Mampukah kita? Tiket ke Piala Asia 2027! Rintangan Vietnam! Harimau Malaya wajib juara Kumpulan F!

Published by
KitaReporters


TIADA pasukan Asia Barat yang sering menjadi igauan ngeri atau batu penghalang keras seperti Syria dan Lebanon mahupun tiada si lawan Asia Tengah iaitu Tajikistan dan Turkmenistan yang tidak kurang liatnya untuk dihadam.

Adakah ini turut bererti laluan ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi terbentang mudah dan luas buat Harimau Malaya dalam Kelayakan Akhirnya yang bermula 25 Mac 2025 ini?

Tidak juga! Mungkin nisbah peluangnya agak lebih cerah buat skuad negara penghuni ranking ke-132 dunia, namun Vietnam yang menduduki ranking ke-116 dunia, tetap satu rintangan yang bukan kepalang untuk dilepasi dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia ini.  

Malaysia yang bakal bertukar ketua jurulatih daripada Pau Marti Vicente dalam kelayakan tersebut, turut berdepan pasukan Asia Selatan, Nepal dan satu lagi jiran serantau Asia Tenggara, Laos yang masing-masing di ranking ke-175 dan 186 dunia. 


IMBAS kembali jaringan sayap kiri Harimau Malaya, Faisal Halim (7) yang membantu mengikat Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan Kumpulan E Piala Asia 2023/2024 di Qatar pada 25 Januari 2024. - Kredit foto: FAM


Undian di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil pada 9 Disember 2024 lalu, dijalankan menurut ranking terbaharu yang dikemaskinikan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bertanggal 28 November 2024 lalu ekoran siri perlawanan antarabangsa tahap 1 bulan berkenaan.

Kempen kelayakan ini bakal turut diharungi 19 lagi negara yang dibahagikan kepada enam kumpulan pada 25 Mac, 10 Jun, 9 dan 14 Oktober dan 18 November 2025 serta 31 Mac 2026 bagi merebut baki enam slot ke Arab Saudi.

Kali akhir menentang Vietnam yang dijuluki Pahlawan Bintang Emas, Harimau kita tumpas 3-0 dalam saingan Kumpulan B Piala AFF 2022-2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 27 Disember 2022.

Malaysia walau bagaimanapun memiliki rekod lebih baik dengan memenangi siri perlawanan antarabangsa tahap 1 terhadap Nepal dan Laos, 2-0 dan 3-1 pada 2 Jun 2019 dan 14 November 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Stadium Lembaga Pelabuhan Thailand, Bangkok.


JADUAL perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 yang hanya membabitkan Malaysia. - Kredit foto: FAM


“Vietnam negara bola sepak terbesar di Asia Tenggara yang kami perlu awasi. Setiap kejohanan yang kami masuk, sentiasa menjadi cabaran kami. Pastinya kami juga mahu buat yang terbaik,” kata bek tengah negara, Dominic Tan yang turut dilantik sebagai kapten bersama Syamer Kutty Abba dan Syafiq Ahmad pada Kejohanan ASEAN 2024 yang bermula 8 Disember 2024 lalu.

Ulas Pau: “Pasukan kita semakin berkembang. Ada ramai pemain yang sudah bermain bersama sejak tiga atau empat tahun lalu dan saya fikir Malaysia mampu layak buat kali kedua berturut-turut.

“Perjalanannya getir (undian Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027). Pada akhirnya, jurulatih tidak penting sebaliknya pemain,” katanya yang khidmatnya dengan Harimau Malaya akan berakhir selepas Kejohanan ASEAN 2024 yang kini berlangsung sehingga 5 Januari 2025.


HARIMAU Malaya dan Kim Pan-gon (barisan tengah, lima dari kanan berbaju hitam) meraikan kejayaan layak ke Piala Asia (pertama sejak 1980) sebagai naib juara Kumpulan E kelayakan selepas menumpaskan Bangladesh 4-1 di Bukit Jalil pada 2022. - Kredit foto: FAM


Ketika skuad negara berjaya mengakhiri kemarau penyertaan Piala Asia sejak 1980 dengan melepasi kelayakan Kumpulan E pada 14 Jun 2022, warga Sepanyol itu menjadi penolong ketua jurulatih negara dengan Kim Pan-gon dari Korea Selatan selaku terajunya.

Malaysia menempah tiket pusingan akhir di Qatar selaku antara naib juara kumpulan terbaik sesudah mengalahkan Turkmenistan 3-1 dan Bangladesh 4-1 selain tewas kepada Bahrain 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun format kelayakan kali ini berbeza kerana berlangsung lebih getir dalam enam perlawanan timbal balik berbanding hanya ‘karnival’ di kandang Harimau Malaya sahaja.

Hanya juara setiap kumpulan akan menyertai 18 negara yang telah melepasi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang berakhir 11 Jun 2024 lalu iaitu Arab Saudi, Australia, Iraq, Iran, Uzbekistan, Qatar, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Korea Selatan, Oman, Palestin, Bahrain, Jordan, China, Indonesia, Korea Utara, Kuwait dan Kyrgyzstan. 


PAU Marti Vicente (kiri) dan Dominic Tan mengulas undian Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027, di Stadium Nasional sempena praperlawanan Kumpulan A Kejohanan ASEAN 2024-2025 menentang Timor-Leste. - Kredit foto: FAM


UNDIAN KELAYAKAN AKHIR PIALA ASIA 2027:

Kumpulan A: Tajikistan, Filipina, Maldives dan Timor-Leste

Kumpulan B: Lebanon, Yemen, Bhutan dan Brunei

Kumpulan C: India, Hong Kong, China, Singapura dan Bangladesh

Kumpulan D: Thailand, Turkmenistan, Taiwan dan Sri Lanka

Kumpulan E: Syria, Afghanistan, Myanmar dan Pakistan

Kumpulan F: Vietnam, MALAYSIA, Nepal dan Laos


AKSI Arif Aiman Hanapi yang berdepan benteng Korea Selatan, Kim Min-jae (4) dan diawasi Darren Lok (9) dalam perlawanan Kumpulan E Piala Asia 2023/2024 di Stadium Al Janoub, Qatar. - Kredit foto: FAM 

19
15
0
13
0

Copy Link: