. - Kredit foto: MSN
Pencapaian
pingat dan tempat ini juga dianggap terburuk dalam sejarah penyertaan Malaysia
sejak pulang tangan kosong dari Sydney pada 2000 dan berulang di Athens 2004, sedangkan di Beijing 2008 kita
beroleh sebutir perak di tempat ke-72, London 2012 (satu perak dan satu gangsa, tempat ke-65), Rio 2016 (empat perak dan satu gangsa, tempat ke-60), Tokyo 2021 (satu perak
dan satu gangsa, tempat ke-74).
Ketua Kontinjen negara, Datuk Hamidin Amin berkata, kontinjen kita yang ketiga terbesar antara Asia Tenggara dengan 26 atlet dalam sembilan jenis sukan iaitu akuatik renang dan terjun, badminton, berbasikal, menembak, memanah, pelayaran, golf, angkat berat dan olahraga berbanding Thailand, 52 atlet dan Indonesia, 29 atlet.
HAMIDIN Amin bersorak sambil menjulang mini Jalur Gemilang di Arena Porte de La Chapelle yang merakamkan dua pingat gangsa Malaysia. - Kredit foto: MSN
“Shah (pada temasya edisi ke-33 ini) tetap berjaya memperbaiki pencapaian suku akhir keirin di Tokyo.
“Tiga rekod kebangsaan berjaya dipecahkan di Paris melalui Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 61 kilogram acara snatch, 130 kg (129 kg rekod lama) dan berjumlah 297 kg (296 kg), manakala Datuk Azizulhasni Awang mencatat 9.402 saat (9.532 s) dalam kelayakan 200 meter pecut berbasikal.
“Nurul
Izzah Izzati Mohd. Asri dalam 200m pecut wanita juga mencatat rekod baharu
kebangsaan, 10.709 s (10.903 s). Dia merupakan permata baharu berbasikal negara dan atlet
wanita pertama kita mara ke pusingan berikutnya acara itu,” kata Hamidin dalam
kenyataan media pada 11 Ogos 2024.
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ini turut menujukan pujian kepada Aaron-Wooi Yik yang mengalahkan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen dalam persaingan set penentuan yang cukup dramatik dan Zii Jia yang menjinakkan pemain India, Lakshya Sen juga selepas tiga set.
“Pearly
Tan-M. Thinaah berjaya ke separuh akhir beregu wanita yang melepasi ‘Kumpulan
Maut A’ malah mengalahkan pasangan Korea Selatan di ranking kelapan dunia, Kim
So Yeong-Kong Hee Yong dalam suku akhir dan dikalahkan oleh Chiharu Shida/Nami Matsuyama
(ke-10 dunia) dalam penentuan pingat gangsa.
“Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga telah membuktikan mereka mampu menjadi pencabar pada masa hadapan selepas layak ke suku akhir beregu campuran sebelum ditewaskan oleh Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan yang di ranking keenam dunia,” katanya.
PEARLY Tan (kiri) dan M. Thinaah bangkit dalam separuh akhir beregu wanita biarpun terpaksa akur kepada pasangan China, Chen Qing Chen/Jia Yi Fan yang juga pilihan utama Sukan Olimpik Paris 2024. - Kredit foto: MSN
Aniq pula kata Hamidin, hampir melakukan kejutan menaiki podium gangsa dan hanya tewas tipis 1 kg kepada pemegang rekod dunia clean & jerk, Hampton Morris dari Amerika Syarikat.
Atlet-atlet muda yang mula menyertai Olimpik katanya, wajar terus diberikan sokongan dan dorongan untuk persiapan ke arah Sukan Olimpik Los Angeles 2028 seperti Aniq, Bertrand Rhodict Lises (akuatik terjun), Tan Rouxin (akuatik renang), Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil (memanah), Azeem Fahmi (olahraga), Ashley Lau (golf) dan Izzah.
ANIQ Kasdan kempunan pingat gangsa gara-gara kekurangan 1 kg sahaja kepada pemenangnya, Hampton Morris namun berpotensi untuk terus digilap bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028. - Kredit foto: MSN
AZEEM Fahmi (dua dari kiri) menamatkan saringan kedua pusingan pertama di tempat corot dengan catatan 10.45 saat tetapi boleh dipertaruhkan semula ke Olimpik Ke-34, di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028. - Kredit foto: MSN