Ramai artis kini mengurangkan kegiatan nyanyian dan lakonan untuk memberi tumpuan ke bidang perniagaan. Ada yang berjaya sebagai pengusaha dan tidak kurang juga yang ‘terjunam ke laut’ dalam bidang perniagaan kerana tidak cukup ilmu perniagaan.

Namun bagi yang mampu menjadi usahawan berjaya, tidak ramai yang menunaikan tanggungjawab membayar zakat 2.5 peratus setahun untuk perniagaan. Berapa ramai pula yang dapat penghargaan daripada pihak pengurusan zakat?



Salah seorang artis yang berjaya menjadi usahawan berjaya ialah Aeril Zafrel atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 33. Dan sebagai umat Islam yang patuh, Aeril tdak lupa membayar zakat selain cukai kepada kerajaan.

Sebagai pembayar zakat yang konsisten, Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi penghargaan kepada Aeril apabila syarikatnya Respected Citizen Sdn Bhd membayar zakat lebih RM50,000 setahun kepada institusi itu.

LZS dalam hantaran di Facebook mengucapkan terima kasih kepada Aeril kerana membantu golongan asnaf di Selangor.


"Alhamdulillah! Terima kasih Aeril Zafrel kerana terus menyokong membantu asnaf di Selangor.

"Jom sama-sama kita doakan moga harta beliau terus subur untuk bantu mereka yang memerlukan," tulis LZS.


Aeril memperlihatkan penghargaan daripada LZS

Sementara itu, Aeril berkata, dia berterima kasih kepada orang ramai atas sokongan diberikan terhadap perniagaan yang diusahakan bersama isterinya, Wawa Zainal iaitu Wawa Cosmetics. 

"Alhamdulillah dapat penghargaan dari LZS untuk tahun ni. Pembayaran zakat ini adalah nasab daripada perniagaan yang saya dan isteri jalankan. Memang setiap bulan pun kena bayar zakat perniagaan. Jumlah dinyatakan LZS itu adalah anggaran dalam setahun. Alhamdulillah, ia semua berkat sokongan daripada semua.

"Insya-Allah, dengan adanya zakat ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan di negeri Selangor. Saya berdoa semoga perniagaan yang diusahakan akan terus diberkati dan seterusnya dapat membantu lebih ramai orang lagi," katanya.

Aeril juga mengajak orang ramai terutama mereka yang berkemampuan untuk menunaikan kewajipan berzakat. Aeril turut memuatkan gambar dan penghargaan daripada LZS dalam Instagramnya.

"Tujuan saya memuat naik gambar dan penghargaan daripada LZS bukan untuk menunjuk, sebaliknya ingin menghebahkan kepada semua akan kewajipan berzakat ini terutama bagi mereka yang menjalankan perniagaan.

"Diharap juga ini menjadi dorongan kepada semua agar lebih ramai lagi yang menunaikan kewajipan," katanya. - KitaReporters


Aeril dan Wawa ketika mengerjakan umrah

14
7
0
17
0

Copy Link: