Awie mahu cipta sejarah! Nak masuk rekod MBOR! 1 penyanyi, 3 band! Konsert Triad pada 14 Feb 2025!

Published by
KitaReporters


Baharu empat bulan berakhir konsert solonya ‘The Journey’ yang berlangsung pada 3 Ogos 2024 lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Dato Awie sudah pun merancang membuka tirai 2025 dengan sebuah lagi konsert tetapi kali ini kelainannya ia bakal mencipta sejarah dalam ‘Malaysia Book of Records’.

Dinamakan konsert “Triad” keunikannya konsert ini sehingga membolehkan ia diiktiraf dalam buku rekod Malaysia adalah apabila penyanyi rock legenda Malaysia ini akan mengemudikan tiga kumpulan rock besar sebagai penyanyi utamanya.

Iya, buat julung kalinya, pemilik nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 56, ini yang terkenal dengan vokal hebatnya akan menjadi penyanyi utama untuk tiga kumpulan rock ikonik iaitu Wings, Search Kid Kin dan juga Dragon Malaya yang kini dianggotai Lan Taro, Eddie Def Gab C, dan Pae.

Ditubuhkan pada tahun 1998, Dragon Malaya merupakan kumpulan pengiring untuk persembahan-persembahan solo Awie, termasuk projek album solo beliau, ‘Rentap’, dengan lagu ikonik seperti ‘Kuda Tiga Kaki’ dan ‘Bumi Kita Ada Naga’.



Pendek kata, konsert Triad akan menghimpunkan satu legenda rock, tiga kumpulan ikonik di atas satu pentas. Pasti hebat kan?

"Triad adalah tentang penyatuan atau menyatukan bunyi, tenaga, jiwa, dan semangat rock yang sebenar. Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu malam di mana sejarah akan tercipta, dan semangat rock akan terus hidup,” ujar  Awie pada majlis sidang media Konsert TRIAD yang berlangsung di Maristar, The Starhill pada petang 17 Disember 2024.

Konsert yang dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah, yang juga merupakan milik Awie akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025 jam 8.30 malam.

Menurut Awie. konsert  ‘Triad’  merupakan satu impian jadi kenyataan baginya apabila beliau akan menyanyi dengan tiga band berlainan, sekali gus mencipta sejarah yang bakal dicatatkan dalam “The Malaysian Book of Records’ (MBOR).

“Ia bukan satu tugas yang mudah. Ia memerlukan doa, fokus, dedikasi ‘dan komitmen untuk memastikan kesihatan serta stamina berada pada tahap maksimum. 

"Semua ini perlu diperhati demi memberikan persembahan terbaik untuk para penyokong seni tanah air. Dengan izin Allah SWT. ArtForAll,” tambah beliau.



Meluahkan perasaan terujanya untuk bersama-sama menghiburkan penyokongnya dan rakan-rakan legenda lain di atas satu pentas yang luar biasa Awie ibaratkan 'Triad' bak kata Inggeris ‘One Conquer All’ (Satu Menakluki Semua). 

“Ia adalah simbolik kepada kesatuan dan kehebatan muzik rock Malaysia. Gabungan unik ini bukan sahaja bakal menggegarkan malam anda tetapi juga menjadi momen penting dalam sejarah muzik tanah air,” yakin Awie.

Dengan memilih 14 Februari 2025, adakah Awie mahu menghiburkan pasangan yang meraikan ‘Hari Valentine’ juga ek? 

Barangkali pada malam itu bolehlah menarik pasangan muda muda khususnya bangsa asing untuk bersama-sama meraikan konsert bersejarah itu kelak ya tak? 

Barulah perpaduan namanya apabila Awie mampu sekali gus mengumpulkan peminat dalam kalangan pelbagai bangsa di bawah satu bumbung hiburan tempatan! - KitaReporters


7
11
0
21
0

Copy Link: