CHERRY Yeo Xiao Wei menayangkan piala, pingat dan sijil penghargaan yang dimenanginya sebagai juara acara Solo Latin Wanita Dewasa Piala Dunia WDSF pada Terbuka BeoDance 2024 di Belgrade. 


SEJARAH sukan buat Malaysia terukir di Belgrade, Serbia. Nama Cherry Yeo Xiao Wei turut terpahat di arena sukan tari dunia!

Kedua-duanya dimasyhurkan dek kejayaan gadis Malaysia berusia 19 tahun ini menjuarai acara Solo Latin Wanita Piala Dunia WDSF pada Terbuka BeoDance Ke-22 tanggal 5 Oktober 2024, lapor satu siaran media.

Yang manisnya, lagu kebangsaan Negaraku turut berkumandang mengiringi kejayaan Cherry di Dewan Sukan Ranko Zeravica, Belgrade – venue kejohanan yang ditauliahkan oleh Persekutuan Sukan Tari Dunia (WDSF) ini.

Sebanyak 14 negara menyertai acara Solo Latin Piala Dunia WDSF ini antaranya Hong Kong, Macedonia, Cyprus, Czech, Itali, Singapura, Greece, Kazakhstan, Croatia, Serbia, Hungary, Bosnia-Herzegovina, Austria dan Malaysia.


CHERRY Yeo Xiao Wei  (dua dari kiri)  bersama-sama barisan peserta lain Latin Solo Wanita Dewasa Piala Dunia WDSF dari  Itali, Hong Kong, Cyprus, Macedonia, Singapura dan Czech.


“Anak didik jurulatih Akademi Sukan Tari MY, Chua Zjen Fong dan Evon Chong ini muncul warga Malaysia pertama memenangi Solo Latin Piala Dunia WDSF dengan persembahannya yang menjadi detik kemuncak pertandingan.

“Dia memperagakan bakat luar biasa dan keseniannya dalam tarian yang membawanya ke podium teratas kategorinya,” lapor siaran tersebut.

Inilah kejuaraan kelima Cherry selepas menjuarai Terbuka WDSF di London, England dan Bremen, Jerman pada 22 September dan 1 Jun 2024 selain dua pingat emas kategori dewasa dan belia kejohanan sama di Calvia, Sepanyol pada 11 dan 12 November 2023.   

 “Cherry turut meraih tumpuan media di sana dan sebagai inspirasi ramai atlet sukan tari untuk mengikut jejaknya,” tambah siaran itu. 


CHERRY Yeo Xiao Wei menjulang trofi kejuaraan acara Latin Solo Wanita Dewasa Piala Dunia WDSF pada Terbuka BeoDance 2024 di gelanggang Dewan Sukan Ranko Zeravica, Belgrade. 


ANTARA jurulatih dan tonggak yang sentiasa di balik tabir kejayaan Cherry Yeo Xiao Wei (tengah). 

10
10
0
8
0

Copy Link: