Berita Terkini| Ugut dalam medsos nak langgar petugas SJR! Akhirnya makan diri! Diberkas polis!
Published byMAKAN diri apabila tindakan wanita yang mengeluarkan kata-kata kesat dalam media sosial kepada petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) akhirnya diberkas polis.
TINDAKAN seorang wanita yang memuat naik kata-kata kesat dan berunsur ugutan ditujukan kepada petugas sekatan jalan raya (SJR) dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini akhirnya memakan diri sendiri apabila suspek diberkas oleh polis pada Khamis, 6 Mei 2021.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, suspek yang menggunakan nama Diana Mat itu mengeluarkan perkataan tidak sopan selain menujukan ayat berkenaan kepada petugas SJR di Putrajaya.
"Antara yang ditulis wanita tersebut dalam akaun media sosialnya adalah 'aku pusing balik rempuh korang' dan 'kau dengan penjenayah sama je'.
"Siasatan awal mendapati sebelum laporan polis dibuat, telah tular beberapa tangkap layar (screenshot) dalam media sosial hantaran pengguna Facebook tersebut dengan menggunakan perkataan kesat dan berunsur ugutan kepada pihak polis," katanya menerusi kenyataan di Putrajaya pada Jumaat, 7 Mei 2021.
Suspek yang merupakan pemilik akaun Facebook berkenaan ditahan polis kira-kira jam 9 malam Khamis, 6 Mei 2021.
"Polis telah merampas peranti berupa telefon bimbit milik wanita tersebut yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran dalam Facebooknya.
"Suspek akan dibawa ke hadapan Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi meneruskan siasatan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan (menakutkan secara jenayah), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (mengaibkan dengan niat hendak mendatangkan bangkitan marah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (menggunakan perkhidmatan rangkaian dan komunikasi secara tidak wajar).
Sehubungan itu Mohd Fadzil menasihatkan pengguna media sosial yang lain supaya berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter
FADZIL berkata suspek kini ditahan dan bakal dihadap ke Majistret bagi mendapat perintah tahanan.