Hana Adnan dan Watie Sadali keluar dari mahkamah selepas keputusan dibuat

DUA bekas anggota kumpulan Elite, Hana Adnan dan Watie Sadali setuju untuk menyelesaikan secara baik pertikaian saman penghutang penghakiman membabitkan kedua-dua belah pihak yang sudah berlarutan sejak lapan tahun lalu. 

Keputusan itu dicapai dalam prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor pada Khamis, 29 Disember 2022.



Kedua-dua bekas anggota Elite ini kelihatan masih mesra walaupun menghadapi kes mahkamah.

Penyanyi dan pelakon, Watie Sadali atau Norwati Sadali, 46, diperintah untuk membayar sebanyak RM2,000 sebulan sebagai  ansuran bagi melangsaikan tuntutan saman berjumlah RM796,000 kepada Hana Adnan.

Peguam yang mewakili Hana atau Norhanasafiza Mat Adnan, 44, Mohd Fikri Abd Rahman memaklumkan keputusan penyelesaian itu dipersetujui kedua-dua belah pihak untuk menyelesaikan secara baik.

Keputusan mahkamah kali ini mensyaratkan Watie untuk komited melangsaikan tuntutan serta boleh dikenakan tindakan penjara  jika gagal berbuat demikian kerana dianggap menghina perintah mahkamah.


Watie (kiri) dan Hana tetap kelihatan mesra walaupun menghadapi prosiding mahkamah

Terdahulu, Hana menang saman berhubung kegagalan Watie menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli kenderaan jenis Toyota Wish.

Hana mendakwa dia membuat pinjaman bank pada September 2005 bagi pihak Watie sebanyak RM150,000 kerana pelakon itu tidak layak untuk membuat pinjaman dan atas dasar menolong kawan.  

Bagaimanapun, Watie gagal membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010 dan jumlah hutang meningkat kepada RM796,000 sehingga Hana diisytiharkan sebagai muflis. 



Watie sebelum ini pernah membuat rayuan untuk mengurangkan kos bayaran bulanan daripada RM2,500 kepada RM2,000 seperti yang diperintahkan pada tahun 2017 dan mahkamah membenarkan.

Sebagai rekod, pada 10 Mac 2015, Hana menang saman terhadap Watie berhubung kegagalan pelakon itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli kenderaan jenis Toyota Wish. - KitaReporters


18
12
0
12
0

Copy Link: