Kesesakan di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur susulan banyak kenderaan menuju ke Pantai Timur selain pemeriksaan terperinci polis di SJR.


HAMPIR kesemua pengguna lebuh raya yang melalui Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur didapati mencukupi syarat bagi meneruskan perjalanan merentas negeri menuju ke Pantai Timur.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata hasil pemeriksaan dijalankan pihaknya mendapati pengguna punyai surat kebenaran sah sebelum dibenarkan melepasi sekatan jalan raya (SJR) di plaza tol berkenaan.

Menurutnya, selain tujuan urusan bekerja dan terbabit dalam perkhidmatan penting ada dalam kalangan mereka punyai kebenaran atas faktor kecemasan dan perubatan serta pasangan jarak jauh (PJJ).

"Sebahagian besar pengguna yang melalui SJR ini kemukakan surat kebenaran atas urusan kerja yang disahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berserta surat kebenaran polis.

"Pemeriksaan yang dibuat secara teliti oleh pihak polis mendapati sebahagian besar pengguna lebuh raya cukup syarat kebenaran merentas negeri,"  katanya kepada pemberita di lokasi SJR Plaza Tol Gombak pada, 29 Mei 2021.

Mengulas mengenai kesesakan lebih satu kilometer ke laluan berkenaan, Arifai berkata ia berkemungkinan disebabkan banyak kenderaan ingin menuju ke Pantai Timur.

"Kesesakan itu juga kerana polis mengambil masa untuk lakukan pemeriksaan secara terperinci bagi mengelak orang ramai rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran.

"Polis menafikan dakwaan segelintir pihak  menyatakan adanya pergerakan luar biasa hari ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh dikuatkuasakan 1 Jun 2021," katanya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
0
0
0
0

Copy Link: