Sudah lebih enam tahun komposer Johan Nawawi menghembuskan nafas terakhirnya dan meninggalkan isteri tercinta,  penyanyi Datuk Nora Ariffin sebagai ibu tunggal selama empat tahun sebelum kembali bergelar suri rumah kepada Dr. Rushdi Ramli.

Namun sepanjang ‘perpisahan’ dengan arwah Johan, walaupun sudah kembali berkahwin, pemilik bernama sebenar, Wan Norafizah Ariffin, 50, ini jelas tidak melupakan impian suami pertamanya itu untuk beliau berjaya sebagai seorang usahawan dan memiliki sebuah kafe yang mahu dinamakan  ‘Secukup Rasa’ suatu hati nanti.

Tetapi apa yang mampu direalisasikan terlebih dahulu adalah memperkenal jenama “Secukup Rasa By Nora’ dengan melahirkan sebuah buku masakan menggunakan tagline ‘‘Pikat Untuk Yang Tersayang’, disasarkan kepada golongan yang baru belajar memasak.



Bawah jenama yang sama, Nora juga mengeluarkan kek dan cookies raya pada musim bulan puasa malah sewaktu era PKP, Nora mencetuskan idea untuk membuat penghantaran Nasi Kerabu, dan Nasi Dulang serta Rendang Tok untuk raya di mana sambutan yang diterima sungguh luar biasa.

“Waktu itulah saya menyedari betapa kuatnya jenama Secukup Rasa By Nora. Jenama itu memang  saya pegang kerana ia berdaftar dengan MyIPO sebab arwah Johan pernah ajar, kalau saya nak buat bisnes, kena ada Harta Intelek atau Intectual Property (IP). 

"Kata arwah,  jenama yang bagus, kena buat proposal dan kena ada Return of Investment (ROI). Itulah kata-katanya yang saya pegang sampai sekarang,” kenang Nora ketika ditemui pada majlis pelancaran Pes 'Secukup Rasa by Nora'  menggunakan resepi turun-temurun keluarga.


Kredit foto: Instagram @itsnoraariffin.


Pes masakan Secukup Rasa By Nora keluaran syarikat Secukup Rasa Empire yang menggunakan tagline ‘Rasa Sekali Rasa Nak Lagi’ itu menawarkan dua jenis resepi masakan iaitu Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna yang cukup mudah sekali digunakan oleh golongan berkeluarga mahu pun bujang.

Menggunakan rempah ratus dan bahan-bahan yang segar, proses penghasilkan pes masakan itu dilakukan dengan penuh hati-hati agar kualitinya terjaga dan rasanya juga memuaskan hati pelanggan yang membeli.

Bahkan, Nora sendiri turut terlibat di dalam proses penghasilkan pes masakan tersebut dari awal hingga akhir termasuk merancang rekaan logo, ‘look and feel’ serta strategi promosi dan pemasarannya.

“Idea menghasilkan pes masakan ini muncul sebelum saya menyambut hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-50 pada Julai (2023) lalu. Saya terfikir sampai bila saya nak menyanyi? Saya juga beritahu pada diri sendiri, pada usia 50 tahun, saya perlu berbuat sesuatu,” cerita Nora berhubung pengeluaran produk terbaharunya itu.

Sesungguhnya, plantun lagu ‘Di Persimpangan Delima’ ini tidak akan berada lagi dalam delima walau pun ketiadaan arwah Johan yang pergi menyahut seruan Ilahi pada 24 Mac 2017 sehingga membuatkan Nora berdepan dengan cabaran dan kepayahan untuk mengendalikan dua syarikat yang ditinggalkannya iaitu Johan Nawawi Sdn Bhd (produki) serta Hud Hud Media Sdn Bhd (animasi). 

“Cabarannya adalah untuk menyambung bisnes, visi dan legasinya tetapi saya tetap mengambil cabaran itu dan memikirkan jika dia ada  mungkin inilah yang dia mahukan apabila saya melebarkan jenama Secukup Rasa By Nora,” ujar Nora yang turut. berdepan kesedihan apabila  kehilangan anak lelaki keduanya, Muhammad Syakir Alif  yang meninggal dunia pada usia 20 tahun iaitu selepas dua tahun pemergian Johan.


Nora turut mengadakan demonstrasi masakan menggunakan pes 'Secukup Rasa By Nora' untuk para tetamunya merasai masakannya termasuk kakak arwah Johan Nawawi, Norwani Md Nawawi (gambar kanan, bawah).


Bercerita lanjut katanya, “Kebetulan Allah SWT sudah aturkan saya pulang ke Kelantan dan bertemu dengan sepupu saya. Kedua-dua belah keluarga saya memang mempunyai latar belakang dalam bidang katering secara besar-besaran.

“Selepas berbincang, mereka juga mahu meluaskan lagi bisnes mereka dan akhirnya kita bekerjasama mengeluarkan produk pes masakan di bawah jenama Secukup Rasa By Nora melalui sebuah lagi syarikat yang saya usahakan iaitu Secukup Rasa Empire,” kata Nora lagi.

Dengan pes masakannya, sudah tentu tiada delima untuk beliau meneruskan visi memasarkan jenama produknya ke luar negara dengan membawa nama Malaysia sebagai makanan keluaran syarikat bumiputera. Pun begitu hal itu katanya akan dicapai setelah dia memiliki modal yang besar serta mendapat bantuan daripada agensi kerajaan tertentu.



“Untuk peringkat yang pertama ini, kita hanya tumpukan dahulu pada pasaran Malaysia melalui jualan secara online dalam platform e-dagang, Shopee. Pembelian secara terus (direct) juga diterima," tambah Nora sambil memaklumkan penjualan melalui ejen belum dibuka lagi kerana mahu memastikan sistem jualan secara online dapat diselaraskan dengan baik.

Mengakui memang memerlukan ejen kelak untuk berkembang, Nora bagaimana pun mahu merancang terlebih dahulu untuk memasarkan produknya ke Singapura dan Brunei.

“Penjualan melalui ejen kita belum dibuka lagi kerana mahu memastikan sistem jualan kita secara online dapat diselaraskan dengan baik.  Saya juga mahu cuba sedaya upaya untuk memasarkan jenama produk saya ini ke Singapura dan Brunei. Yang itu nanti, kita memang perlukan ejen,” katanya.



Jelasnya, apa yang dilakukannya kini adalah untuk dirinya, keluarga dan anak-anak malah mendapat bantuan dan sokongan suami, Ustaz Dr. Rushdi yang dikahwini pada tahun 2021.

'Sebagai tulang belakang saya, walaupun latar belakangnya dalam bidang akademik, tetapi dia menyokong usaha saya ini sebab dia tahu sejarah bisnes yang saya usahakan dengan arwah Johan dan dia juga nampak potensinya,” kata Nora bersyukur.

Sambungnya, “Saya percaya pada rezeki, masa yang tepat dan tuah yang mengiringi kita. Saya harap saya akan mendapat sokongan semua pihak. Saya percaya bila mana ada rezeki saya, akan ada rezeki untuk orang lain.”

Jadi, jika nak rasa Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna hasil resepi Nora, boleh mendapatkannya  dalam platform e-dagang, Shopee melalui pautan: shopee.com.my/noraariffin.os. - KitaReporters

6
14
0
9
0

Copy Link: