Video| Shila Amzah mohon maaf! Menyesal tindakan lalu! Ingin kembali berbaik dengan media Melayu!
Published byPENGHIBUR Shila Amzah ingin kembali berbaik dengan media berbahasa Melayu. Dia lalu memohon maaf kepada rakan-rakan media yang tergores hati dengan tindakannya sebelum ini.
Menurut Shila, dia menyesal kerana membazirkan masa serta wang ringgit untuk sesuatu hal yang boleh diselesaikan secara berhemah tanpa perlu melibatkan mahkamah. Jika kes mahkamah diteruskan dia akan habis sejumlah wang yang banyak yang boleh diguna untuk tujuan berfaedah seperti membeli rumah.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Shahila Amir Amzah, 32, apa yang berlaku bukanlah atas kerelaan kerana ketika itu hidupnya dikawal oleh kedua-dua ibu bapanya.
"Sejujurnya saya dapat kebebasan buat apa saya nak dalam tiga tahun kebelakangan ini... Apa berlaku sebelum ini saya boleh kata bukan keputusan saya. Saya bukan nak menidakkan jasa ibu bapa membesarkan dan melindungi saya, ketika itu saya pun berada dalam keadaan tertekan, memang kita saling memerlukan.
"Kalau boleh undur waktu saya tak nak membazirkan duit dan masa. Saya habiskan amaun duit yang saya boleh beli rumah hanya untuk turun naik mahkamah. Setiap kali nak pergi mahkamah rasa berat kaki.
"Seandaikan saya ada kebebasan masa itu, saya akan selesaikan tapi malangnya mereka (wartawan) tak boleh terus kepada saya, tak ada nombor untuk tanya, kalau saya ada ruang mesti saya jawab.
"Memang keputusan itu bukan keputusan saya! Of course masa muda saya ada emosi... saya tak boleh keluar, tak boleh berkawan dengan sesiapa yang saya nak, saya dikawal rapi," katanya.
Shila berkongsi luahan hatinya itu menerusi temu bual dalam program hiburan Melodi, TV3, tengah hari Ahad, 20 Mac 2022.
"Semasa itu pandangan saya tentang kehidupan berbeza, saya harap sangat ini tak berpanjangan, kita semua nak hidup tenang sahaja dan semoga menjadi pengajaran dan iktibar untuk anak seni dan kawan-kawan yang lain.
"Apabila dah ada dalam industri selesaikan dengan cara baik. Saya mohon maaf sangat, tak nak hidup dalam dendam dan pergi event pun rasa best je.
"Ini merupakan satu titik hitam paling buruk dalam hidup saya, saya harap kita dapat berbaik semula kerana kita tak tahu esok ada lagi tak untuk kita. Kalau tak nak berkawan lagi pun, jauh di hati saya anda dapat memaafkan saya," ujarnya.
Ditanya adakah dia bersedia untuk bertentang mata dengan media yang pernah terpalit isu sebelum ini, Shila berharap proses berbaik ini berlaku secara semula jadi.
"Untuk masa sekarang ini saya lebih selesa berlaku secara semula jadi. Insya-Allah! Saya harap lepas ni kita buang yang keruh dan ambil yang jernih, ni pun nak bulan Ramadan dah, mana tahu masa raya nanti saya boleh undang datang ke rumah.
"Saya tak mahu hidup dalam penyesalan, tak nak apa-apa berlaku terhadap mereka yang tersinggung benda itu, ia buat hidup saya tak best.
"Saya terkilan apa yang berlaku, kalau boleh pusing masa semula saya tak nak pergi ke mahkamah. Saya tak boleh bayangkan mereka yang terkesan, saya doakan yang baik-baik untuk semua," katanya.
Pada 15 September 2014, tindakan Shila memuat naik satu status dalam Instagram memuji media berbahasa Cina kerana membuat liputan meluas berkenaan konsert ‘Shila Amzah - Love Live in Malaysia’ dan menyelar media Melayu. Ia telah menjadi titik permulaan pergaduhan dengan media berbahasa Melayu.
Dalam temu bual itu juga, Shila turut diberi pertanyaan spontan daripada wartawan yang mendapat khabar kononnya hubungan rumah tangga ibu bapanya iaitu Datuk ND Lala (Amir Amzah) dan Datin Fauziah Sarman sedang berdepan masalah.
"Dia macam separuh pokok bergoyang, memang mereka sedang melalui waktu sukar tapi tidak lagi bersama itu tak betul
"Selepas 30 tahun berkahwin mereka sedang melalui fasa sukar... saya harap doakan yang terbaik untuk mereka terutamanya ibu saya," ujarnya. - KitaReporters
Shila bersama ayah dan ibunya