UMAT zaman kini seakan-akan mengitar semula kehidupan manusia pada zaman jahiliyah seperti yang diceritakan dalam hadis apabila ada yang berlumba-lumba mempamerkan `aurat` dengan berpakaian seperti seorang  yang `bertelanjang`.

Walaupun memakai tudung dan berpakaian lengkap tetapi fesyen yang ketat, kain yang jarang dan menampakkan susuk tubuh

Dalam Islam, sudah termaktub ‘aurat’ yang bermaksud ‘aib’ adalah ‘kehormatan diri bagi seseorang yang wajib dijaga dan di pelihara sepanjang masa’.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bertudung:

https://kitareporters.com/search?search=bertudung



Dalam Halaqah Umum Bulatan Mahabbah, IKRAM Hulu Selangor yang berlangsung secara online, pendakwah bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ustazah Nor Hafizah Daud membacakan  sebuah hadis sahih daripada Abu Hurairah RA riwayat Muslim, Rasulullah pernah bersabda tentang dua golongan daripada penghuni neraka yang belum pernah baginda melihatnya  iaitu:

Satu kaum yang memegang cemeti seperti ekor lembu untuk mereka memukul manusia dengannya. 

dan  satu lagi kaum wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta (supaya orang kagum kepada mereka).



Sebagai contohnya, wanita memakai baju ketat atau jarang  yang menampak bentuk badannya yang menggiurkan, cenderung kepada perbuatan maksiat atau semata-mata untuk menggoda lelaki supaya melakukan perbuatan maksiat dengannya.

Juga disebutkan tentang fesyen sekarang yang meninggikan tudung kepala dan nampak seolah bonggol unta.  

Menakutkan, kedua golongan ini bukan saja tidak berpeluang memasuki syurga malah tidak dapat menghidu bau syurga walaupun bau itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak perjalanan yang jauh. 

Bagaimana seorang Nabi boleh melihat adanya gambaran makhluk Allah yang berperangai begini selepas jarak 1,400 tahun lamanya. 

Sesungguhnya Alah SWT  telah pun memberi gambaran ini kepada Nabi Muhamad SAW, melihat perilaku manusia sehingga kiamat.


Kredit foto: FB Coretan Status Baper


Dalam segmen Wanita dan Kekeluargaan, Ustazah Hafizah berkata Allah mewajibkan wanita Islam menutup aurat untuk membezakan hamba-Nya yang beriman dan supaya mereka dikenali serta sebagai satu keistimewaan, penghormatan dan satu bentuk ketaatan kepada Allah swt. 

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, "Hendaklah mereka (menutupkan jilbabnya) melabuhkan pakaiannya ke seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Yang demikian itu agar mereka lebih untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang"."  (Surah Al-Ahzab : 59)



Umat Islam perlulah menghayati sifat haya’  iaitu perasaan malu yang amat sangat kepada Allah dalam segala segi  dan mempunyai keimanan sebagai benteng perlindungan daripada dicemari fitnah keji.  

Ini seperti sabda Rasulullah SAW, malu (haya) dan iman sepatutnya selari (berpasangan) kerana apabila salah satunya dicabut, hilanglah yang lainnya.

Sebab itu, ada sesetengah wanita pada zaman moden ini boleh disamakan dengan zaman jahiliyah kerana ketika ini mereka terdorong untuk berpakaian moden yang dipromosikan oleh bukan Muslim dengan alasan kebebasan dan hak asasi manusia. 

Sedangkan antara sesama wanita Islam pun ada hadnya bila terbuka auratnya. Apatah lagi jika kita bergaul dengan wanita bukan Islam. Kerana sifat Haya itu adalah satu cara menghalang seseorang beriman daripada `tersesat` dalam kegiatan yang meragukan (syubhat). 


Kredit foto: widiutami.com


Sayangnya Allah SWT kepada wanita, melindungi sepenuhnya dengan syariat yang ditetapkan. Usahkan dibiar terbabit  dalam gelaja maksiat , mahu mendekati perkara-perkara yang membawa kepada mukadimah zina pun, dilarang supaya wanita Islam itu dilindungi sepenuhnya. 

(Muqaddimah zina ialah segala perlakuan yang boleh membawa kepada syahwat samada pandangan, pendengaran dan perasaan)  

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”. Surah Al Ahzab :32

Sehubungan dengan itu, kebangkitan syiar Islam pada abad ini sepatutnya menjadikan wanita Islam itu sebagai teladan kepada wanita di dunia dengan tidak lagi menjadi pengikut tabarruj jahiliyah dalam erti kata lain, menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya, yang mungkin menarik perhatian dan membangkitkan nafsu syahwat lelaki bukan suaminya.



"Tabarujj adalah budaya orang jahil, tidak ada agama, tiada adab susila dan peraturan hukum hakam. Mereka bebas menghias diri, bermekap berlebihan, bergaul bebas dan mungkin juga melakukan perbuatan seks bebas yang boleh merosakkan masyarakat. 

"Cuba bayangkan bila seseorang itu bertabarruj dan berpakaian secara berlebihan dan menarik perhatian orang lelaki lain, mereka sudah termasuk dalam golongan yang terdedah pada fitnah." katanya.

Walaupun begitu, kata Ustazah Hafizah lagi, wanita masih boleh berhias diri secara sopan. Maksudnya jika mereka bekerja atau perlu keluar adalah harus untuk merias wajah dan berpakaian secara sederhana supaya kelihatan sopan,  kemas, tidak mencolok mata ketika mengendalikan urusan kerana batasan sesama wanita juga tertakluk pada cara kerja dan suasana.

Tetapi yang pastinya, wanita tetap haram memakai rambut palsu, mencukur kening dan lebih-lebih lagi jika memakai bulu mata palsu yang kerap menjadi kegilaan wanita muda sekarang. Mereka pun tidak tahu adakah wuduk itu sempurna jika bulu mata itu dilekatkan dengan gam. 



Wanita solehah adalah mereka yang berhias cantik untuk suami. Satu hal yang agak menakutkan ketika ini ialah perlakuan sumbang mahram bila terlalu banyak pendedahan filem porno pada era langit terbuka, maklumat di hujung jari tanpa sempadan. 

Sebab itu wanita hendaklah berpakaian sesuai ketika di rumah mentua, di depan adik beradik lelaki dan pergaulan juga perlu dikawal.

Firman Allah dalam surah An-Nur ayah 30 ada menyebut :  “Katakanlah wahai Muhammad kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka,  sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.“

Ayat 31. “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada  memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (tangan dan muka) daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.......”



Bukan hanya kaum wanita sahaja yang wajib menjaga aurat dan penampilan mereka, malah dalam ayat di atas Allah menyeru kaum lelaki terlebih dahulu supaya menundukkan pandangan mereka.  

Menundukkan pandangan merupakan penapis utama dalam menjaga kehormatan seseorang. Adapun ikhtilat atau cara pergaulan antara lelaki dan perempuan mempunyai batas-batas yang wajib dijaga demi kesejahteraan ummah  sejajar dengan Islam itu agama sejahtera yang membawa rahmat kepada sekelian alam. 

Wanita… Jagalah dirimu dengan perisai Iman dan malu,  kerana dirimu begitu berharga. Selamat Hari Wanita Sedunia pada setiap 8 Mac. - KitaReporters

1
1
0
0
0

Copy Link: