Video| Ara Johari kembali dengan single terbaharu! Tetap Aku Cinta diharap ubati rindu peminat

Published by
KitaReporters


SEJAK bergelar Naib Juara AJL32, Nurfarrah Izzatie Johari atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Ara Johari, menyepi hampir setahun. Kini beliau kembali dengan single terbaharunya, ‘Tetap Aku Cinta’.

Apakah kehilangannya di pentas seni hiburan selama setahun ini disebabkan Ara sedang khayal di lamun cinta?

“Ara sebenarnya tak menghilang dan masih lagi aktif menyanyi, cuma mengambil masa mengumpul material yang sesuai untuk single yang seterusnya, dan pada masa yang sama sedang sibuk menguruskan perniagaan makanan yang baru dijalankan pada bulan Disember tahun lalu.


Lag cerita-cerita menarik berkaitan Ara Johari


Oh! Dah jadi usahawan rupanya penyanyi genit bersuara lantang ini. Baguslah kan demi masa depan yang lebih terjamin namun darah seni yang mengalir dalam jiwanya tidak mungkin boleh ditinggalkan terus ya tak?

“Alhamdulillah kini Ara bersedia membuat comeback dengan single terbaharu yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat di luar sana dan segala rangka promosi yang telah diaturkan oleh pihak pengurusan,” ujarnya.

Memilih lagu berjudul ‘Tetap Aku Cinta’ yang bergenre balada rock moden karya komposer dan penulis lirik hebat tanah air, Amy Bong dan Furhan, bukan petanda hati dan jiwa Ara sedang bergelora dibadai cinta tetapi lagu tersebut mengisahkan tentang seseorang yang menghargai cinta terhadap kekasihnya dengan menyerahkan sisa-sisa hidupnya bersama, walau pelbagai rintangan yang datang, namun dia tetap setia sehingga ke akhirnya.

“Lagu ini sememangnya diberikan khusus kepada Ara oleh Amy dan Furhan sendiri, manakala idea bagi susunan muzik pula datangnya daripada Ara sendiri kerana mahukan sesuatu yang berbeza, dan ini merupakan kolaborasi kedua bersama mereka selepas 'Racun Hati',” jelas anak kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan ini.



Jadi korang jangan salah faham ya sebab pelantun lagu ‘Bunga’ berusia 23 tahun ini masih sendirian dan hatinya belum berbunga-bunga lagi mengenangkan ‘kekasih’ tau.

Apa pun, sebagai anak seni yang baru beberapa tahun menapakkan kaki ke dalam industri muzik tanah air, Ara tidak mengambil hati mengenai gosip-gosip peribadi yang diperbualkan tetapi lebih takut berdepan cabaran dalam kerjayanya sebagai penyanyi.

Jika korang peminat Ara pasti maklum yang Ara pernah memberitahu bahawa karier dan keluarga adalah keutamaan utamanya kerana mahu mengumpul duit untuk kesenangan ibu bapanya terlebih dahulu sebelum memikirkan soal kahwin.

Sejuk perut ibu mengandung kan, mempunyai anak seperti Ara?



“Cabaran terbesar sepanjang bergelar anak seni adalah lagu yang bakal dikeluarkan kerana ia penting untuk menarik minat orang untuk mendengarnya, Ara takut kalau-kalau ada yang tak memuaskan hati pendengar, yalah kita tak dapat memuaskan halwa telinga semua orang," katanya.

Tambah Ara, pandangan umum juga berbeza, kalau dulu sebelum bergelar penyanyi tak siapa yang kenal, kini setiap gerak-geri  diperhatikan, kadangkala tingkah laku kita disalahertikan dan menjadi buah mulut orang, 

“Namun Ara percaya jika kita jujur dalam melakukan sesuatu, ia pasti berhasil,” katanya sambil berharap semoga lagu ‘Tetap Aku Cinta’ menarik minat pendengar, sekali gus mengubati kerinduan peminatnya apatah lagi banyak perkara positif yang boleh diteladani dalam lagu tersebut.

Lagu "Tetap Aku Cinta" terbitan Rocketfuel Entertainment ini boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman dalam talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif dalam saluran YouTube Rocketfuel Network. - KitaReporters

4
0
0
0
0

Copy Link: