Dibelasah Kuwait 4-1! Moral Harimau Malaya terjejas! Namun sabar! Ini satu eksperimen Cheng Hoe!
Published bySYAFIQ Ahmad (kiri) bersaing dengan kapten Kuwait, Fahad Al-Alabraim, turut sempat menguji kubu lawan. - Kredit foto: FAM
HANYA satu perlawanan persahabatan yang lebih berupa eksperimen dan latihan namun keputusannya, Malaysia 1 - Kuwait 4!
“Moral pasukan terjejas dan pemain pasti berasa kecewa. Saya dan barisan jurulatih pun tidak berpuas hati. Pasukan belum capai tahap terbaik,” kata ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
Perlawanan yang bukan bertahap 1 antarabangsa dan di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu dilangsungkan di gelanggang berkecuali, Stadium The Sevens, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak
KESEBELASAN utama Malaysia pimpinan Aidil Zafuan Radzak (belakang, dua dari kiri) menentang Kuwait di Stadium The Sevens, Dubai, UAE. Penjaring gol tunggal, Guilherme de Paula (belakang, tiga dari kanan). - Kredit foto: FAM
Bolehkah dimaafkan dan dikompromi buat sementara dulu? Maklumlah agak lama 'berkarat'.
Inilah aksi pertama antarabangsa Harimau Malaya sejak ‘berkurung’ di tanah air sahaja gara-gara Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac 2020 hingga Mac 2021 lalu.
Kali terakhir skuad Cheng Hoe ini beraksi ialah menewaskan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 November 2019.
Kuwait kini di ranking ke-148 dunia dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berbanding Malaysia, 153.
“Saya hendak tengok pemain-pemain bangkit daripada kekalahan ini dan mengembalikan semangat kerjasama dan sepasukan yang sebenar.
“Ada jurang yang besar prestasi pasukan negara dalam separuh masa pertama dan kedua,” kata Cheng Hoe.
TAN Cheng Hoe bertekad melihat kemajuan Harimau Malaya apabila menentang Bahrain, 28 Mei 2021 ini biarpun menyedari lawan di ranking dunia lebih tinggi berbanding Kuwait. - Kredit foto: FAM
Terdapat 12 pertukaran pemain Malaysia dilakukannya daripada senarai 25 pemain yang dibawa ke Dubai bagi menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Kumpulan G.
Dalam baki pusingan kedua kelayakan ini, skuad Cheng Hoe akan berdepan UAE pada 3 Jun 2021 di Stadium Zabeel, Dubai diikuti Vietnam (11 Jun 2021) dan Thailand (15 Jun 2021) - kedua-duanya di Stadium Al Maktoum, Dubai.
Hanya bek kanan dan sayap kanan, Matthew Davies dan Safawi Rasid direhatkan daripada menentang Kuwait pada semalam, Ahad, 23 Mei 2021. Al Azraq (Si Biru) menduduki tempat kedua Kumpulan B kelayakan ini.
PERSAINGAN bola di udara di depan gawang Malaysia (kuning) dikuasai pemain-pemain Kuwait. - Kredit foto: FAM
Skuad negara bermula dengan Farizal Marlias (penjaga gol), La’Vere Corbin-Ong (bek kiri), Aidil Zafuan Radzak, Irfan Zakaria (bek tengah), Rizal Ghazali (bek kanan), Nor Azam Azih, Brendan Gan, Syamer Kutty Abba (perantara), Akhyar Rashid (sayap kiri), Mohamadou Sumareh (sayap kanan) dan Guilherme de Paula (penyerang).
Pelawat ketinggalan 1-0 dengan jaringan rembatan deras kaki kiri Ahmad Aldhefeery dari luar kotak penalti pada minit ke-21.
Malaysia sempat menyamakan kedudukan menerusi de Paula, tujuh minit kemudian yang menyudahi hantaran Corbin-Ong dari sebelah kiri dan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga rehat.
Tiga gol Kuwait menyusul dengan tandukan Fahad Alhajeri pada minit ke-55 dan tiga kali penjaga gol gantian negara, Khairulazhan Khalid tertewas termasuk dengan gerakan Shabaib Alkhaldi (61) dan Fahad Al-Alabraim (68).
LIRIDON Krasniqi (10) diturunkan dalam babak kedua pada penampilan sulungnya sebagai penyerang naturalisasi Malaysia. - Kredit foto: FAM
“Saya akan analisis balik apa kelemahan pasukan sesudah beri peluang kepada hampir semua pemain bermain.
“Daripada perlawanan ini, kami boleh tahu gambaran pemain kesebelasan utama. Masih ada masa untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kekuatan sebenar pasukan,” katanya.
Harimau Malaya masih sempat menguji kubu Kuwait menerusi Akhyar dan penyerang remaja, Luqman Hakim Shamsudin selain Syafiq Ahmad serta Arif Aiman Hanapi namun penjaga gol lawan lebih tangkas menangkis.
Persahabatan kedua dengan Bahrain di Manama, menanti Malaysia pada 28 Mei 2021 ini. Al-’Ahmar (Si Merah) kini di anak tangga kedua Kumpulan C di belakang Iraq, malah masih tanpa kalah dan mengumpul sembilan mata selain menghuni ranking ke-99 dunia. - KitaReporters
ARIF Aiman Hanapi (25) melepaskan rembatan bola sekalipun cuba dikekang pemain Kuwait. - Kredit foto: FAM