Bacaan terakhir Raymond dalam 'Nightline' pada 24 Ogos 2023.



Raymond Goh, 62, adalah sebahagian kecil penyiar yang memiliki suara emas iaitu penuturannya memukau yang boleh mempengaruhi pendengar mengikuti dengan teliti apa yang disampaikannya. 

Walaupun bukan kakitangan tetap, namun aura suara emasnya ditagih stesen TV3 walaupun terpaksa dibayar mahal, menjadikan dia sebagai penyampai berita berbahasa Inggeris yang paling lama berkhidmat di TV3 iaitu lebih 30 tahun.

Bermula sebagai DJ pada awal 80-an dan pada pertengahan 80-an, Raymond ditawar menjadi penyampai berita bahasa Inggeris di TV3.



Raymond mempunyai kerja lain iaitu selain menjadi juruacara majlis termasuk peringkat antarabangsa, dia juga menjadi jurulatih untuk pengucapan secara profesional. Suara emasnya turut menghiasi sejumah iklan, suara latar dokumentari dan iklan korporat.

Selepas beberapa tahun menyampai berita di TV3, Raymond beralih angin ke Astro. Di stesen penyiaran itu, Raymond memperkenal program ‘Talkshow Radio”. Raymond turut menjadi hos program sukan termasuk melibatkan sukan luar negara.

Kefasihannya berbahasa Inggeris menyebabkan dirinya laris dalam pasaran.

Kerana bersuara emas, TV3 kembali menawarkan tugas sebagai pembaca berita ‘Nightline’ pada November 2007 walaupun terpaksa membayar mahal setiap kemunculannya membaca program berita sebelah malam itu.

Raymond sudah agak lama memeluk Islam dan ia diketahui rakan-rakan di TV3, namun tidak menghebahkannya kepada masyarakat umum.

Dia tidak menggunakan nama Islamnya Muhammad Zaman Goh Abdullah dalam pekerjaan atau kariernya. Hanya rakan-rakan yang mengetahuinya. Ramai yang hanya mengetahui dia adalah seorang Islam setelah jatuh sakit dan beritanya tersebar.



Raymond adalah selebriti terkenal dalam bidang penyiaran. Justeru kepemergiannya menjadi berita besar baik dalam media elektronik atau media sosial.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengucapkan takziah kepada keluarga Raymond. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui facebooknya turut memberikan ucapan takziah kepada keluarga Raymond.

“Dunia penyiaran akan merindui Allahyarham dan sudah pastinya juga jasa beliau akan terus dikenang buat selama-lamanya,” kata Anwar.



Setelah lebih sebulan dirawat di unit rawatan rapi (ICU), Raymond yang lahir pada 27 Mei 1961 dipanggil sang Pencipta pada jam  10.40 pagi Selasa setelah bertarung nyawa sejak 30 Ogos 2023.

Jenazah Raymond selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara, Kuala Lumpur selepas asar, jam 5.25 petang pada Selasa, 12 September 2023.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah rakan penyampai termasuklah Datuk Ras Adiba, Zahir Kevin Ong dan Tengku Elida Bustamam.

Sementara itu, penerbit 'Nightline', Amelia Nadia Azaharul Nahar menyatakan Raymond pergi ke hospital bersendirian selepas mengalami kebas pada bahagian kanan badannya. Ketika itu Raymond sedang minum bersama rakan-rakan. 

Dia menjalani rawatan imbasan CT dan terpaksa ditidurkan kerana kritikal.

Kali terakhir Raymond menyampaikan berita dalam Nightline ialah pada 24 Ogos 2023. - KitaReporters

Balu Raymond, Faridah Teh dan anak-anak menabur bunga di atas pusara.

9
10
0
9
0

Copy Link: