Video| One More Time, KRU! Single kedua selepas Voodoo! Bakal lahirkan album Kaset! Konsert pun ada!
Published by.
Siapa jangka tiga beradik yang menamakan kumpulan mereka KRU, singkatan untuk Kumpulan Rap Unik atau pun Kumpulan Rap Unggul sejak 1992, akan kembali ‘One More Time’ (Sekali Lagi) sebagaimana judul single terbaharu mereka yang kedua walaupun mesej lagu tersebut berbaur cinta.
Dan disebabkan cinta mereka kepada industri hiburan dan ‘cinta’ peminat yang masih setia bersama mereka itulah yang barangkali menyebabkan KRU umum akan kembali menggegarkan industri pada era teknologi moden ini pada Oktober 2024 lalu.
Tentu ramai yang terkejut kan?
Mana tidaknya, KRU yang dianggotai oleh Datuk Norman, 53; Datuk Yusry, 51; dan Edry Abdul Halim, 48, pernah mengumumkan pada 18 April 2018 mengenai pembubaran mereka selepas 25 tahun bersama pada konsert terakhir mereka yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpuur pada 6 Mei.
Kumpulan KRU (dari kiri) Norman, Edry dan Yusry.
Dengan pengumuman untuk kembali beraksi pastinya disambut baik oleh peminat setia yang ‘membesar’ dengan lagu-lagu popular mereka sewaktu remaja dan apabila enam tahun ‘bertapa’ dan tidak menghasilkan lagu waima sibuk dengan urusan perniagaan masing-masing, siapa sangka dalam usia lewat 40-an dan awal 50-an, KRU kembali dengan pengumuman album terbaharu ‘Kaset’ di bawah label Sony Music Entertainment.
Sehubungan itu, lahirnya single pertama dan video muzik berjudul ‘Voodoo’ pada November tahun lalu (2024).
“Voodoo” menggambarkan “prequel” fiksyen bagi kerjaya Norman, Yusry dan Edry pada era awal 90-an sebelum pelancaran album pertama KRU pada tahun 1992.
Sepanjang perjalanan mereka, lebih istimewanya kini, KRU menjadi artis tempatan pertama yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik, memperlihat inovasi dan kreativiti yang terus menjadi identiti KRU sebagai trendsetter dalam industri hiburan tanah air.
Terbaharu membuka tirati 2025, KRU melancarkan pula single kedua daripada album ‘Kaset’ berjudul ‘One More TIme’.
Lagu ini disampaikan dengan penuh emosi oleh KRU membuktikan kematangan Norman, Yusry dan Edry bagi penyampaian vokal dalam sesebuah lagu.
“One More Time” merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Norman, Yusry, dan Edry yang mengekalkan DNA muzik-muzik asal KRU bergenre Pop Dance, Hip Hop dan R&B.
Lagu ini mengisahkan kekecewaan seorang insan yang sekali lagi gagal dalam percintaan dan hanya mampu bergembira dalam kesedihan melihat bekas kekasihnya hidup bahagia dengan orang lain.
Dengan kepakaran mereka dalam teknologi AI, melalui video muzik (MV) ‘One More Time’ peminat berpeluang menyaksikan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini, dan masa depan, memberikan pengalaman emosi yang unik.
Bersama Kenny Ong (dua dari kiri) ketika pelancaran single 'Voodoo' tahun lalu.
“KRU sememangnya artis serba boleh bukan saja dari sudut nyanyian, penciptaan dan penerbitan lagu tetapi juga dalam penggunaan teknologi terkini bagi penceritaan sesebuah lagu melalui video muzik.
"Kami percaya video muzik “One More Time” akan memberi kesan yang mendalam kepada penonton malah lagu ini juga bakal menjadi salah satu lagu klasik KRU yang akan kekal relevan untuk puluhan tahun yang akan datang,” ujar Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn Bhd. Kenny Ong,
Menurut Kenny, sebelum ini ‘Voodoo’ telah mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga dari negara-negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.
Video muzik "Voodoo" dalam YouTube telah mencecah lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh singkat dan telah berjaya memikat pengikut baru KRU daripada generasi Alpha.
“Sememangnya ini merupakan tradisi KRU mengeluarkan lagu balada selepas single pertama yang rancak. Ramai peminat kami menantikan lagu “One More Time”.
"Kami berharap lagu ini akan mendapat sambutan baik daripada peminat, sekali gus mengekalkan momentum pemasaran album “Kaset” apabila dikeluarkan tidak lama lagi.” ujar Norman mewakili KRU.
Dengan terhasilnya dua single terbaharu mereka itu, peminat yang merindui kemunculan mereka tidak akan kecewa apabila KRU turut mengumumkan akan kembali di pentas dengan Konsert GENKRU selama tiga hari iaitu pada 3 Mei, 4 Mei dan 10 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil. - KitaReporters