Sepanjang Jalan Kenangan! Cintaku kepada Emilia Contessa! Layu Sebelum Berkembang! Selamat pulang!
Published by.
Hatiku hancur mengenang dikau
Berkeping-keping jadinya
Kini air mata jatuh bercucuran
Tiada lagi harapan
Mengapa ini harus terjadi
Di tengah kebahagiaan
Ingin kurasakan lebih lama lagi
Hidup bersamamu
Bait-bait lirik lagu ‘Layu Sebelum Berkembang’ tiba-tiba menerjah kembali dalam benak fikiran penulis saat menerima berita pemergian penyanyi legenda Indonesia, Emilia Contessa pada Isnin, 27 Januari 2025.
Ia adalah satu daripada ratusan lagu nyanyian Allahyarham yang amat popular pada sekitar tahun 1970-an, bukan sahaja di Indonesia malah di Malaysia dan Singapura.
Lagu itu dipetik dari filem ‘Akhir Sebuah Impian’ lakonan Emelia bersama mendiang Broery Marantika yang diterbitkan pada 1973. Ia adalah filem pecah panggung yang turut memuatkan beberapa buah lagi lagu hit Emilia seperti ‘Nasib Pengembara’,‘Mimpi Sedih’ dan ‘Penghibur Hati’.
Selain lagu-lagu dari filem ‘Akhir Sebuah Impian’ Emilia juga popular menerusi lagu ‘Penasaran’, ‘Mimpi November’, ‘Mungkinkah’, ‘Angin November’ dan banyak lagi yang sentiasa menjadi siulan penulis.
FILEM 'Akhir Sebuah Impian' menjulang nama Emilia Contessa sebagai penyanyi dan pelakon.
Penulis ketika itu baru berusia belasan tahun, sangat teruja dengan kecantikan semula jadi wajah Emilia dan kelunakan suaranya sehingga jatuh cinta dengan penyanyi itu! Aduh! Budak masih hingusan jatuh cinta dengan penyanyi popular. Kelakar kan?
Begitulah penangan aura gadis bernama Emilia Contessa ketika itu. Penulis yakin, bukan penulis saja yang mabuk kepayang dengan dia tapi pasti ramai lagi yang menyimpan perasaan sama.
Minat mendalam terhadapnya menyebabkan penulis sentiasa mengikuti perkembangan diri Emilia
sama ada mengenai kariernya mahupun peribadi. Apabila dia berkahwin dengan Rio
Tambunan pada 1976, penulis frust menonggeng. Maka jadilah Akhir Sebuah Impian!
Tapi, minat penulis ke atasnya tidak pernah padam walaupun angan-angan penulis untuk memilikinya sudah hancur bagai debu. Dia tetap menjadi pujaan hati.
ALBUM nyanyian Emilia sentiasa laris di pasaran.
Penulis mengumpul lirik lagu-lagu nyanyiannya. Bila zaman kaset menggantikan piring hitam, penulis penulis berusaha mengumpul kaset lagu-lagu hitnya walaupun hanya mampu membeli kaset cetak rompak.
Penulis turut menonton filem-filem lakonannya seperti ‘Ratapan Anak Tiri’ dan ‘Brandal-Brandal Metropolitan’ namun filem yang paling meninggalkan kesan adalah ‘Akhir Sebuah Impian’ kerana bagi penulis, gandingan Emilia bersama Broery memang serasi dan mantap.
Cuma, mutakhir ini apabila Emilia menceburi bidang politik, penulis sudah tidak berminat mengikuti perkembangannya sehingga pada Selasa, 28 Januari, 2025, penulis kembali menyelongkar kisah Emilia selepas membaca berita kematiannya pada Isnin, 27 Januari, 2025,
Sepagian Selasa (28 Januari, 2025), penulis memainkan semula lagu-lagu nyanyian Allahyarham yang mengembalikan nostalgia penulis pada zaman 1970an, era kegemilangan insan bernama Emilia Contessa.
Emilia, 67, meninggal dunia di Rumah Sakit Umum Daerah Blambangan, Kabupaten Banyuwangi, Jawa Timur, kira-kira 7 petang (waktu Malaysia) akibat penyakit diabetes. Dia juga dilaporkan turut mengalami penyakit darah tinggi dan saraf bahu.
Emilia, atau nama sebenarnya, Nur Indah Sukma Munsyi dilahirkan pada 27 September, 1957. Karier nyanyian bermula seawal usia remaja apabila menjuarai satu pertandingan di Surabaya pada 1969.
Pada 1970, dia dan ibunya berhijrah ke Singapura selepas mendapat tawaran merakamkan lagu oleh Syarikat Philips. Selepas setahun membina karier di republik itu, dia kembali ke Indonesia untuk mengambangkan lagi bakatnya.
Pada 1975, media terkemuka, New York Time
menobatkan Emilia sebagai satu dari lima artis paling popular di dunia, membolehkan
dia mendapat tawaran biasiswa untuk belajar vokal di Amerika Syarikat tapi menolak kerana
sudah terikat dengan kontrak persembahan di sebuah kelab malam di Indonesia.
Nama Emilia sebagai penyanyi melonjak menerusi lagu-lagu seperti ‘Angin November’, ‘Flamboyan’, ‘Biarlah Sendiri’, ‘Bunga Mawar’, ‘Melati’, ‘Rindu’, ‘Bunga Anggrek’, "Penasaran’, ‘Kehancuran’, ‘Layu Sebelum Berkembang, ‘Angin Malam dan ‘Mungkinkah’, kebanyakannya ciptaan A Riyanto.
Dalam bidang lakonan pula, selain ‘Akhir Sebuah Impian’, dia turut berlakon dalam filem Ratapan Anak Tiri, Tetesan Air Mata Ibu, dan Senja di Pantai Losari.
GANDINGAN Emilia dan Broery melonjak 'Akhir Sebuah Impian' sebagai filem pecah panggung.
DARI bidang nyanyian dan lakonan, Emilia beralih ke bidang politik.
Pada 2010, Emilia mula mengehadkan aktiviti nyanyian untuk aktif dalam bidang politik. Dia menyertai Partai Amanat Nasional (PAN) dan Partai Persatuan Indonesia (PP). Dia pernah memegang jawatan sebagai Wakil Majlis Daerah Jawa Timur pada 2014 hingga 2019.
Kehidupan peribadinya juga penuh warna-warni dan mendapat perhatian peminat terutama membabitkan rumah tangga. Perkahwinannya dengan Rio Tambunan pada 1976 berakhir dengan perceraian selepas tujuh tahun bersama. Mereka dikurniakan dua orang anak, Denada Elizabeth Angia Ayu yang kini menuruti jejaknya sebagai penyanyi dan Enrico Whenry Rizky.
Perkahwinan kedua bersama Abdullah Sidik Sukarty pada 1988 juga berakhir dengan perceraian pada 1992, dikurniakan seorang anak, Muhammad Abdullah.
Pada 1994, Emilia berkahwin buat kali ketiga,
dengan Ussama Muhammad Al-Hadar. Perkahwinan mereka diserikan dengan kelahiran
Kaiser Hadi Haggy Al-Hadar.
Begitulah sekilas perjalanan hidup insan bernama Emilia Contessa yang pernah bertakhta di hati saya. Kehilangannya sukar dicari ganti. Selamat berangkat ke alam abadi.
Innalillahi wainnailaihi rojiun dan al-Fatihah .- KitaReporters
EMILIA berganding dengan anaknya, Denada dalam satu persembahan.