Perginya Annie Choong Beng Hiok! Legenda perintis Sukan Olimpik, Sukan Asia! Pemecut dan pejuang!
Published byANNIE Choong menayangkan Sijil Pengiktirafan WOA atas pencapaiannya sebagai atlet Sukan Olimpik Melbourne 1956 dan menganjurkan nilai-nilai Olimpik. - Kredit foto: MOM
ANNIE Choong (kanan) ketika Sukan Olimpik Melbourne 1956, bergambar berautograf dengan atlet legenda Amerika Syarikat, Jesse Owens - pemenang empat pingat emas Olimpik Berlin 1936 dalam 100, 200 dan 4x100 meter serta lompat jauh. - Kredit foto: MOM
TIADA yang lama, tidak akan ada yang baharu. Tiada yang pertama, mana mungkin hadir yang seterusnya.
Dia menjadi perintis pelari pecut olahraga wanita Malaysia. Dialah wanita pertama kontinjen Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang menceburi Sukan Olimpik di Melbourne, Australia pada 1956.
Malah hanya kekurangan 0.3 saat lagi, dia hampir menjadi antara penghuni podium pertama negara dalam 4x100 meter berganti-ganti wanita Sukan Asia Kedua di Manila, Filipina pada 1954.
Annie Choong Beng Hiok berusia 22 tahun ketika berlumba di Padang Kriket Melbourne untuk menduduki tempat keempat saringan kelima pusingan pertama Olimpik Ke-16 itu sambil mencatat 12.73 saat.
Sekalipun hanya di belakang pelari-pelari Kesatuan Soviet, Perancis dan Jerman, penyertaan julung kali itu tetap melayakkannya diiktiraf Buku Rekod Malaysia (MBR) sebagai wanita pertama Malaysia (Malaya) di arena Sukan Olimpik atau Olimpian pertama wanita Malaysia (Malaya).
ANNIE Choong (kiri) beraksi dalam 100 meter Sukan Olimpik 1956 di Stadium Olimpik, Melbourne, Australia. - Kredit foto: MOM
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga memahatkan namanya sebagai Ahli Dewan Kemasyhuran MOM pada 2017 antara lapan mantan atlet negara yang aktif sepanjang era 50-an dan 60-an termasuk Gan Boon Leong (bina badan) dan Ng Joo Pong (berbasikal).
MOM turut menyampaikan kepadanya, Sijil Pengiktirafan Persatuan Olimpian Dunia (WOA) di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor pada 12 April 2019.
Bagaimanapun, Annie yang lahir 20 Februari 1934, menghembuskan nafas terakhirnya dalam usia 90 tahun, menurut kenyataan Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) menerusi laman sosialnya pada 3 November 2024.
“KOM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Annie Choong atas pemergian beliau.
“(Negara) kehilangan seorang atlet olahraga wanita yang pertama mewakili kontinjen kita dalam Sukan Olimpik.
“Mendiang mencipta sejarah apabila bertanding pada Olimpik Melbourne 1956 dan membuka laluan kepada generasi atlet wanita Malaysia yang kemudiannya. Anne dikenali dengan kepantasan dan semangat juangnya di arena olahraga. Jasanya akan sentiasa dikenang dalam sukan Malaysia,” lapor laman berkenaan.
ANNIE Choong (depan, kiri) bersama-sama rangkaian 4x100 meter wanita olahraga (Carmen Koelmeyer, Maureen Siebel dan Fay Siebel) serta anggota lain kontinjen Tanah Melayu pada Sukan Asia Manila 1954. - Kredit foto: MOM
Sukan Asia Manila 1954 pula menyaksikan Anne bergandingan dengan Carmen Koelmeyer, Maureen Siebel dan Fay Siebel mencatat 50.7 saat. namun dinafikan oleh rangkaian tuan rumah, Filipina yang meraih pingat gangsa manakala India dan Jepun memenangi pingat emas dan perak.
Anne juga merupakan antara anggota kontinjen pertama Tanah Melayu ke Sukan Asia termasuk dengan menduduki tempat keenam acara lompat jauh dengan catatan 5.01 meter di Manila.
Dia sekali lagi disandarkan skuad olahraga negara ke Sukan Asia Ketiga di Tokyo 1958 pula dengan meraih tempat keenam 100 meter sambil mencatat 12.9 saat dan tempat keempat saringan kedua 200 meter (27.2 saat).
ANNIE Choong turut menyerlah dalam lompat jauh - acara padang selain balapan olahraga ketika satu kejohanan di Padang Selangor (kini Dataran Merdeka), Kuala Lumpur pada 1954. - Kredit foto: MOM
ANNIE Choong (depan, tiga dari kanan) bersama-sama anggota lain kontinjen Tanah Melayu pada Sukan Olimpik Melbourne 1956. - Kredit foto: MOM