Video| Siti Nurhaliza bawa imaginasi kanak-kanak rentas ke tahun 2170! Lagu Medley Klasik Siti 2!
Published byKata orang jauh perjalanan luas pandangan namun apa yang dibayangkan oleh penyanyi popular dalam kalangan generasi baharu dan lama, Dato Seri Siti Nurhaliza melangkau sejauh 148 tahun lagi iaitu pada tahun 2170 apabila bumi dikatakan tidak lagi selamat untuk didiami, wallahuallam!
Tetapi begitulah ceritanya video muzik animasi terbaharu daripada Siti Nurhalisa atau Tok Ti bagi menyegarkan rangkaian lagu kanak-kanak klasik berjudul ‘Medley Klasik Siti 2’ yang dihasilkan dengan kerjasama platform e-dagang, Shopee.
Medley Klasik Siti 2 terdiri daripada rangkaian lagu ‘Air Pasang Dalam’, ‘Lagu Tiga Kupang’, ‘Anak Odeng’ dan ‘Kalau Rasa Gembira’, yang sudah lama menjadi hafalan kanak-kanak generasi dahulu bahkan masih menjadi siulan halwa telinga sehingga kini.
Lagi cerita-cerita menarik
''Saya menghasilkan album kanak-kanak ini sebagai khazanah muzik untuk generasi kini dan akan datang agar dapat menghargai karya terdahulu.
"Saya gembira kerana dapat menerbitkan album yang boleh dijadikan rujukan pada masa depan. Lagu-lagu ini jugalah yang menjadi dendangan orang tua kita satu masa dahulu,'' ujar Siti.
Video muzik animasi arahan M. Husien ini menampilkan maskot Shopee, orang utan, yang bernama Sean & Sophie.
Jalan ceritanya yang berkisar pada tahun 2170 apabila bumi tidak lagi selamat untuk didiami mengisahkan tentang seorang pemuda yang sedang bersenam di sebuah taman rekreasi hologram berpengkalan di angkasa, secara tiba-tiba beliau termasuk ke dalam satu dimensi teleportasi masa lalu di bumi.
Di alam dimensi masa lepas ini, pemuda tersebut dapat melihat keindahan flora dan fauna dan juga suasana kampung yang wujud di masa lepas.
“Video muzik dalam bentuk animasi suka ditonton oleh kanak-kanak dan ini merupakan salah satu cara untuk saya memperkenalkan lagu kanak-kanak klasik kepada generasi kini,'' jelas Siti sambil mengucapkan penghargaannya kepada Shopee di atas kerjasama untuk menghasilkan dan menjayakan video muzik berkenaan.
Untuk rekod, kerjasama kedua-dua pihak ini telah bermula sejak tahun 2018 apabila Siti menyertai Shopee Celebrity Squad Malaysia dan berkolaborasi menerusi konsert mini beliau bersama Shopee pada tahun 2019.
Siti juga telah dilantik sebagai duta tempatan platform Shopee semasa kempen Ramadan dan Raya Bersama Shopee pada tahun ini.
Bagi menghangatkan lagi promosi Tok Ti turut mengumumkan peraduan memenangi baucar Shopee dan Shopee Coins bagi mereka yang menyertainya. Sebanyak 20 pemenang akan dipilih secara rawak dan diumumkan pada 25 Mei 2022 ini.
"Rugi sangat kalau tak sertai," jelas Tok Ti. - KitaReporters