Revolusi Harimau Malaya jadi Panthera Malaya? Ada kelainan bila tukar belang? Busana Puma ganti Nike!

Published by
KitaReporters

FAM mengumumkan kerjasama strategik dengan Puma sebagai penaja pakaian rasmi Harimau Malaya mulai 1 Januari 2025.  - Kredit foto: FAM


REVOLUSI Harimau Malaya yang beransur-ansur dipreviukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 16 dan 31 Disember 2024 tidak terhenti setakat pengumuman ketua jurulatih negara dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).  

Sebaik sahaja takwim tahun baharu disingkap pada 1 Januari 2025, FAM mengumumkan sebuah jenama sukan antarabangsa dari Jerman, Puma sebagai penaja pakaian rasmi Harimau Malaya, bagi menggantikan Nike (Amerika Syarikat).

Dengan Puma sebagai rakan kerjasama FAM ini, turut timbul tanda tanya apakah Harimau Malaya akan bertukar nama kepada Harimau Kumbang Malaya sesuai dengan logo haiwannya yang berwarna hitam?

Mungkinkah pasukan yang bakal diterajui Peter Cklamovski dengan CEO, Rob Friend mulai tarikh itu turut diberi gelaran baharu, Panthera Malaya? Bagaimana pula dengan imej jalur atau belang tradisi jersi negara seperti sebelum ini?  


SEBUAH laman sesawang footyheadlines dikatakan telah 'membocorkan lebih awal' gambar jersi baharu Harimau Malaya berjenama Puma mulai 1 Januari 2025. Kuning-hitam (kiri) bagi tempat sendiri/kandang/utama/home dan putih-biru bagi tempat lawan/tandang/kedua/away. - Kredit foto: footyheadlines 


Siaran media menerusi laman sesawang dan sosial FAM menyebut: “FAM dengan sukacitanya mengumumkan kerjasama strategik menamakan Puma sebagai penaja pakaian dan jersi rasmi skuad kebangsaan, Harimau Malaya, berkuat kuasa 1 Januari 2025.

“Kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting untuk bola sepak Malaysia yang menggabungkan dedikasi FAM terhadap sukan ini dengan legasi inovasi dan kecemerlangan Puma di dalam dan luar padang.

“Butiran lanjut mengenai perjanjian kerjasama di antara FAM dan Puma dimaklumkan pada majlis pelancaran nanti.

“FAM dan Puma turut mengucapkan terima kasih kepada Nike, penaja pakaian dan jersi rasmi Harimau Malaya selama 18 tahun bermula dari Januari 2007 (Kejohanan AFF) hingga Disember 2024 (Kejohanan ASEAN),” lapor siaran itu.


Kredit foto: footyheadlines 


Namun ura-ura Nike tidak lagi bersama FAM dan Harimau Malaya sudah tercetus beberapa minggu sebelum Kejohanan ASEAN yang dimulakan dengan saingan Kumpulan A menentang Kemboja di Phnom Penh, 8 Disember 2024 lalu.

Tradisi memperkenal jersi baharu Harimau Malaya tidak lagi diadakan yang berbeza apabila setiap kali menjelang kejohanan dwitahunan itu, seperti mana edisi-edisi terdahulu.  

Justeru Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente masih mengenakan jersi dan seluar serba kuning (tempat sendiri/home) dan serba hitam (tempat lawan/away) yang kali akhir dilancarkan di Bandar Sunway, Selangor pada 17 November 2022 lalu.

Sehingga 2024, yang turut mengenakan busana Puma ini ialah Maghribi, Croatia, Iceland, Czechia, Serbia, Austria, Itali, Senegal, Ghana dan Switzerland.


BUSANA berjenama Adidas dengan imej tiga jalur dan tiga daun membaluti tubuh skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sebagai juara kelayakan Kumpulan 2 Asia di Kuala Lumpur. - Kredit foto: DSU 


Sebelum itu dari era 70-an hingga 2006, pasukan kebangsaan kendalian FAM menyarung kelengkapan pasukan tajaan sebuah lagi jenama alatan sukan Jerman, Adidas yang terkenal dengan tiga jalur dan tiga daun.

Sepanjang menyarung Adidas, terpahat sejarah pasukan negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 walaupun kemudian diarahkan kerajaan supaya memulaukannya sebagai membantah pencerobohan rejim komunis Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan.

Juga sebelum itu muncul siri kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977, Jakarta 1979 dan Kuala Lumpur 1989 selain layak ke pusingan akhir Piala Asia 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait.

Bersama Nike pula, pastilah sejarah gemilang skuad kendalian K. Rajagobal yang bergelar juara Piala AFF 2010 (nama terdahulu Kejohanan AFF dan ASEAN) dan kembali layak ke Piala Asia di Qatar pada Januari 2024 yang diterajui Kim Pan-gon. - KitaReporters


KALI akhir Nike menampilkan kelengkapan pasukan baharu 2022-2024 Harimau Malaya ialah pada 17 November 2022. Kuning bagi tempat sendiri/kandang dan hitam bagi tempat lawan/tandang. - Kredit foto: FAM


APAKAH jersi baharu Harimau Malaya bakal kembali berserba hitam dan putih sahaja dengan kemunculan Puma sebagai penaja baharu yang sesuai dengan logonya harimau kumbang?  

11
11
0
14
0

Copy Link: