Putra Amaris mahu Sama-Sama Kenyang! Mahu santuni, berkongsi rezeki dengan artis-artis veteran!
Published bykerja kebajikan sosial, pasti ada yang tertanya, pelakon drama Andainya Takdir itu sudah bertukar kerjaya ke? Oops! Bukan tukar kerjaya, cuma mempelbagaikan lagi kebolehannya selain berkongsi rezeki yang ada dengan orang sekeliling.
Berpeluang mengikuti Amaris menjayakan program Menyantuni Artis Veteran baru-baru ini, penulis dapat melihat keceriaan pada wajahnya kerana berkesempatan bertemu dengan mereka yang berpengalaman dalam bidang seni. Antara artis veteran yang disantuni Amaris ialah Anita Jaafar, Zulkifli Isa (Zack Taipan), S. Rohani, Harun Hashim dan Abass Abu Bakar.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan artis veteran
Putra Amaris dan pasukan menyantuni pelakon Normala Omar yang menetap di Ukay Perdana, Ampang, Selangor. - Kredit foto-foto: IG @samasamakenyang
Amaris atau nama sebenarnya Muhammad Amran Ismail, 36, berkata, beliau menyasarkan untuk menyantuni 100 orang artis veteran dalam waktu terdekat ini.
“Menyantuni artis veteran untuk mengeratkan silaturahim sebab orang kata kalau tak ada lama, mana ada yang baharu. Sambil-sambil bertanya khabar mereka, kita bagilah sedikit cenderahati sebagai tanda ingatan. Prinsip saya mudah saja, kalau ada rezeki lebih, tak salah kalau kita kongsi dengan orang lain.
“Bila menyantuni artis veteran ini, sekurang-kurangnya dapat memenuhi impian saya kerana ada antara mereka adalah selebriti yang saya minat.
"Kata orang menyelam sambil minum air, saya dapat bertemu sambil berkongsi rezeki,” katanya yang turut mendapat kerjasama daripada Envirolyte Anolyte, pengeluar cecair pembasmi kuman tanpa alkohol, Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) dan Persatuan Seniman Malaysia.
Bercerita lanjut tentang kerja-kerja amalnya itu, kata Amaris, beliau mula melakukan kerja-kerja amal sejak puasa 2021 lalu dengan program Infak Ramadan sehinggalah sekarang.
Katanya, boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja program memberi sumbangan dan bantuan dari segi barang keperluan makanan isi rumah dan barangan-barangan lain.
Sempat bertanya khabar kepada pelakon Zack Taipan di kediamannya di Jalan Pandan Indah, Ampang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
“Sebenarnya pasukan saya bukanlah NGO
(Pertubuhan Bukan Kerajaan), saya cuma cetuskan infak dengan nama program
Sama-Sama Kenyang untuk kongsi rezeki. Saya cuma selebriti yang mungkin dengan
izin Allah dapat rezeki sikit daripada bisnes yang saya usahakan untuk dikongsikan
dengan orang lain.
“Selain menggunakan dana sendiri, ada juga kawan-kawan dan keluarga yang bagi infak. Alhamdulillah, setakat ini sepanjang saya buat kerja amal, ada saja rezeki.
"Kalau ada lebih ramai nak menyumbang untuk kerja amal ini, dipersilakan. Kalau ada lebih rezeki, kita boleh bantu lagi ramai orang seperti orang tua, ibu tunggal, OKU (orang kurang upaya), asnaf, anak-anak Tahfiz dan sebagainya,” katanya mengalu-alukan kepada yang mahu membantu.
Bersama Abass Bakar, penggiat seni tanah air.
Setakat ini kata Amaris, misi bantuan yang dilakukan oleh pasukannya di sekitar kawasan Kuala Lumpur, Shah Alam dan Klang saja.
Jika ada kerjasama daripada pasukan sukarelawan di luar ibu kota yang ingin bekerjasama dengan kumpulannya, beliau tak teragak-agak untuk menyantuni masyarakat di luar Kuala Lumpur pula.
Tambahnya dalam misi memberi bantuan, pasukannya tidak mengira bangsa dan agama kerana objektif utamanya adalah untuk meringankan beban mereka yang terkesan.
Menyantuni Anita Jaafar di Taman Kosas bersama wakil Envirolyte Anolyte, pengeluar cecair pembasmi kuman tanpa alkohol.
“Saya sentiasa berpandangan positif pada sesiapa saja yang tampil meminta bantuan secara langsung atau DM (direct message) dalam Instagram.
"Pada saya, mereka tidak akan meminta jika tidak terdesak. Jika ada yang cuba ambil kesempatan, kalau boleh elak kita akan elak. Cuma pada saya, mana yang datang minta bantuan, kita kena kongsi rezeki sama-sama,” katanya.
Disebabkan
sibuk melakukan program kebajikan sosial, Amaris terpaksa menolak tawaran
berlakon yang diterima daripada sebuah stesen televisyen baru-baru ini. Bagaimanapun,
beliau perlu menghabiskan penggambaran drama 13 episod terbitan A. Aida
Production yang tertangguh kerana PKP sebelum ini.
Bagi Amaris, walaupun mengurangkan aktiviti seni, beliau masih mampu menanggung keluarga kerana pendapatannya kini disokong oleh perniagaan Amaris My Tart dan terkini, Amaris Satay Goreng.
Menyantuni artis veteran memberi peluang kepada Amaris untuk mengenali mereka lebih dekat.
“Sehingga
kini, alhamdulillah, bisnes Amaris My Tart, berjalan lancar. Saya baru keluar
produk sate, jenama Amaris Satay Goreng, belum lancar lagi. Baru beberapa hari
keluar, alhamdulillah, Allah bagi rezeki luar biasa kepada saya dan team.
Sebahagian daripada keuntungan produk baharu ini, akan disalurkan kepada golongan
yang memerlukan.
“Saya pilih
untuk buat sate sebab saya adalah penggemar makanan tersebut. Lagipun sate ni
macam simbolik untuk orang Malaysia yang gemar makan sate tak kira kecil atau
besar. Menariknya, sate ni boleh dimakan dengan apa-apa saja, makan begitu saja
atau makan dengan nasi, bubur atau roti.
“Kalau travel boleh bawa dan sampai sana masuk dalam peti ais. Sebelum keluarkan sate goreng ini, saya ambil masa dua hingga tiga bulan untuk percubaan.
"Sebenarnya sate goreng ini daripada Singapura, ia punya sejarah dan popular di sana. Saya cuba bawakan santapan menu dari Singapura untuk orang Malaysia,” katanya yang menggunakan daging batang pinang untuk keluaran Satay Goreng dan kuahnya pula adalah resipi keluarga.
Bagi Amaris, berpeluang berkongsi rezeki dengan orang lain adalah satu kepuasan kepada dirinya.
Jelas
Amaris, matlamatnya membuka bisnes sate goreng adalah untuk berkongsi rezeki
dengan seberapa ramai orang yang termampu.
“Misi saya
satu saja iaitu nak kongsi rezeki. Jika diizinkan Allah, saya mahu produk sate
goreng ini berjaya melahirkan lebih ramai usahawan sekali gus membantu
mereka yang berminat dalam bidang perniagaan. Walaupun belum dilancarkan secara
rasmi tapi sudah ada ejen. Bila sudah dilancar, saya harap akan ada ejen di
seluruh negara.
“Untuk permulaan, saya hanya keluarkan sate goreng daging saja dulu. Selepas itu ada perancangan untuk buat sate goreng ayam pula. Apapun, saya harap perniagaan ini terus berkembang agar saya dapat membantu lebih ramai orang lagi,” katanya. - KitaReporters
Kredit foto-foto: IG @samasamakenyang