NORAIZAT Nordin (kiri) saling menyokong dan bekerjasama dengan Aidil Aiman Azwawi ketika berdepan Phutawan Sopa/Rachan Viphan. - Kredit foto: SI


SEPERTI satu kebetulan atau memang telah ditakdirkan rezekinya sampai di situ?

Mana satu yang menjadi faktor tewasnya sang juara dunia, Noraizat Nordin/Aidil Aiman Azwawi dalam separuh akhir acara beregu Piala Dunia Sepak Takraw Istaf pada 23 Mac 2025?

Perjuangan mereka pada sebelah pagi disekat oleh gandingan musuh tradisi Thailand, Phutawan Sopa/Rachan Viphan 9-15, 17-15, 15-17 di Kompleks Sukan Patliputra, Kankarbagh, Patna, Bihar, India.

Semangat melawan dan pantang menyerah mudah Bangau (julukan Noraizat) dan Aidil memang tidak dinafikan apatah lagi beraksi dalam bulan puasa Ramadan yang menuntut ketahanan mental dan fizikal serta pengorbanan tinggi dan luar biasa.  


SEKSAN Tubtong (empat dari kanan) tidak berhak duduk di bangku pasukan Thailand ketika separuh akhir beregu menentang Malaysia kerana bukan pemain simpanan seperti mana Thawisak Thongsai (kiri). - Kredit foto: Istaf


Sayang sekali, sesiapa pun dari bangku pasukan negara dari belakang gelanggang tidak menyedari apatah lagi untuk membantah Seksan Tubtong yang tidak berhak berada di samping jurulatih mereka, Suphot Tumpracha dan Suphaloek Kimthong.

Anggota Tentera Laut Diraja Thailand ini yang tidak didaftarkan sebagai tiga pemain mahupun simpanan, didapati turut memberikan sedikit petua, idea dan pengalamannya kepada Phutawan dan Rachan ketika runding rehat (timeout) sambil mengenakan jaket melindungi jersinya.

Pemain simpanan beregu Thailand ialah Thawisak Thongsai.


SEKSAN Tubtong (2) turut membantu Thailand menjuarai kuadran Piala Dunia Istaf di Bihar pada 21 Mac 2025 lalu. Phutawan Sopa (5) dan Rachan Viphan (1). - Kredit foto: TAT


Seksan, 39, pernah menjadi perunding pasukan Malaysia pada Februari 2024 tetapi khidmatnya diberhentikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) pada April 2024 setelah terpilih menyarung jersi Si Gajah Putih pada Piala Dunia Istaf 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Dia dan Kittiphum Sareebut ditewaskan oleh Noraizat/Aidil 16-17, 13-15 dalam final di situ yang merupakan kejuaraan sulung beregu buat Malaysia dengan menewaskan kuasa utama Thailand sejak acara ini dipertanding pada Sukan SEA Filipina 2005.


ABDUL Halim Kader (kiri) mengingatkan barisan pegawai Thailand (dari kiri), Suebsak Phunsueb, Suphaloek Kimthong dan Supot Tumpracha agar tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan oleh Seksan Tubtong pada separuh akhir beregu Piala Dunia menentang Malaysia. 


Gelagat Seksan walau bagaimanapun disedari pegawai perlawanan akhir beregu ketika awal permainan set pertama Myanmar-Thailand yang berlangsung sebelah petang sehingga dia dengan pantas diarahkan meninggalkan bangku pasukannya.

Thailand muncul juara beregu baharu Piala Dunia dengan kemenangan 15-9, 15-17, 15-13.

Beregu negara dengan simpanan, Shahalril Aiman Halim terdahulu menjuarai Kumpulan A pada 22 Mac 2025 dengan menewaskan Taiwan 15-6, 15-7, Vietnam 13-15, 15-11, 15-12, India 15-11, 15-12 dan Poland 15-2, 15-5.

Pencapaian separuh akhir ini sekali gus pingat gangsa bersama India sekurang-kurangnya masih menebus kehampaan Malaysia yang kempunan ke suku akhir acara kuadran (berempat) pada 21 Mac 2025. 

Perbezaan mata tipis dalam kedudukan keseluruhan termasuk dikejutkan oleh Vietnam 12-15, 5-15 menjunamkan skuad negara ke tempat ketiga Kumpulan B termasuk di bawah Myanmar.


NORAIZAT Nordin (kiri) melepaskan libasan kalih padu yang mengenai badan Phutawan Sopa dalam pertembungan separuh akhir beregu Piala Dunia Istaf di Bihar. - Kredit foto: SI


Dalam perkembangan terbaharu, Supot, Suphaloek dan pegawai Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Suebsak Phunsueb yang juga bekas tekong Thailand, tampil memohon maaf kepada Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader atas kesalahan Seksan.

Mereka bertiga telah dipanggil dan diberikan amaran keras agar tidak mengulanginya apabila Thailand menyertai dua lagi acara, kuadran campuran dan regu wanita (Suebsak juga pengurus pasukannya). - KitaReporters


SUPHALOEK Kimthong menunduk dan bersalaman memohon maaf kepada Abdul Halim Kader sambil disaksikan Suebsak Phunsueb dan Supot Tumpracha.  

8
8
0
14
0

Copy Link: