Bukit Jalil melambai, KL ucap bye! Rumah baharu MOM siap Sukan SEA 2027! Tapi siapa bakal pimpin MOM?
Published byLAKARAN artis grafik pandangan hadapan dari udara Wisma MOM yang baharu di Bukit Jalil. - Kredit foto: MOM
MOHAMAD Norza Zakaria (kiri) menyaksikan Hamidin Mohd. Amin (dua dari kiri) memegang dokumen perjanjian MOM-PSM di sebuah hotel di ibu kota bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil. Turut serta ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk K. Nagulendran (tengah) dan Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac. - Kredit foto: MOM
SEBUAH rumah agam baharu bernilai RM103 juta bakal tersergam bersebelahan Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dan tidak jauh dengan Bandar Sukan Bukit Jalil menjelang Sukan SEA Malaysia 2027.
Sejumlah RM93 juta daripadanya sebagai kos pembinaan manakala selebihnya bagi bayaran pajakan tanah dengan RM5 juta didahulukan kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan dilangsaikan dalam tempoh 10 tahun.
Inilah rumah baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi menggantikan Wisma MOM di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Azlan Shah pada 10 Disember 1991.
Antara kemudahan baharu di dalamnya ialah sebuah muzium, dewan jamuan, bilik sidang media, bilik mesyuarat dan ruang pejabat persatuan sukan kebangsaan.
WISMA MOM sekarang di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur. - Kredit foto: FS
Wisma MOM, Kuala Lumpur sekarang ditukargantikan Wisma MOM baharu di Bukit Jalil dengan pemaju hartanah, Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB).
Wisma sedia ada sekarang berdekatan gelanggang ikonik negara dan penuh bersejarah, Stadium Merdeka dan Stadium Negara bahkan Menara Merdeka 118 - menara kedua tertinggi di dunia (678.9 meter).
Perkembangan baharu ini diumumkan Presiden MOM, Tan Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria menurut sebuah media pada 1 Mac 2025 selepas mesyuarat Majlis Eksekutifnya yang ke-212 di sebuah hotel di ibu negara.
LAKARAN artis grafik pandangan jarak dekat Wisma MOM baharu di Bukit Jalil yang dijangka siap 2027. - Kredit foto: MOM
Sementara itu, MOM turut menetapkan pemilihan pucuk pimpinan baharunya bagi penggal 2025-2029 dalam Perhimpunan Agung Ke-44 pada 19 April 2025 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Dua belas jawatan terbuka untuk dipertanding iaitu satu bagi Presiden, satu Timbalan Presiden, lima Naib Presiden (satu daripadanya mesti berlainan jantina), satu Setiausaha Agung, dua Penolong Setiausaha Agung (satu daripadanya mesti berlainan jantina), satu Bendahari dan satu Penolong Bendahari.
Sebanyak 34 ahli gabungan biasa MOM layak mengundi untuk memberikan mandat baharu kepada barisan kepemimpinan badan induk ini yang ditubuhkan pada 24 April 1954 dengan nama asalnya, Majlis Olimpik Persekutuan Tanah Melayu/Malaya (FMOC).
Sebuah panel bebas yang dianggotai tiga orang, turut ditubuhkan oleh MOM bagi mengendalikan proses pemilihan tersebut iaitu Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk P. Anand; dan Ejen Cukai Lesen Kementerian Kewangan, Datuk Harjit Singh Sidhu.
ANTARA kemudahan terkini Wisma MOM di Bukit Jalil menurut lakaran artis grafik. - Kredit foto: MOM
Borang pencalonan dan penerimaan serta pendaftaran rasmi akan diedarkan kepada kesemua ahli gabungan biasa dan 24 ahli bersekutu MOM mulai 28 Mac 2025 dan perlu dikembalikan pada 9 April 2025.
Namun penerimaan atau tidak pencalonan masih tertakluk kepada saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM).
Norza dan Hamidin menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden MOM pada 4 September 2021, begitu juga Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib mempertahan Setiausaha Agung biarpun disaingi tiga pencabar.
Norza yang kini Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) Rantau Asia Tenggara, mula menerajui MOM pada 5 Mei 2018 menggantikan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang memberi laluan dengan tidak mempertahan jawatannya. - KitaReporters
LEMBAGA EKSEKUTIF MOM 2021-2025:
Presiden: Tan Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria
Timbalan Presiden: Tan Sri Hamidin Mohd. Amin
Naib Presiden: Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar, Datuk (Dr.) Chong Kim Fatt, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad dan Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin
Setiausaha Agung: Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib
Penolong Setiausaha Agung: Moira Tan, Chan Foong Keong
Bendahari: Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin
Penolong Bendahari: Datuk Mohd. Nasir Ali.
SAMA ada Mohamad Norza Zakaria dan Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib akan menang tanpa bertanding atau dicabar sesiapa, terjawab pada 9 April 2025 ini. - Kredit foto: MOM