Aiman Tino nasihat hentikan hisab vape! Baru sedar bahaya kesihatan! Mujur paru-parunya tak ditebuk!

Published by
KitaReporters


PENYANYI dan pelakon Aiman Tino yang baru-baru ini mengalami jangkitan kuman pada bahagian paru-paru, mula mengambil iktibar untuk tidak lagi meneruskan tabiat menghisap rokok elektronik atau vape.

Selain itu pemilik nama asal Mohammad Aiman Yusri, 24, ini turut menasihati orang ramai supaya menghentikan perbuatan menghisap vape kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Aiman Tino


Aiman sebelum ini dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur pada Sabtu, 15 Oktober 2022 dan dibenarkan pulang selepas tiga hari menerima rawatan di sana.

"Sebelum ini hanya dengar kisah orang sahaja tentang akibat penggunakan vape, sekarang ini terjadi kepada diri sendiri. Mujurlah paru-paru saya tidak ditebuk kerana kata doktor masih belum kronik.

"Ketika menerima rawatan doktor juga beritahu ramai yang mengalami masalah sama... ini merupakan satu pengajaran buat saya. Jadi kepada semua orang ambillah iktibar daripada apa yang telah berlaku ini.  

"Mungkin saya tidak boleh nak halang semua orang hisap vape, tetapi haruslah beringat soal kesihatan diri sendiri," ujarnya kepada media. 



Ibunya Hazelina Mat Jali, 45, menyiarkan gambar keadaan Aiman Tino di hospital dalam media sosial lalu menyebabkan peminat Aiman bimbang. 

Berkongsi mengenai masalah kesihatannya itu, Aiman memberitahu dia mula berdepan masalah sakit tekak sejak tiga minggu lalu.

Gara-gara batuk teruk, Aiman berkata ia mengganggu vokal nyanyiannya, sekali gus tidak dapat membuat persembahan dengan baik di atas pentas.

"Sebelum menerima rawatan di hospital, saya sudah tiga minggu batuk tak henti. Disebabkan itu juga menjadi punca kepada jangkitan kuman pada paru-paru

"Selain itu tabiat berkongsi vape juga menjadi satu sebab kerana penyebaran virus lebih mudah melalui mulut.

"Disebabkan masalah ini saya sukar untuk bernafas dan terpaksa turunkan key (kunci nada) ketika membuat persembahan baru-baru ini," kata penyanyi yang mula popular melalui lagu 'Ku Rela Dibenci' sejak 2016.


Aiman Tino bersama ayah dan ibu

Sementara itu, Aiman berkata dia kini dalam tempoh pemulihan dan masih mengambil ubat-ubatan serta perlu menjalani pemeriksaan susulan selama beberapa minggu lagi.

"Sekarang ini saya masih berehat di rumah emak. Memang macam-macam petua dia suruh saya amalkan seperti minum air asam Jawa. Saya juga dikehendaki menjalani pemeriksaan susulan. Semoga tidak ada sebarang masalah serius.

"Hal kerja juga tak boleh nak tinggal terus. Saya masih lagi akan memenuhi undangan menyanyi kerana sudah berjanji dengan pihak penganjur," jelasnya. - KitaReporters

16
14
0
14
0

Copy Link: