Boleh ke perigi cari timba? Drama Che Ayu Mee Sanggul buka perbahasan! Zaman kini lebih terbuka?

Published by
KitaReporters


JIKA pada zaman nenek moyang kita dahulu, peribahasa ‘perigi mencari timba’ merupakan satu istilah yang boleh dianggap memalukan sebab budaya orang Melayu lebih menerima apabila pihak lelaki yang meminang perempuan bukan sebaliknya.

Persoalannya apakah istilah itu masih relevan pada era sains dan teknologi yang canggih sekarang ini apatah lagi anak-anak muda zaman ini dah terlebih bijak sehingga ada yang  tidak lagi mengendahkan mahu pun menghormati ibu bapa sendiri sekali pun.

Terkini, drama bersiri ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ nampak gayanya mengembalikan peribahasa ‘perigi mencari timba’  dalam konteks baharu sesuai dengan peredaran masa dan penerimaan masyarakat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan drama

Babak rombongan meminang daripada pihak perempuan kepada lelaki yang dipaparkan.


Dalam salah satu babak drama ini memaparkan pelakon utamanya, Amelia Henderson yang memegang watak Cik Ayu menghantar rombongan meminang duda anak satu, Akhtar lakonan Aqasha.

Apa mesej yang mahu disampaikan penerbitnya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor?

“Saya  nak gambarkan bahawa zaman dah berubah dan budaya Melayu yang malu untuk menerima pinangan daripada perempuan sudah berubah,” jawab Rosyam pada persoalan penulis dalam sidang akhbar drama ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ yang berlangsung secara maya pada 28 Julai 2021.



Turut hadir bersama, pelakon Amelia Henderson, Aqasha dan Cat Farish manakala Rosyam selaku penerbit tidak ketinggalan menjadi ‘cameo’ dengan memegang watak seorang lelaki kaya berusia, Tuan Baharom.

Menyambung pendapatnya, Rosyam memberitahu, babak  perempuan menghantar pinangan itu memperlihatkan anak-anak muda sekarang sudah boleh mengubah persepsi budaya lama demi kebaikan.

“Saya memaparkan Che Ayu yang masih muda tetap mengekalkan ciri-ciri seorang wanita Melayu apabila sering berpakaian kebaya dengan cucuk sanggul namun bersedia melakukan sesuatu di luar budaya Melayu seperti meminang lelaki demi kebaikan dirinya,” tambah pemilik nama penuh  Mohamed Noor Shamsuddin ini.



Trivianya, dalam drama bersiri 16 episod itu,  ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ yang telah mula siarannya  pada 27 Julai 2021 lalu, dalam saluran Astro Ria HD (104) dn Astro Ria (124), setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, memperlihatkan Amelia Henderson menggayajkan 40 helai set kebaya sepanjang penggambaran berlangsung.

Tambah Rosyam, beliau mahu mengekalkan budaya berpakaian tradisional agar tidak terus luput ditelan zaman dan perkara yang dianggap tidak patut berlaku seperti ‘perigi mencari timba’ tetap boleh terjadi.

“Kesudahannya ia akan menjadi topik perbincangan untuk dibahaskan apakah patut atau tidak perkara itu berlaku apatah lagi pada zaman generasi muda sekarang ini,” Rosyam berpendapat.

Tidak mahu drama penerbitannya nampak mendatar dan klise, Rosyam mahukan penonton turut berfikir dan pertikai baik buruknya, agar akhirnya ada satu solusi daripada babak itu.



Sementara itu, bercakap mengenai penampilannya yang menggayakan padanan tradisional kebaya dan cucuk sanggul sebagai pakaian harian di dalam drama tersebut, Amelia Henderson rasa teruja digayakan sedemikian.

“Ini kali pertama sepanjang drama saya ditampilkan begitu bagi mewarnai watak Cik Ayu dan saya tak rasa kekok malah dengan bantuan jurusolek dan bahagian wardrobe segalanya menjadi mudah,” ujar Amelia ringkas.


Salah sebuah babak lakonan Amelia, Aqasha dan adik Aryan Azdrin sebagai Uwais.


'Styling’ (tatarias) untuk dandanan sanggul Amelia mendapat sentuhan jurusolek yang terkenal dengan sifat latah iaitu PS Mansur yang mana khabarnya beliau mengambil masa 30 minit untuk menyiapkan dandanan sanggul tersebut sewaktu di set.

“Selain itu saya mahu tonjolkan balik budaya berkebaya agar kembali popular dijadikan pakaian harian wanita-wanita hari ini seperti zaman dahulu,” sambung Rosyam yakin.

Menyentuh soal pelakon baharu, Rosyam akui ada menolak untuk menawarkan watak kepada seorang pelakon popular disebabkan dia ‘demanding’ dan nampak ‘action’ konon sangat memilih watak.

“Saya tidak mahu artis menyusahkan team produksi jadi saya terpaksa tolak mengambilnya dan alhamdullilah drama yang sepatutnys dia berlakon meletop dan selepas itu apabila bertemunya saya nampak dia agak menyesal tetapi saya tidak 'ban' dia cuma belum ada rezeki dia lagi untuk berlakon dalam penerbitan saya,” cerita Rosyam menafikan beliau telah  ‘ban’ pelakon berkenaan kerana bukan haknya untuk menutup rezeki sesiapa.



Drama ‘Che Ayu Mee Sanggul’ arahan Idora Abdul Rahman dan skrip ilham Nieza Nahar

mengisahkan pengorbanan seorang balu muda yang menikahi seorang duda tanpa ikatan cinta demi menjadi ‘ibu segera’ kepada Uwais, anak duda tersebut.

Ayu adalah pengusaha Mee Sanggul yang berjaya di Kota KL. Perkenalan dan hubungan rapatnya dengan Uwais serta Nek Wan (lakonan Aznah Hamid) ditentang oleh Akhtar apabila mendapat tahu Ayu adalah isteri kepada arwah Tuan Baharom yang mewarisi segala hartanya. 

Akhtar skeptikal terhadap status janda Ayu kerana pengalaman pahitnya bersama bekas isterinya. Uwais pula masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu. Ayu berkorban dan membuat keputusan untuk meminang Akhtar sendiri. Ayu juga didekati lelaki-lelaki lain dalam hidupnya yang sentiasa menjadi penghalang kisah cintanya. - KitaReporters


2
0
0
0
0

Copy Link: