Video| Perisik Cinta Tak Diundang: Shiha 'dirisik' Andi? Tak kisah lelaki lebih muda! Bukan tabu!

Published by
KitaReporters


Trend lelaki muda bercinta dan seterusnya berkahwin dengan wanita lebih tua bukan lagi satu tabu (taboo) yang menjadikan pepatah ‘ perigi mencari timba’ pada zaman nenek moyang kita dahulu sebagai satu tindakan memalukan kaum keluarga terbabit.

Dalam kalangan generasi muda sekarang ini, ramai lelaki muda berkahwin dengan wanita lebih berusia bahkan trend itu turut berlaku dalam kalangan artis tempatan contohnya,  pada usia 40 tahun Rozita Che Wan mengahwini Zain Saidin yang berbeza 11 tahun, mahu pun pelakon Intan Ladyana yang diijabkabulkan dengan  Harris Alif  ketika Intan berumur 39 tahun dan Harris 22 tahun.

Kesimpulannya, ramai lagilah golongan artis mahu pun orang biasa yang sudah memecah tabu orang dahulu yang malu apabila lelaki muda bercinta dan berkahwin dengan wanita lebih tua. 

Malah jika jutawaran kosmetik Dato Seri Vida, 49, jadi berkahwin dengan bekas pembantunya, Ahmad Iqbal Zulkefli, 27, beza umur mereka adalah 22 tahun, ibarat ibu dan anak gayanya. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan drama bersiri



“Memang sekarang dah trend, jadi tidak ada masalah apabila saya digandingkan dengan Andi Bernadee yang empat tahun lebih muda,” jawab penyanyi Shiha Zikir mengenai gandingannya berlakon bersama rakan seperjuangannya, Andi Bernadee, 30, dalam drama ‘ Perisik Cinta Tak Diundang’. 

Shiha, 34, berkata sedemikian ketika diwawancara secara virtual dalam sidang media secara maya mempromosikan ‘Perisik Cinta Tak Diundang’ pada hari ini, Selasa, 21 September 2021.

Turut hadir bersamanya, Andi Bernadee dan seorang lagi pelakon, Hafidz Rosdi dan pengarah drama, Azmi Hatta.

Drama bersiri 12 episod yang diinspirasikan daripada novel karya Puteri Aqish akan mengisi slot Akasia bermula hari ini (21 September 2021), setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman Viu secara eksklusif pada 8.00 malam. 

Turut berlakon Bella Astillah, Wani Kayrie, Norish Karman, Esma Daniel, dan Fazlina Ahmad Daud.



Menyambung seterusnya persoalan gandingan bersama Andi Bernadee, dalam tawa riang, Shiha pula bertanya kepada Andi berapa usianya.

“Sebenarnya, saya pun tak perasan berapa usia Shiha tetapi ternyata Shiha tidak nampak tua, itu cuma angka. Lagi pun saya tiada masalah dengan isu itu sebab ramai kawan perempuan yang saya kenali pun ada yang lebih tua tetapi kami tetap mesra,” sambut Andi dalam ketawa kecil.

Tambah Andi, mereka berdua mempunyai karakter riang yang sama, jadi cabarannya lebih kepada nak sentiasa gelak walau pun sedang dalam babak sedih.

Mengakui kata-kata Andi, Shiha berkata sifat humornya menjadikan mereka berdua dapat melengkapi antara satu sama lain, tidak kira usia. “Janji kami ada ‘chemistry,” kedua-duanya bersependapat.

Dan kerana sifat itu juga, baik Andi mahu pun Shiha berharap dapat diberikan watak antagonis yang dapat mencabar kebolehan masing-masing

“Saya impikan watak seorang yang psiko yang orang tak sangka adakah itu Shiha,” ujar Shiha riang.

Sementara Andi pula berharap dapat melakonkan watak antagonis seperti seorang lelaki yang merampas kekasih orang, 

“Itu satu watak yang saya harap dapat lakonkan,” katanya dalam ketawa kecil.



Berlainan pula dengan Hafidz Rosdi (gambar atas, kiri) yang melahirkan rasa terujanya kerana setelah sekian lama memegang watak klise sebagai lelaki yang baik beliau kini buat pertama kalinya diberikan watak lelaki psiko dalam ‘Perisik CInta Tak Diundang’.

“Tak sabar saya nak menonton lakonan saya sebagai seorang pemarah dan psiko. Ini pertama kali saya diberi peluang menjerit marah. Lega rasa dapat keluarkan segala isi hati,” ujar Hafidz.

Baginya setiap pelakon memang mempunyai keinginan untuk mencabar diri dengan pelbagai watak.



“Alhamdullilah, saya dah dapat memegang watak antagonis dan tak sabar mendapat reaksi penonton,” tambah Hafidz sambil meluahkan perasaan puas hatinya diberi peranan memegang watak sedemikian yang menjadi idaman setiap pelakon.

Apa pun, untuk mengetahui apa kah hati Shiha Zikir sudah dimiliki dan tidak terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga dan siapakah yang sedang merisiknya? 

Anda perlu menonton drama bersiri terbaharu di TV3 terbitan Orange Tree Production  ini untuk mengetahui jawapannya mulai hari ini, 21 September 2021 pada Isnin hingga Jumaat ya! - KitaReporters


Antara babak drama "Perisik Cinta Tak Diundang'.

14
8
0
17
1

Copy Link: