KEDAH mencipta sejarah sebagai pasukan pertama Liga Malaysia melakukan double treble dengan merangkul tiga kejuaraan sekali gus, untuk dua musim berturut-turut. - Kredit foto: FB Penyokong Bola Sepak Kedah.


ISU tunggakan gaji yang membelenggu kelab bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih gagal dirungkai malah kini semakin kusut sehigga sebilangan pemain utama tidak hadir menyertai latihan.

Dilaporkan, hanya beberapa orang pemain senior turun berlatih menjelang perlawanan menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC) pada Jumaat, 7 Mac, 2025, sekali gus  memaksa jurulatih, Victor Andrag menyerapkan lapan pemain dari skuad remaja untuk mengisi kekosongan itu.

Akibatnya, KDA FC ditundukkan 2-3 oleh Kuala Lumpur City (KL City) FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada perlawanan sebelah malam pada Jumaat, 7 Mac itu.

Turun dengan serba kekurangan dari segi jumlah pemain utama, Sang Kenari terpaksa akur dengan kualiti yang ada pada skuad KL City FC memiliki pemain import yang lebih berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia. 

Apa sudah jadi Kedah? Dari sebuah pasukan yang gah dengan sejarah memenangi double treble pada 2007 dan 2008 kini bertukar menjadi pasukan double trouble


JURULATIH KDA FC, Victor Andrag berdepan cabaran menyediakan pasukan mantap apabila beberapa pemain utama tidak hadir latihan. - Kredit foto: KDA FC.


Bukan sahaja ramai pemain makin hilang kepercayaan malah penyokong juga sudah terhakis keyakinan. 

Situasi itu juga memberi kesan kepada penyokong yang seolah-olah turut hilang semangat untuk turun ke stadium, menyaksikan jumlah kehadiran penonton dalam beberapa perlawanan mtakhir ini menyusut sebanyak 90 peratus. 

“Sedih!” Itulah reaksi Zulkifli Hashim, seorang penyokong tegar KDA FC yang masih setia memberi sokongan. Bayangkan sebuah pasukan yang dulunya gah dan mendapat sokongan padu kini ibarat sebuah pasukan kampung. 

"Dulu, setiap perlawanan membabitkan Kedah, stadium penuh, antara 20,000 hingga 30,000 orang tapi sekarang tinggal antara 2,000 hingga 3,000 orang saja,” kata Zulkifli.

Puncanya, menurut Zulkifli kerana prestasi KDA FC yang merudum akibat masalah tunggakan gaji sehingga berlaku tindakan membolikot pasukan dalam kalangan pemain.

“Mentaliti penyokong Kedah sangat mudah dibaca, mereka hanya nak tengok pasukan yang menang. Sesekali kalah mereka boleh terima tapi kalau kalah memanjang, akhirnya mereka angkat kaki.

“Pengurusan yang lemah sehingga berlaku tunggakan gaji pemain juga membuatkan penyokong muak. Pada awalnya mereka masih bersabar dengan harapan ia tidak berlarutan, tapi bila tidak nampak penyelesaian sehingga ada pemain yang boikot latihan, penyokong mula bosan,” katanya lagi.


ZULKIFLI Hashim atau lebih dikenali sebagai Puaka Jerai masih setia menyokong KDA FC.


Mengenai tindakan beberapa pemain utama yang memboikot pasukan, Zulkifli yang dikenali dengan gelaran Puaka Jerai berkata ia adalah hak mereka namun berharap mereka menimbangkan semula tindakan itu.

“Penyokong memahami situasi dilalui pemain dan menghormati pendirian mereka. Bukan mudah bekerja tanpa mendapat gaji selama 10 bulan. Kalau kita di tempat mereka, mungkin kita mengambil tindakan serupa.

 “Tapi, saya sebagai penyokong merayu kepada mereka, kalau boleh turunlah membantu pasukan Kedah. Kalaupun tak menghargai pengorbanan kami sebagai penyokong, hargai pengorbanan kawan-kawan anda yang masih berjuang di tengah padang!,” tambahnya.

Zulkifli meminta pengurusan KDA FC turut berusaha keras untuk menyelesaikan masalah dihadapi pemain seperti sering dijanjikan.

Beliau juga berharap penyokong turut memainkan peranan untuk membantu KDA FC kembali pulih dengan menjadi ahli The Wing yang menyasarkan seramai 20,000 ahli sebagai usaha meyakinkan penaja untuk menaja pasukan itu.

The Wing ini ibarat talian hayat KDA FC. Kalau gagal, bermakna berakhirlah riwayat KDA FC dalam landskap bola sepak Malaysia.

“Saya tidak tahu apa kedudukan terkini projek itu kerana kali terakhir dikemas kini, keahliannya baru mencapai 50 peratus daripada sasaran,” ujarnya.



LAPORAN akhbar Harian Metro dan Sinar Harian pada 6 April, 2024, mengenai janji Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor untuk terus membantu KDA FC.


Pada masa sama, Zulkifli berharap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak mengambil sikap lepas tangan sebaliknya turun ke gelanggang untuk membantu.

“Saya rasa sudah sampai masanya Kerajaan Kedah membantu KDA FC walaupun kelab itu sudah berstatus profesional. Lagipun, saya masih ingat, menerusi laporan akhbar pada 6 April, 2024, MB semasa merasmikan bangunan baharu KFA berjanji akan terus dan sentiasa membantu kelab itu.

“Tapi, persoalannya apakah bentuk bantuan yang sudah diberi? Apa yang saya tahu KFA hanya bantu dari segi perlesenan.

“Mungkin ada bantuan lain yang diberi secara senyap yang kami sebagai penyokong tidak tahu tapi dalam keadaan KDA FC nazak sekarang, bantuan berterusan seperti dijanjikan perlu ditunaikan.


MUHAMMAD Radhi Mat Din, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah.


“Malah, saya menyeru kepada YB Muhammad Radhi Mat Din sebagai Exco Belia dan Sukan (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan) serta YB Baddrol Bakhtiar untuk turut sama membantu.

“Kedua-duanya rapat dengan MB, mereka boleh bersuara kepada YB Sanusi mengenai hal ini dan merayu MB untuk membantu KDA FC.

“Sebagai bekas pemain, mereka sepatutnya lebih memahami situasi dihadapi pemain KDA FC sekarang dan boleh memainkan peranan untuk sama-sama membantu.


BEKAS kapten pasukan bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar kini merupakan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Gurun.


“Contohnya, untuk program keahlian The Wing yang diusahakan KDA FC, YB Radhi dan YB Baddrol boleh memainkan peranan mempromosi program itu melalui pelbagai saluran sama ada menerusi media sosial mereka atau ketika turun padang bertemu penyokong di kawasan masing-masing.

“Dengan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat dan bekas pemain bola sepak, sudah pasti kempen untuk menarik penyokong menyertai keahlian The Wing akan lebih berkesan.

“Ingatlah, anda dulu naik menjadi YB pun melalui pengaruh sebagai sebagai pemain bola sepak malah jangan lupa anda pernah menggunakan lagu pasukan bola sepak Kedah, ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’ sebagai lagu kempen pilihan raya anda,” tegas Zulkifli yang menjadi penyokong setia Kedah sejak 2014 dan akan terus menyokong pasukan itu. KitaReporters


BIARPUN ramai penyokong sudah menjauhkan diri dari pasukan Kedah namun Zulkifli yang sering tampil unik tetap akan menyokong pasukan kesayangannya. - Kredit foto: Styrio HK Kedah.

-         

22
14
0
14
0

Copy Link: