"KITA boleh sesuaikan mengikut keperluan kita!" tegas Presiden Persatuan Gimnastik Negeri Terengganu, Abdul Razak Mat Amin sewaktu ditanya oleh pemberita berkenaan isu terkini berkaitan pematuhan pemakaian atlet menurut syariah. : KitaReporters

Presiden Persatuan Gimnastik Negeri Terengganu, Abdul Razak Mat Amin


Beliau yang pernah menyandang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) turut menjelaskan bahawa sukan gimnastik di negeri Terengganu adalah satu sukan yang baharu dan kian meningkat naik. 

Orang ramai khususnya para peminat sukan negeri ini perlu mengubah persepsi yang sering dikaitkan dengan imej seksi berkaitan dengan aurat bagi atlet beragama Islam itu sendiri.

Perlaksanaan pematuhan pemakaian atlet ini tidak menjejaskan sebarang program pembangunan mahupun penyertaan atlet dalam sebarang kejohanan nanti, katanya pada Khamis, 9 Julai 2020 lalu. 

Malah, menurut Abdul Razak, melalui perlaksanaan ini juga dilihat mampu memberi kesan positif kepada atlet-atlet lain khususnya di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Beliau juga turut memberitahu, pada peringkat Olimpik terdapat beberapa negara Islam yang turut mengambil bahagian dalam sukan ini, malah negeri Kelantan turut pernah mempertaruhkan atlet mereka di pentas SUKMA yang lalu. 

Gambar hiasan... Contoh pakaian atlet Muslim. - Kredit foto: gazzetta.it


Oleh sedemikian tidak seharusnya sukan ini terus terkubur di negeri ini memandangkan hala tuju pembangunan sukan gimnastik untuk meletakkan negeri Terengganu selaku salah satu kuasa besar sukan ini. 

Perkembangan sukan gimnastik negeri Terengganu menjadi perhatian pada awal tahun lalu berikutan beberapa garis panduan pemakaian atlet yang dicadangkan oleh pemegang taruh menimbulkan pelbagai spekulasi. 

Terdahulu, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah telah mengumumkan untuk memperkenalkan garis panduan pemakaian patuh syariah atlet khususnya bagi kontinjen negeri yang beragama Islam untuk berentap di pentas temasya SUKMA Johor nanti. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah


Perkara ini turut telah dibincangkan bersama beberapa pihak lain dalam program Bengkel Garis Panduan Sukan Menurut Islam 2019 yang telah diadakan.

Sukan gimnastik dan barisan gimnas wanita negeri ini antara komuniti sukan yang paling mendapat tempias setelah menurut beberapa laporan berita tempatan menyatakan Kerajaan Negeri Terengganu menzahirkan kesediaan untuk menarik diri dalam sebarang acara kejohanan. 


Sementara itu, skuad gimnastik Terengganu menyasarkan sasaran tiga pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 di Johor nanti untuk membantu kontinjen Terengganu sekali lagi mencipta sejarah selaku juara keseluruhan. 

Sasaran realistik ini diletakkan memandangkan skuad ini telah melakukan program latihan penuh sejak dua tahun lepas sejurus SUKMA Perak 2018 menutup tirai. 

Malah sebahagian besar atlet-atlet senior skuad ini yang masih layak untuk berentap di Johor nanti menjadi satu kelebihan buat kontinjen negeri Terengganu selaku penyandang juara keseluruhan.

Walaupun program latihan berpusat terhenti berikutan pandemik COVID-19 yang menjadi isu global, skuad di bawah kendalian ketua jurulatih Ahmad Akramin Othman kini kembali menyambung rutin program latihan dalam aturan normal baharu sejak 15 Jun 2020 lepas. 

Untuk rekod, Ahmad Akramin yang juga merupakan anak jati negeri ini turut pernah beraksi di pentas Sukan Komanwel 1998 dan pernah menggalas tugas selaku jurulatih skuad pelapis gimnastik lelaki kebangsaan.

Skuad gimnastik Terengganu Hanelang yang kini dalam misi ‘2020 Victory Mission’ untuk mempertahankan kejuaraan di pentas temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor edisi Ke-20 menerima sumbangan RM2,000 dari Pejabat Daerah & Tanah Marang selaku bapa angkat kepada pasukan ini.


“Sasaran kita adalah 3 pingat emas. SUKMA di Perak yang lepas sasaran kami sama juga cuma kecederaan ketika pertandingan akhir menghalang kami capai sasaran di saat akhir. 

"Insya-Allah pada kali ini kami mampu untuk capai sasaran. 

"Kini atlet kami telah matang sepenuhnya dan terdapat atlet kami berlatih bersama atlet kebangsaan," ujar Presiden Persatuan Gimnastik Negeri Terengganu, Abdul Razak Mat Amin.

Pada penganjuran SUKMA edisi lalu, skuad ini tersasar untuk memungut pingat emas pada saat akhir berikutan insiden kecederaan sehingga memaksa untuk menyumbang satu pingat perak berbanding SUKMA Sarawak 2016 yang berjaya merangkul tiga pingat emas.

Pejabat Daerah dan Tanah Marang melalui Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak telah menyampaikan sumbangan bernilai RM2,000 dalam satu majlis meraikan skuad gimnastik negeri Terengganu bersama bapa angkat pada Khamis, 9 Julai 2020 lalu. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: