NOORUL Ariffin Abdul Majeed, Adam Adli Abdul Halim dan Sheikh Umar Bagharib Ali (dua, tiga dan empat dari kiri) bersama-sama 50 bekas atlet negara peserta Kursus Transformasi Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas dan Kursus Personel Binaan (Kad Hijau) CIDB di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Kredit foto: SOA/LPNM


DARIPADA seorang atlet pelontar peluru negara, Adi Aliffudin Hussin bertransformasi menjadi seorang peladang nanas yang berjaya di Marang, Terengganu.

Pemenang tiga pingat perak Sukan SEA - Laos 2009, Indonesia 2011 dan Naypyidaw 2013 - ini kini mengusahakan penanaman pokok buah tempatan itu jenis MD2 di tanah seluas 1.2 hektar biarpun dikatakan masih bertugas di sebuah universiti.

Kejayaannya yang beralih dari padang ke ladang itu wajar menyuntik inspirasi 50 bekas atlet kebangsaan yang menyertai Kursus Transformasi Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas pada 25 Februari 2025 lalu.

Kursus anjuran bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, “saya dapat tahu Adi Aliffudin berjaya membina rumah (berkeluasan 243.87 meter persegi) tanpa menyentuh sedikit ‘habuk’ pun gaji kerjanya di universiti tetapi semata-mata hasil penanaman nanasnya.

“Mulanya dia hanya ikut ayahnya berniaga dalam Ekspo Pertanian di Kuala Terengganu dan minat menanam nanas timbul sejak itu (yang kebetulan) ayahnya pun ada tanah (seluas 1.21 hektar ditawarkan kepadanya),” katanya dalam ucapan alu-aluan kursus berkenaan.

Hanya dua peserta yang didapati layak daripada kursus ini, akan menjalani percubaan penanaman nanas di Ladang Sri Nanas Aminin, Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Kepada para atlet peserta kursus ini, saya menyeru ayuhlah daripada (setelah bersara) berpanas-panas di padang, anda berpanas-panas di ladang dengan menanam nanas untuk negara kita,” ujar Umar, seperti mengubah suai slogan, “Majulah Sukan Untuk Negara” jadi "Tanamlah Nanas Untuk Negara".


ADI Aliffudin Hussin (kiri) ketika diundang memberikan taklimat Program Tanaman Nanas Bekas Atlet Negara oleh LPNM. Kanan ialah Sheikh Umar Bagharib. - Kredit foto: SOA


LPNM katanya dengan kerjasama Yakeb, cuba membantu para atlet yang selepas karier kesukanan mereka, memasuki pelan dan lembaran baharu kehidupan mereka dengan menyara diri dan menambah pendapatan menerusi penanaman nanas.

“Saya juga menyarankan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sekiranya ada ‘bank tanah’ miliknya yang sesuai syaratnya seperti kawasan futsal tertentu yang kadang-kadang tidak digunakan, boleh diselitkan untuk ditanam nanas oleh bekas-bekas atlet negara yang berminat,” katanya.

Kata Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, “kursus penanaman nanas ini turut berlangsung serentak Kursus Personel Binaan (Kad Hijau) CIDB (Lembaga Kemajuan Industri Binaan) Malaysia dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah.

“Dua bekas atlet negara peserta kursus ini ditawarkan tanah untuk menanam nanas di Juasseh yang seluas 10 ekar (4.04 hektar). 

"Pemilihannya berdasarkan siapa yang duduk dekat di sana, untuk mendapat hasilnya. Kalau yang jauh, hendak pergi sana (ambil masa perjalanan) dua jam, memang jauh.

“Yakeb (dan LPNM) tidak akan berhenti di sini (kerana) akan buat kursus (seumpamanya) di Sarawak dan Sabah. Di sana ada banyak tanah, mungkin kerajaan negeri boleh membantu.

“Kami hendak bawa kisah kejayaan Alif Aliffudin itu sebagai pemberi semangat dan pemupuk minat (bekas-bekas atlet negara yang lain) untuk turut menanam nanas,” katanya.


PARA tetamu kenamaan kursus termasuk Adam Adli (tiga dari kiri), Sheikh Umar Bagharib Ali (dua dari kiri) dan Noorul Ariffin (tiga dari kanan) menunjukkan isyarat tangan simbolik buah nanas. - Kredit foto: SMO


Para peserta kursus penanaman nanas kata Noorul, memang membuat keputusan untuk menceburi bidang pertanian ini memandangkan mereka turut mempunyai sedikit tanah.

“Benih, baja dan kursus diberi percuma oleh LPNM. Hanya tanah itu yang mereka kena ikhtiar sendiri (manakala) kami akan cuba mendapatkan bantuan tanah dengan agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Kedua-dua kursus ini ujarnya, membuka ruang lain untuk Yakeb membantu 3,161 bekas atlet negara yang berdaftar dengannya di seluruh negara dalam mengukuhkan ekonomi mereka.

“Duit yang Yakeb dapat (daripada kerajaan khususnya) kena berjimat cermat tetapi dengan bidang kemampuan yang kami ada, kami cuba sedaya upaya untuk membantu mereka.

“Yakeb kena jaga 1,900 bekas atlet yang berusia 40 hingga 60 tahun dan 1,005 orang berusia 50 hingga 78 tahun. Mereka ini antara yang aktif sukan era 70-an dan 80-an,” katanya lagi. - KitaReporters

SHEIKH Umar Bagharib Ali mengalu-alukan para bekas atlet negara menjalani percubaan penanaman nanas di Ladang Sri Nanas Aminin di Juasseh, Kuala Pilah. - Kredit foto: SOA

8
7
0
11
0

Copy Link: