Antara Evolusi & Revolusi! Buku nukilan Faisal huraikan era baharu sukan bola! Meraikan idea TMJ!
Published byFAISAL Zakariah (empat dari kiri) menunjukkan buku “Antara Evolusi & Revolusi: Era Baru Sukan Malaysia” di samping tetamu pada majlis pelancaran buku itu di Kuala Lumpur. - Kredit foto: FZ
“SESEORANG yang berani bertindak sebagai Revolusioner (Pembawa Pembaharuan), wajar disokong dan patut digerakkan.”
Kata-kata Faisal Zakariah ini merujuk kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengilhamkan Revolusi Harimau Malaya sejak Disember 2024 lalu dengan membawa masuk pakar-pakar teknikal bola sepak dari Australia dan Kanada seperti Peter Cklamovski, Dr. Craig Duncan dan Robert Friend.
Baginya, langkah Pemangku Sultan Johor atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu telah dikesannya sejak baginda bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada 2013 sehingga Sang Harimau Selatan itu kini berjaya membolot gelaran Liga Super selama 11 musim berturut-turut.
Jutaan peminat setia bola sepak tanah air juga ternanti-nanti apa sebenarnya ciri-ciri revolusi ini apabila Harimau Malaya kendalian Cklamovski melayan Nepal dalam perlawanan Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 ini.
Malah bertepatan revolusi itu, Faisal, mantan pengurus pasukan Public Bank, Felda United FC dan PKNS FC, melancarkan sebuah buku nukilannya yang berjudul, “Antara Evolusi & Revolusi: Era Baru Sukan Malaysia” pada 10 Mac 2025 lalu di sebuah restoran di ibu negara.
POSTER dan kulit hadapan buku karangan Faisal Zakariah yang dijual di seluruh negara. - Kredit foto: FZ
Hadir memeriahkan majlis yang juga bersempena iftar hari kesembilan Ramadan 1446 Hijrah ini ialah mantan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad dan mantan Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Dzulkifli Abd. Wahab.
Turut menyokongnya ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang juga legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan; Datuk Subadron Aziz; Datuk Mirnawan Nawawi (hoki); dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Jurulatih Bola Malaysia (PJBM), Ridzuan Abu Shah.
FAISAL memperagakan buku “Antara Evolusi & Revolusi: Era Baru Sukan Malaysia” selepas majlis pelancarannya.
Garapan minda dan perkongsian pengalaman 32 tahun pengurusan bola sepak dalam dan luar negara Faisal yang setebal 148 muka surat ini dijual dengan harga RM45 di Semenanjung Malaysia dan RM48 bagi Sarawak dan Sabah.
Antara tajuk kecil daripada 10 bab yang meliputi buku ini ialah Mengenali Revolusi dan Jenis-jenis Revolusi, Akuilah Hakikatnya JDT..., Tiada Jalan Singkat Dalam Kejayaan dan Pemain Naturalisasi.
“Majlis pelancaran buku ini juga menemukan hadirinnya dalam satu matlamat iaitu mahu melihat sukan bola sepak kita pergi ke hadapan.
“Ketika saya baru balik dari seberang laut sekitar 90-an, revolusi seumpama itu masih sukar diterima ramai jadi bola sepak kita terkebelakang. Sekarang sudah sampai masanya bagi diterapkan,” kata Faisal, bekas Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM.
MIRNAWAN Nawawi (kiri) dan Azzuddin Ahmad mendapatkan autograf Faisal pada helaian awal buku “Antara Evolusi & Revolusi: Era Baru Sukan Malaysia”. - Kredit foto: FZ
FAISAL Zakariah (kiri) dan rakan sekampungnya di Melaka, Mirnawan Nawawi memperagakan buku “Antara Evolusi & Revolusi: Era Baru Sukan Malaysia”. - Kredit foto: FZ
Namun beliau menegaskan, “buku ini bukan untuk mengajar atau bercorak akademik tetapi cuba memahamkan masyarakat dan peminat sukan apa itu evolusi dalam gaya bahasa yang disampaikan dengan mudah.
“Memang adalah juga serba sedikit yang menyentuh pendidikan menerusi sukan namun saya faham, tidak semua pendapat saya dalam buku ini akan disokong dan mudah diterima.
“Yang paling penting matlamat kita sama dan tercapai. Kita hanya perlu mencari titik pertemuannya,” katanya yang antara pencapaian hebatnya, membantu Felda United FC menjuarai Liga Perdana 2010 dan menjejak suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia 2011.
Sebagai pentadbir khususnya dalam sukan katanya, seseorang itu juga perlu sentiasa berfikir dan bertindak di hadapan serta ingin memasang wawasan yang jauh. - KitaReporters
ANTARA hadirin lain majlis pelancaran ialah pengulas sukan TV - Zainal Abidin Rawop (kiri), Dzulkifli Abd. Wahab, Zainal Abidin Hassan dan Subadron Aziz (enam, lima dan tiga dari kanan).
TURUT hadir menyokong pelancaran buku ini ialah ketua jurulatih kelab Liga Semi-Pro A1 - Universiti Malaysia, Ridzuan Abu Shah (depan, dua dari kanan). Berdiri kiri ialah Zainal Abidin Rawop dan Subadron Aziz (duduk, dua dari kiri).