Berita Terkini| Gandum naik harga? Tular cerita harga naik mulai 1 Julai! KPDNHEP nafi berita!
Published by
Gambar hiasan... KPDNHEP nafi dakwaan berhubung kenaikan harga gandum di pasaran mulai 1 Julai 2021. - Kredit foto: sususejat.com
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan dakwaan
berhubung kenaikan harga tepung gandum di pasaran mulai 1 Julai 2021 ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya tidak memberi kelulusan kepada mana-mana pengilang untuk menaikkan harga tepung gandum.
“Setakat ini, kementerian hanya terima satu permohonan daripada pihak pengilang untuk naikkan harga tepung gandum tanpa subsidi dalam pek 1 kilogram (kg) dan pek 25 kg.
“Bagaimanapun, berdasarkan syarat khas lesen mengilang di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, semua pengilang tepung perlu dapatkan kebenaran Pengawal Bekalan sebelum naikkan harga jualan tepung gandum.
“Oleh itu, dakwaan berhubung kenaikan harga tepung gandum mulai 1 Julai ini adalah tidak benar,” katanya yang dipetik laporan Utusan Malaysia pada 22 Jun 2021.
Dalam perkembangan sama, Alexander turut menafikan kenaikan harga tepung melibatkan jenis atau produk tertentu termasuk membabitkan tepung bersubsidi.
“Harga tepung
gandum bersubsidi adalah masih pada harga ditetapkan kerajaan iaitu RM1.35 per
paket 1kg. Mengikut rekod, terdapat 11 kilang mengeluarkan dan menjual enam
jenis tepung gandum yang disubsidi oleh kerajaan,” ujarnya. - KitaReporters