HANNAH Yeoh (tengah) bertepuk tangan pada Majlis Pelancaran LTdL 2025 di Dewan Podium Menara KBS, Putrajaya. Kanan ialah Abdul Rashid Yaakob, K. Nagulendran (tiga dari kanan) dan Naib Presiden PKBM, Norazman Abu Samah (kiri). - Kredit foto: MSN


BAYANGAN pucuk pimpinan Majlis Sukan Negara (MSN), Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan disuntik ‘darah baharu’ semakin jelas.

Bayangan ini disuarakan oleh Hannah Yeoh untuk melihat dinamiknya ketiga-tiga agensi dan badan naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain melihat perlunya peluang diberi kepada orang lain pula mencurahkan khidmat.

Menteri Belia dan Sukan ini berkata, “saya ada rancangan untuk melibatkan orang baharu. Ada yang saya akan kekalkan, dinamik itu saya akan meneliti untuk setiap agensi dan badan tersebut.

“Kementerian hendakkan pengalaman orang lain dimasukkan untuk berikan khidmat yang lebih baik.

“Tidak semestinya orang lama tidak elok tetapi saya rasa kalau masa sudah tiba untuk penambahbaikan atau perubahan, mungkin itu yang saya lakukan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 di Menara KBS, Putrajaya pada 27 Februari 2025.


HANNAH Yeoh (dua dari kiri) bersama-sama K. Nagulendran (dua dari kanan) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim (kiri) meraikan pengenalan logo LTdL Ke-29, 2025. - Kredit foto: MSN  


Tempoh pelantikan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakob akan tamat April 2025 ini; Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed pula 7 Mac 2025; manakala sama ada Datuk Hans Isaac kekal sebagai Pengerusi PSM sehingga Jun 2025, menimbulkan tanda tanya.

Pada 25 Februari 2025 lalu, Dr. P. Vellapandian mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu satu lagi agensi KBS, Institut Sukan Negara (ISN) daripada Ahmad Faedzal Md. Ramli yang tamat tempoh khidmatnya sejak 25 Februari 2019.

Yang pasti tegas Hannah, setiap lantikan yang dilakukan adalah untuk kebaikan kementerian dan pemegang taruh sukan negara.

Semua perancangannya akan dibincang dengan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk K. Nagulendran untuk memastikan tatakelola sedia ada diikuti dan proses lantikan itu teratur, jelasnya.

“Saya boleh beri jaminan itu. Tunggu pengumuman berapa ramai yang akan dilantik. Kena sabar (tentang) pelantikan itu, akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.


HANNAH Yeoh membayangkan muka baharu di jawatan terkanan MSN, Yakeb dan PSM bagi membawa dinamik agensi dan badan naungan KBS itu. - Kredit foto: MSN 


Sementara itu, mengenai LTdL yang memasuki edisi ke-29 dari 28 September hingga 5 Oktober 2025 yang meliputi jarak berjumlah 1,257.8 kilometer, Hannah berkata, “perlumbaan 2025 melibatkan 12 negeri Semenanjung dengan tahun ini bersejarah kerana kali pertama berlangsung di Padang Besar, Medini dan Tangkak.

“Tahun lepas (2024) kami bawa ke Sarawak dan memakan kos yang agak tinggi. Kalau ada bantuan kewangan dari semua negeri, (jelajah) boleh pergi seluruh Malaysia tetapi akibat kekangannya, inilah (lapan) laluan yang paling optimum,” katanya.

KBS masih berminat terus sebagai penganjur menerusi MSN atau mengembalikan hak penganjurannya kepada syarikat kontraktor?

“Sebab kami ambil semula (menerusi) MSN dan tidak beri kontraktor ialah menjimatkan kos dan mengoptimumkan perbelanjaan.

“Berdasarkan maklum balas (penaja gelaran), Petronas, mereka lebih menyenangi dan menyukai kerjasama dengan MSN kerana semuanya berjalan lancar (seperti 2023 dan 2024),” kata Hannah.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan sebuah persatuan sukan (yang terdekat, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia - PKBM) dilibatkan sebagai penganjurnya jika diyakini mampu membawa nilai tambah LTdL. 


PETA lapan laluan dan peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi Ke-29, 2025 dicanangkan pada majlis pelancarannya di Putrajaya pada 27 Februari 2025. - Kredit foto: LTdL 


LTdL, perlumbaan jelajah berbasikal lebuh raya antarabangsa yang diasaskan pada 1996 dan kini berstatus Siri Pro, akan melibatkan lapan laluan dan peringkat iaitu Langkawi, Padang Besar-Kepala Batas, Gerik-Pasir Puteh, Kuala Terengganu-Kemaman, Temerloh-Bukit Fraser, Shah Alam-Port Dickson, Melaka-Medini dan Tangkak-Kuala Lumpur.

Berhubung ketiadaan Genting Highlands dan Cameron Highlands dalam edisi ke-29 ini seloroh Hannah, "kita ada Bukit Fraser, saya fikir sama sahaja naik bukit. 

"Untuk (para pelumba) yang biasa berlatih, (mana-mana lokasi laluan) sama sahaja. Untuk kita yang tidak biasa naik bukit berasa Bukit Fraser lebih senang tetapi tidak semestinya. Urus setia perlumbaan telah memilih semua laluan ini dengan penuh penelitian dan saya yakin boleh menarik minat," katanya. 


HANNAH Yeoh (tengah) memberikan isyarat bagus bersama-sama Adam Adli Abdul Halim (tiga dari kiri), Norazman Abu Samah (kiri), K. Nagulendran dan Abdul Rashid Yaakob (tiga dari kanan dan kanan). - Kredit foto: MSN

 

14
9
0
14
0

Copy Link: