MOHD. Reza Mokhtar (kiri) dan Ahmad Danial Ahmad Asri, penyerang Selangor FC 2021. - Kredit foto selangorfc.com.


MENGAPA Selangor FC memilih untuk mengembalikan reka bentuk jersi pasukan juara Piala Malaysia 1986 apabila melancarkan jersi baharu utamanya (home/kandang) bagi Liga Malaysia musim 2021 pada 1 Februari lalu?

Kenapa juga tidak satu daripada koleksi sembilan lagi kejuaraan Piala Malaysia ketika Merah Kuning diperkasa oleh Mokhtar Dahari yang meliputi 1972, 1973, 1975, 1976, 1978, 1979, 1981, 1982 dan 1984? 

Grafik bayangan wajah Supermokh turut diselitkan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada jasa legenda penyerang Selangor dari 1972 hingga 1987 dan Malaysia, 1972 hingga 1985 ini.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak


 



Adakah satu amaran awal atau perang saraf terhadap juara Piala Malaysia 2019 dan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut sejak 2014, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC menjelang tirai Liga M musim 2021 yang bakal disingkap 5 Mac 2021 ini?

Selangor membelasah Johor 6-1 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tanggal 3 Mei 1986 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur menerusi dua jaringan Azhar Mohd. Sharif, Allahyarham Razali Alias, Khan Hung Meng, Zainal Abidin Hassan dan Ristomoyo Kassim.



GAMBAR atas, Shahrel Fikri Md. Fauzi, penyarung jersi utama Selangor FC 2021 bernombor 10 seperti mana Mokhtar Dahari (gambar bawah) pada 1986. - Kredit foto: selangorfc.com.


Sekalipun lebih berunsur retro klasik, sudah 6,000 helai keluaran pertama jersi kuning, merah dan hijau Selangor FC laris seperti pisang goreng panas hanya kurang dari tempoh 48 jam dilancarkan secara dalam talian pada laman sosial kelab itu.

Sebagai menghargai sambutan hangat para penyokong Merah Kuning itu, sebanyak 1,600 helai lagi stok baharu jersi edisi pemain dan berharga RM109 akan dibuka untuk jualan dalam talian.



Turut muncul dalam video pelancaran jersi ini ialah anak sulung Supermokh, Mohd. Reza Mokhtar, dua bekas rakan sepasukan ayahnya, Lim Chuan Chin dan Azlan Johar serta penyerang era 90-an, Rusdi Suparman.

Barisan pemain Gergasi Merah 2021 yang menjadi ‘peragawan’ jersi ini ialah Brendan Gan, K. Sarkunan, Ahmad Danial Ahmad Asri dan Shahrel Fikri Md. Fauzi - penyerang yang berhijrah dari Perak dan mendapat jersi bernombor 10 - angka keramat Mokhtar.

“Saya berada di Stadium Merdeka, berusia lima tahun ketika itu (1986). Suasana memang meriah. Memang saya gembira dan bangga Selangor juara tahun itu.

“Selepas sahaja ambil piala di pentas, semua pemain berlari di padang. Saya turut serta berlari sekeliling padang untuk berarak dengan Piala Malaysia,” kata Reza, dipetik daripada video laman sesawang selangorfc.com. 

Dia turut mewarisi bakat dan kejaguhan bapanya dengan menganggotai skuad Piala Presiden Selangor 1999 hingga 2003, Piala Emas Raja-raja 2000 dan 2003 serta Sukan Malaysia (Sukma) 2000 dan 2002. 

“Semasa kecil, kami adik-beradik (termasuk Nur Azera dan Nur Arina) tidak tahu nama Mokhtar Dahari itu cukup besar dalam bola sepak Malaysia,” katanya yang menceburi bola sepak dengan mewakili skuad Bawah 14 Tahun Kuala Lumpur.

MOHD. Reza di samping Mokhtar Dahari selepas final Piala Malaysia 1986. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan.


SKUAD Selangor juara Piala Malaysia 1986. Di barisan depan antaranya Razali Alias, R. Arumugam, Azlan Johar, Ristomoyo Kassim dan Zainal Abidin Hassan serta Mokhtar Dahari. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan.


Mengenai jersi 2021 retro 1986 ini katanya, “jersi (sebegitu) sudah agak lama. Memang terharu kerana kali terakhir dipakai Allahyarham ayah ketika menjulang Piala Malaysia.” 

Azlan, penyerang supersub Selangor 1986, menyifatkan Mokhtar manusia yang sangat istimewa dan atlet yang lengkap dan sentiasa memberikan yang terbaik, dalam latihan dan perlawanan.

 “Tunjuk ajar senior sepertinya, turut digunakan dalam hidup kami seperti merendah diri dan jujur dengan bola sepak. Tanpa kejujuran, bola sepak kita tidak akan ke mana-mana,” kata tonggak pasukan Harimau Malaysia 1981 hingga 1986 ini.



Chuan Chin, penjaga gol kedua Selangor 1986 di samping mendiang Datuk R. Arumugam, berkata, kehebatan arwah Mokhtar turut menjadi cabaran dan motivasi mereka berdua di posisi benteng terakhir ini. 

“Sepakannya memang hebat tetapi kami juga ada cabaran. Kalau anda penyerang ingat anda boleh jaringkan gol, ayuh kita cuba. Kami juga penjaga gol yang bagus.

 “Kadang-kadang Arumugam cakap, hey, ayuh kita cuba selamatkan sepakannya. Mendiang selalu beri semangat dan galakan tetapi tendangan arwah jangan main-main. 

“Bola yang bahaya (perebutan dengan lawan) pun dia masuk. Arwah Mokhtar tidak mengiranya kerana dia sentiasa mahu berikan yang terbaik,” kata bekas penjaga gol negara ini.


 

LEGENDA Merah Kuning (dari kiri, Rusdi Suparman, Mohd. Reza Mokhtar, Lim Chuan Chin dan Azlan Johar. - Kredit foto selangorfc.com.

1
0
0
0
0

Copy Link: