Set wayang kulit di pentas. Dalang sedang beraksi di sebalik layar putih. - Kredit gambar: wayangkulitsmp2252.blogspot.com


Zaman ini apabila disebut wayang kulit mungkin sangat asing bagi generasi muda sekarang.  Terutama dalam kalangan Generasi Z yang kini berusia antara 6 tahun hingga 24 tahun, kebanyakan daripada mereka tidak pernah melihat persembahan wayang kulit secara nyata, kalau pernah pun mungkin tertonton pada kaca televisyen dan skrin media sosial. 

Wayang kulit pun tak pernah tonton tentunya mereka juga tidak tahu bagaimana peralatan permainan itu, siapa pemain dan watak-watak wajib dalam cerita. 

Sedangkan kalangan Baby Boomers yang kini berusian lingkungan 57 tahun dan 75 tahun pun jarang-jarang tahu, begitu juga kalangan Gen X dan Y.  

Kalangan yang tahu dan hidup membesar dengan permainan dan persembahan tradisional berkenaan adalah orang tua kepada Generasi Baby Boomers yang meniti usia muda pada tahun 1960-70an dan tahun-tahun sebelumnya. 


Tok Dalang dan Dayang Cilik beraksi. - Kredit foto: Blog wayangkulitsmp2252


Wayang kulit ialah seni tradisional yang berasal dari tanah Jawa, Indonesia. Wayang istilah bahasa Jawa bermakna`bayangan'. 

Konsep permainan ialah penonton melihat gambar bayang sambil mendengar cerita disampaikan oleh dalang di sebalik layar putih. Dengan kemahirannya, dalang bersuara sambil menggerakkan patung-patung watak diperbuat daripada kulit, iaitu ilham kepada nama wayang kulit. Suluhan lampu ke arah patung dan layar putih membentuk bayang pada layar sebalik.

Dalang adalah pemain utama atau narator yang menyampaikan cerita diiringi muzik gamelan. Dalang atau Tok Dalang dalam bidang wayang kulit ialah seorang yang memainkan berbilang peranan, antaranya sebagai perangka kisah, pencerita, penggerak patung (watak), pengatur pentas, penyusun drama dan muzik.

Selain menjadi jurucerita dan pemain watak, dia juga "penyanyi" justeru wajib mampu mengeluarkan pelbagai gaya suara mengikut sifat dan mood watak (garang, sedih, marah, gembira) dengan erti kata lain, beraneka nada suara.


Alat muzik wayang kulit. - Kredit foto: Blog aswawisuna.


Merujuk laman coursehero.com, permainan wayang kulit bermula sejak lebih 3000 tahun di Indonesia. Di Semenanjung Malaysia, wayang kulit dianggarkan bermula sejak beberapa ratus tahun lalu. 

Biarpun sudah tidak begitu popular akibat perubahan zaman, mujurlah belum pupus kerana masih ada yang meminatinya sama ada dalam kalangan penonton mahupun pemain.

Pada awal abad ke-9, wayang kulit Melayu yang berasaskan cerita Ramayana kerap dimainkan di Patani, Kelantan, Kedah dan Perak. Dalang wayang kulit dari utara Semenanjung mengembara dan mengadakan persembahan di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan di kawasan-kawasan pantai timur negeri Johor. 

Pada pertengahan abad ke-9, sebilangan besar dalang wayang kulit bergiat cergas dan permainan itu kukuh bertapak menjadi tradisi dan budaya dalam masyarakat Melayu Kelantan. 


Watak-watak patung Wayang kulit Kelantan. - Kredit foto: aminoapps.com


Zaman itu wayang kulit sangat popular di rantau Asia Tenggara. Ada pelbagai bentuk dan jenis wayang kulit bergantung suasana dan latar belakang masyarakat. 

Wayang kulit dipercayai wujud di Kemboja lebih 1000 tahun lalu. Di Malaysia dulunya Tanah Melayu, mula diperkenal 300-400 tahun silam dan popular sehingga tahun 1960-an -70-an. Pengenalan televisyen di rumah membawa perubahan kepada selera menonton, lantaran ia sudah menjadi sumber maklumat dan hiburan harian. 

Wayang kulit di negara ini berbeza nama mengikut tempat misalnya di negeri pantai timur seperti di Kelantan dipengaruhi wayang kulit Siam manakala di negeri sebelah utara dikenali wayang gedek, wayang kulit di Selatan, tepatnya Johor terkenal dengan wayang kulit Jawa lebih dikenali wayang kulit Purwa.

Difahamkan wayang kulit Melayu atau wayang Jawa wujud untuk hiburan bagi orang-orang bangsawan baik di Kelantan mahupun Kedah. 


Dalang beraksi di sebalik layar, sedang bercerita sambil menggerakkan patung wayang kulit 


Kini, wayang kulit Kelantan lebih menjadi hiburan dan tontonan pelancong asing selain masyarakat Melayu. Kemajuan penyampaian radio, televisyen, kaset, CD dan terkini internet telah membuka peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan hiburan di mana-mana sahaja. 

Ternyata arus pemodenan dan kecanggihan teknologi punca seni permainan pentas wayang kulit semakin terpinggir seperti juga yang berlaku kepada seni persembahan pentas bangsawan. 

Memang sukar untuk menonton wayang kulit sekarang kerana jarang sekali ada persembahan secara langsung yang berdepan dengan penonton di pentas, melainkan di kaca televisyen.

Di negeri seperti Kelantan mungkin lebih mudah ditonton di pusat budaya dan acara pertandingan misalnya. 

Bagaimana pula kalau di Kuala Lumpur? Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Jalan Tun Ismail mengadakan persembahan wayang kulit dari semasa ke semasa. Penulis pernah menonton sewaktu anak mengikuti pengajian di situ. 

ASWARA adalah sebuah institusi sekolah seni persembahan kebudayaan Malaysia yang sistematik dimiliki Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Ia antara sekolah seni paling kompetitif, mengkhusus dalam bidang seni yang menjadikan seni wayang kulit dan makyong sebagai subjek teras untuk apa jua kursus.  

Jika terasa ingin menonton, boleh bertanya atau semak program persembahan di institusi itu.  


Seniman Negara Pertama, Allahyarham Hamzah Awang Amat, Tok Dalang yang berjasa  menghidupkan warisan seni permainan wayang kulit. - Kredit foto: Laman sesawang pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/culture


Pada tahun akhir pengajian kumpulan pelajar biasanya akan mempersembah wayang kulit dan mak yong untuk penilaian dan orang ramai boleh menonton. Jika berpeluang menyaksi, lihat sendiri cabaran seorang Tok Dalang.

Untuk pengetahuan, Tok Dalang tersohor Seniman Negara Hamzah Awang Amat ialah penerima Anugerah Seni Negara Pertama (1993) meninggal pada 1 Januari 2001. Ilmu perdalangan diwarisi anak didiknya, Pak Usop dan Pak Nasir, kelak mungkin muncul pewaris dari kalangan lulusan ASWARA.  

Terkini penulis tertarik dengan lagak dalang cilik, Darwish, 12, pelajar sekolah Alor Peroi, Besut Terengganu, sewaktu berlatih sebagai dalang untuk satu persembahan wayang kulit. Sayangnya video dalang cilik itu telah dikeluarkan selepas dimuat naik. - KitaReporters


Dalang cilik, Darwish, 12 sedang berlatih. Gambar ini ditangkap layar sebelum videonya dikeluarkan daripada Facebook 

16
12
0
14
0

Copy Link: