Kerana Ku Mau: Aizat Amdan pilih berpasangan orang seberang!
Published bySELEPAS jantungnya berdegup angkara penyanyi Bunga menerusi lagu Dup Dup kini Aizat Amdan beralih arah kepada orang lain pula. Pilihan Aizat bukan bunga tempatan, sebaliknya beliau lebih senang memetik bunga seberang sebagai teman kolaborasi. Kali ini Aizat memilih untuk berpasangan dengan bekas peserta akhir rancangan realiti Rising Star Indonesia, Hanin Dhiya menerusi lagu Ku Mau. : KitaReporters
Aizat cipta lagu Ku Mau sewaktu berada di Sweden. Kredit: IG Aizat
Ku Mau ditulis oleh Aizat, Anas Amdan, Yeshua Abraham (Indonesia), Melanie Wehbe (Sweden) dan Elias Naslin (Sweden).
Single ini mengisahkan tentang dua insan yang bercinta pada jarak jauh. Walaupun berbeza negara, namun jejaka itu sanggup datang untuk menemui dan melamar kekasihnya.
Ku Mau juga menerapkan kesungguhan pasangan ini untuk
menjayakan kisah cinta mereka.
“Sebagai penyanyi dan penulis lagu, saya memang
mengimpikan untuk mengembangkan karya saya dan berkolaborasi demi mendekati
pendengar seluruh dunia.
“Single ini merupakan langkah pertama gabungan saya bersama Melanie sebagai komposer, Elias selaku penerbit, komposer dan jurutera.
"Sementara Yeshua pula, sebagai penulis lirik bahasa Indonesia, dan Malaysia pula lirik oleh Anas yang juga bertindak sebagai penerbit dan komposer.
“Objektif utama kolaborasi ini adalah untuk membolehkan
saya melebarkan sayap sebagai penyanyi dan komposer. Rentak lagu ini bersahaja
dan sesuai buat semua golongan muda dan tua,” jelas Aizat.
Aizat dan Hanin Dhiya harap lagu Ku Mau dapat mengeratkan hubungan antara dua negara.
Tambahnya, lagu ini berkonsepkan cinta yang luas dengan
bait-bait lirik jenaka dan serius serta romantis. Dalam masa yang sama
membuatkan ia sesuai untuk segala keadaan good vibes.
“Saya sangat gembira apabila Hanin Dhiya sudi menjadi
teman duet, justeri menaikkan lagi taraf lagu ini dengan kehadiran vokalnya
yang merdu itu.
“Keserasian antara kami, amat senang dan menjadikan lagu ini lebih berwarna-warni.
"Saya harap pendengar akan jatuh cinta dengan lagu ini dan mampu menujukan lagu ini kepada orang tersayang,” harap Aizat.
Hanin Dhiya merupakan bekas program realiti Rising Star Indonesia.
Sementara itu, kata Hanin, Ku Mau merupakan single
pertama nyanyiannya yang tidak menjurus kepada patah hati. Katanya, sejak
pertama kali mendengar lagu tersebut, beliau sudah jatuh cinta.
“Sewaktu Aizat di Sweden lagi, dia sudah memperdengarkan lagu ini kepada saya dan sejujurnya saya jatuh cinta dengan rentaknya.
"Asalnya, lagu ini berbahasa Inggeris dan saya tidak sangka lagu ini diadaptasi kepada bahasa Malaysia dan Indonesia. Malah dijadikan single untuk dendangan saya dan Aizat.
“Saya senang sekali dapat bekerjasama dengan Aizat kerana dia seorang yang baik dan peramah.
"Harap kerjasama ini dapat membawa kelainan dan mengeratkan lagi hubungan muzik antara Indonesia dan Malaysia,” kata Hanin penuh harapan.
Ku Mau merupakan terbitan Kasi Gegar Entertainment dan edaran Warner Music Malaysia boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox KKBox, Deezer dan iTunes mulai Jumaat, 26 Jun 2020. : KitaReporters.
Lagu Ku Mau berkisar tentang percintaan jarak jauh.