JALAN menuju ke stesen minyak Petronas, Jalan Jelatik II, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur mengalami kesesakan teruk petang semalam, Jumaat, 23 September 2022 bagi mendapatkan bekalan minyak percuma yang dijanjikan penyanyi rap sensasi, Caprice.

Kesesakan itu berlangsung sehingga ke sekitar Titiwangsa, Setiawangsa, Keramat dan Jalan Ampang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemberian minyak percuma


Caprice atau  Aris Ramli, 34, memohon maaf kepada pengguna jalan raya kerana telah menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas ketika membuat pemberian minyak petrol percuma itu. 

Katanya, dia tidak menyangka stesen minyak itu diserbu oleh ratusan orang ramai yang mahu mengisi petrol percuma yang disediakan olehnya.

“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada pengguna jalan raya di sekitar Titiwangsa, Setiawangsa, Keramat sehingga ke Ampang kerana berlaku kesesakan teruk hari ini (semalam, 23 September 2022).

“Saya sendiri tidak sangka suasana menjadi kecoh dan ‘havoc’ sehingga berlaku kesesakan jalan raya yang teruk sehingga ke KLCC.

“Walaupun telah dibantu oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan polis, kami masih tidak dapat mengawal kesesakan jalan raya.

“Sebagai penganjur, saya memohon maaf,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya.



Menurut Caprice, juga dikenali dengan panggilan Daddycap, pihaknya terpaksa menutup sementara stesen minyak itu selepas kehabisan petrol untuk diberi kepada pengguna jalan raya yang masih beratur menunggu giliran.

Caprice meluahkan rasa bersalah setelah mendapati ramai pengguna jalan raya yang terdiri daripada kakitangan kerajaan seperti askar dan jururawat tidak dapat mengisi minyak walaupun ada yang beratur berjam-jam lamanya.

Dia merasa begitu bersalah kerana keluarganya juga kakitangan kerajaan di mana ibunya seorang jururawat sementara ayahnya bertugas di Wisma Putra.



Bagi menebus kekesalan itu, Caprice mengumumkan akan menganjurkan sekali lagi pemberian petrol secara percuma khusus untuk kakitangan kerajaan dan penghantar makanan bermotor di Kuala Lumpur yang akan diumumkan nanti.

Caprice juga bercadang untuk mengadakan sumbangan petrol percuma di Pulau Pinang tidak lama lagi.

“Saya mahu buat sekali lagi pemberian petrol secara percuma khas untuk kakitangan kerajaan sahaja di Kuala Lumpur (akan diumumkan kemudian) dan di Pulau Pinang untuk semua orang pada minggu hadapan. Insya-Allah.

“Doakan pasukan saya dapat beri macam-macam barang untuk belanja rakyat,” katanya dalam laman Instagramnya.

Caprice memperuntukan sebanyak RM10,000 untuk orang ramai mengisi minyak petrol secara percuma di stesen minyak Jalan Jelatek II itu.

Caprice turut bermurah hati untuk memberikan hadiah kepada 10 pelanggan terawal berupa topi, kasut dan beberapa barangan edisi terhad yang lain.

Caprice yang juga ahli perniagaan melakukan kerja amal bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barangan. - KitaReporters


15
6
0
12
0

Copy Link: