M. Nasir berjabat tangan dengan Mohd Hezri Amir Abdul Latif (kanan) selepas menandatangan MoU diiringi Shaharudin Md Dali (kiri) dan Khirin Omar.


Komposer dan penyanyi terkenal yang mendapat jolokan Sifu’ muzik, Dato M. Nasir, 66, bakal melahirkan karya baharu dalam menyesuaikan lagu ciptaannya ke dalam permainan digital video ''Empayar: The Melaka Chronicles" yang kini sudah 60% siap dan dijangka dilancarkan pada tahun hadapan (2024).

Sehubungan itu, satu perjanjian kerjasama strategik melalui memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara UniVrse Interactive Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Hezri Amir Abdul Latif dan Luncai Emas Sdn Bhd yang diterajui Pengarah Urusannya, M. Nasir sendiri,  bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir Ketua dan Timbalan Presiden Kanan, Pembangunan Industri Digital MDEC, Datuk Ts Fadzli Abdul Wahit; Penerbit Eksekutif Studio Kembara, Shaharudin Md Dali; Pengarah Produksi Luncai Emas, Khirin Omar; Norhaizat Zainal Abidin selaku Ketua Pegawai Operasi UniVrse Interactive dan Jennifer Johari, Pengarah Hak Cipta dari Luncai Emas.



'Empayar: The Melaka Chronicles" yang dibangunkan Univrse Interactive merupakan permainan digital Melayu pertama berlandaskan seni kepahlawanan Melayu berikutan kejayaan filem ‘Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan’ terbitan Studio Kembara yang mencipta sejarah kutipan pecah panggung sehingga RM97 juta.


\


Berkongsi lanjut, pemilik nama penuh Mohamad Nasir Mohamed  seterusnya memberitahu bakal bekerjasama dengan beberapa pencipta lagu muda bagi menghasilkan  lagu-lagu yang bersesuaian sebagai muzik latar kepada permainan digital. 

Ditanya mungkinkah lagu tema ‘Empayar: The Melaka Chronicles' bakal menjadi lagu nyanyian terbaharunya kelak jawab M. Nasir, “Belum tahu lagi, penciptaan lagu masih dalam proses memandangkan mencipta lagu untuk permainan tidak sama dengan mencipa lagu untuk nyanyian komersial’.

Akui melalui cabaran berbeza daripada mencipta lagu-lagu kebiasaannya, M, Nasir tetap rasa teruja dapat melangkah ke satu bidang baharu sejak lebih 40 tahun terbabit dalam kerjaya seninya.

“Saya tidak pernah membayangkan akan membuat lagu untuk satu bidang baharu seperti permainan digital ini,” ujar plantun lagu ‘Mentera Semerah Padi’ ini yang turut ‘viral’ setelah dijadikan lagu latar netizen ketika filem ‘Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan’ meletup di pawagam. 



Sementara itu, Mohd Hezri yakin kerjasama antara Univrse dan Luncai Emas akan menyemarakkan lagi keterujaan umum untuk menyokong permainan digital pertama yang dibangunkan syarikat tempatan dalam usaha memartabatkan budaya dan warisan kepahlawanan Melayu tempatan.

“Dengan lagu-lagu ciptaan dari Luncai Emas, saya yakin permainan ‘Empayar: The Melaka Chronicles’ dapat menambat hati anak-anak muda yang gemar bermain mainan digital sekali gus memperkenal seni mempertahankan diri orang Melayu dahulu kala dikenali,” jelas Hezri.

Katanya, beberapa alat senjata Melayu dahulu kala yang tidak diketahui ramai selain keris dan tombak akan diperkenal melalui beberapa watak kepahlawanan Melayu seperti Hang Tuah, Tun Perak dan lain-lain yang berwibawa.


Hezri menyampaikan cenderahati kepada M. Nasir.


Dari kiri: Khirin, Mohd Hezri, M, Nasir, Ts Fadzli Abdul Wahit, Shaharudin, Norhaizat Zainal Abidin dan Jennifer Johari . - Foto FAS.


Menurut Hezri lagi, buat permulaan pihaknya akan membangunkan 10 peringkat terlebih dahulu dalam game terbabit untuk pelancaran pertama yang dijangka pada tahun hadapan (2024).

“Jadi persiapannya sudah mencapai 60% dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024 apabila lagu-lagu pun sudah tersedia mengiringi permainan,” akhiri Hezri terhadap ‘Empayar: The Melaka Chronicles’ yang dibangunkan bersama Studio Kembara yang turut melabur kira-kira RM1.3 juta bagi merealisasikan projek tersebut. - KitaReporters.


Artikel berkaitan boleh baca di link ini: https://kitareporters.com/teknologi/K9b66W39bE.


12
12
0
7
0

Copy Link: