Bakar semangat 167 pemain muda! Milo dan FAM ganding bahu! Pelopori program bola sepak akar umbi!
Published byDalam usaha memupuk minat dan mencungkil bakat pemain bola sepak muda, Milo dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menganjurkan Milo x FAM Ultimate Experience 2025, yang memberikan peluang untuk mengikuti latihan intensif dan bimbingan profesional selama dua hari kepada pemain sedang meningkat naik.
Program eksklusif ini telah menghimpunkan seramai 167 bakat muda berumur 6 hingga 16 tahun yang telah menunjukkan semangat kejuaraan dalam Milo Junior Champions League 2024, kejohanan seluruh negara yang disertai 9,000 pemain berbakat.
Buat julung kalinya, pemain wanita muda yang berbakat diberi pentas untuk bersaing dalam Milo Junior Champions League 2024 dan seterusnya dipilih untuk menyertai pengalaman ini, mencerminkan komitmen Milo kepada keterangkuman dalam bidang sukan.
“Kerjasama Milo dengan FAM meluaskan peluang untuk bermain bola sepak di seluruh negara, memperkasakan anak-anak muda untuk bermain sambil mengasah keupayaan pemain dan juga jurulatih.
"Program ini menyemai semangat untuk bersaing, mempersiap mereka untuk menghadapi segala cabaran pada masa depan,” kata Soleen Al-Zou’bi, Jurulatih Bola Sepak Wanita Kebangsaan FAM.
Setelah 75 tahun bertapak di Malaysia, Milo terus memperkasakan juara masa depan menerusi kuasa transformasi sukan, memupuk kecemerlangan di atas dan di luar padang.
Sebagai kemuncak inisiatif bola sepak pada peringkat akar umbi, Milo x FAM Ultimate Experience 2025 memperlihat hasil kerjasama antara Milo dan FAM untuk mencungkil dan menyemai bakat-bakat muda di seluruh Malaysia.
Para peserta diberi peluang keemasan untuk menghadiri mengikuti sesi latihan dan bimbingan pakar yang diketuai Soleen Al-Zou’bi, Jurulatih Bola Sepak Wanita Negara; Shohaili Mansor, Pegawai Fisioterapi; Cameron Ng, Ketua Unit Akar Umbi dan Ketua Jurulatih Pasukan Wanita B-20; Daphney Teoh, Pembimbing Jurulatih Akar Umbi dan Jurulatih Akademi Tempatan; Zaidi Zainol, Jurulatih Penjaga Gol Pasukan Kebangsaan Wanita B-20/B-17; dan jurulatih terkemuka lain yang memberi tunjuk ajar kepada pemain dalam teknik dan strategi lanjutan untuk meningkatkan tahap permainan masing-masing, di samping kemunculan khas beberapa pemain bola sepak negara, Norshahrul Idlan (Mat Yo), Nur Ainsyah, dan Farahiyah Ridzuan.
Para pemain muda ini juga berpeluang meninjau kemudahan terkini di ibu pejabat FAM, serta belajar tentang cara hidup seorang pemain profesional.
Para pemenang Milo Champions League 2024 ini diraikan kerana dedikasi dan prestasi cemerlang mereka, yang sesungguhnya menunjukkan potensi besar bakat-bakat muda yang sedang meningkat naik.
Milo berpegang pada falsafah bahawa “Sports is a Great Teacher,” menekankan peranan sukan mencetus transformasi dengan membina perwatakan dan mengajar nilai-nilai kehidupan.
Komitmen ini sejajar dengan misi lebih luas untuk menyemai nilai-nilai positif dalam kalangan anak muda menerusi sukan dan semangat kesukanan.
Lim Kerwin, Ketua Pemasaran Sukan Milo, Nestle (Malaysia) Berhad, berkata, “Bola sepak mengajar erti disiplin, kesungguhan dan kerjasama sepasukan.
"Menerusi pakatan antara Milo dan FAM, kami bukan sahaja menyediakan platform untuk atlet muda menyerlahkan kemahiran masing-masing tetapi turut membina asas bagi pertumbuhan peribadi.
"Sambil meraikan tahun ke-75 jenama ini bertapak di Malaysia, Milo terus memainkan peranan membekalkan tenaga dan memacu cita-cita negara.”
Ibu bapa dan peserta Milo x FAM Ultimate Experience 2025 telah merakamkan penghargaan ikhlas mereka terhadap inisiatif luar biasa ini.
“Sebagai bapa, saya bersyukur kerana anak-anak diberi peluang keemasan ini untuk menyertai acara ini yang benar-benar mendorong mereka untuk terus bermain bola sepak dengan bersungguh-sungguh,” kata Muhammad Zulfazli Zulkeply.
Sementara itu, pemain berusia 14 tahun, Qaseh Damia Irdina Mohd Fauzi dari SMK Ayer Keroh, Melaka berkata, “Terima kasih Milo kerana memberi kami peluang untuk turut terlibat dalam perjalanan yang menakjubkan ini, membolehkan kami muncul juara dan bangga mewakil Melaka dalam program ini.”
Ekosistem Milo x FAM menyokong pelbagai inisiatif sukan Milo yang lain seperti karnival futsal Milo Hidup Bola yang diadakan selama 18 tahun.
Kejohanan tahunan ini disertai lebih daripada 12,000 pemain muda dan telah melahirkan bakat-bakat cemerlang, termasuk Bintang Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Kebangsaan yang sedang meningkat naik, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Pemain Paling Bernilai (MPV) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021, Arif Aiman Hanapi.
Inisiatif-inisiatif seperti ini menerapkan bakat pada peringkat akar umbi ke dalam sistem FAM, memberi peluang kepada pemain muda untuk membina kerjaya profesional.
Di samping itu, Milo Champions Clinic memperkenal anak-anak muda kepada lebih 18 sukan di bawah bimbingan jurulatih bertauliah. Program tersebut menghubungkan jurulatih berpengalaman dengan anak-anak muda yang ingin mencuba sukan baharu.
Sejak 2021, Milo dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah bergabung tenaga untuk membina ekosistem pembangunan bola sepak dinamik pada peringkat akar umbi, untuk melahirkan bintang bola sepak generasi akan datang.
Kerjasama ini mengukuhkan hubungan jangka panjang yang dijalin sejak dari tahun 1980-an dan 1990-an, pada pertandingan-pertandingan yang diadakan untuk mencungkil bakat-bakat terkenal seperti Azri Ghani dan Shivan Pillay.
Sambil meraikan kejayaan yang dicapai pada tahun 2024, Milo dan FAM juga akan memperkenal inisiatif baharu bagi 2025 dan selanjutnya, dalam usaha mengukuhkan komitmen untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat pembangunan bakat bola sepak bertaraf dunia. - KitaReporters/Kenyataan Media