TIADA halangan daripada rakan-rakan lain dari kumpulan Zayne, sebaliknya Muhammad Furqan Fawwaz Salleh, 23, mendapat sokongan daripada mereka untuk bergerak solo. 

Penampilan solo Muhammad Furqan Fawwaz atau mesra dengan panggilan Fawwaz itu bukan bermaksud, beliau meninggalkan kumpulan Zayne tapi sekadar menjayakan projek khas bersama Smart Audio Visual (M) Sdn. Bhd.

Untuk projek khas ini, Fawwaz menjadikan single Nusaibah sebagai caturan perjalanan seninya. Lagu ciptaannya dan lirik oleh Ustaz Muhammad Izzat Mohd Ropi (UMI) itu telah dimuat naik di saluran YouTube Smart Audio Music sejak 27 September 2021 dan diikuti dengan lirik video lagu yang dimuat naik dalam YouTube miliknya.


Lag cerita-cerita menarik berkaitan


Furqan Fawwaz tampil dengan single solo berjudul Nusaibah.



Bercerita tentang pembikinan lagu Nusaibah yang dirakam di Smart Audio Studio, Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor itu, Fawwaz berkata, untuk projek tersebut, beliau mendapat sokongan penuh daripada anggota kumpulan Zayne.

“Kami anggota Zayne bebas untuk melakukan projek solo masing-masing. Ada juga ahli lain yang menyanyi dengan orang lain. Mana-mana tawaran kami akan ambil dan masing-masing terbuka untuk itu. Bila ada projek bersama, kita nyanyi sama-sama, bila ada projek solo makna itu rezeki masing-masing.

“Saya mendapat tawaran untuk rakam lagu Nusaibah ini daripada Audio Studio supaya lagu ini boleh pergi jauh. Asalnya masa buat lagu Nusaibah ini saya anggap biasa-biasa saja sebab ia lagu nasyid, tertanya juga ada lagi ke peminat nasyid. Itu saja tanggapan saya dan tak sangka rezeki saya untuk membawa lagu ini pergi jauh lagi,” kata Fawwaz.


Mendapat sokongan daripada anggota Zayne yang lain untuk Furqan Fawwaz muncul projek solo.


Menurutnya, Ustaz Mohd. Izat, penulis lirik lagu Nusaibah merupakan guru disiplinnya sewaktu belajar di sekolah Tahfiz Al-Furqan dan idea asal untuk hasilkan lagu tersebut dicetuskan oleh Ustaz Mohd. Izat juga.

“Ustaz Izat dulu mengajar di sekolah ayah saya, Sekolah Al- Furqan waktu saya berusia 12 – 13 tahun, dia guru disiplin saya. Bila dah besar ni baru jumpa balik Ustaz Izat, itupun atas usaha ayah. Ayah adalah Pengetua Tahfiz Darul Furqan atau Mudir, dan dia adalah guru kepada Ustaz Izat.

“Setiap hari ayah tengok saya asyik menyanyi di rumah, dia kata saya kena buat lagu sendiri. Jangan nyanyi kosong dan sebab itu dia hubungi Ustaz Izat, minta ustaz buatkan lirik lagu untuk saya.

"Ustaz WhatsApp saya dan bagi lirik, kemudian saya pun buat melodi dengan gaya tarannum Jiharkah. Asalnya saya tak ambil serius sangat untuk jadikan lagu Nusaibah ini komersial hingga perlu buat promosi dan video muzik. Bagi saya cukup untuk kepuasan diri tapi siapa sangka rezeki, lagu ini boleh diketengahkan,” ceritanya.


Wan Nur Azlin tampil dalam video muzik ini bagi menjayakan watak Nusaibah.


Tatkala ditanya kenapa memilih Nusaibah dan bukan pejuang Islam lain untuk dikongsi kisah mereka bersama orang ramai, kata Fawwaz, beliau mempunyai sebab tersendiri untuk berkongsi kisah perjalanan hidup Nusaibah.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Al-Quran dan Qiraat dari Universti Al-Azhar, Mesir itu menjelaskan, beliau memilih untuk mengangkat cerita Nusaibah kerana wanita itu merupakan seorang mujahidah (pejuang wanita) yang pernah mengikuti beberapa siri peperangan bersama Rasulullah SAW dan berharap kisah hidup Nusaibah ini boleh dijadikan teladan kepada wanita lain.

“Nusaibah ini bukan calang-calang tokoh. Dia adalah wanita Islam yang 100 peratus hidupnya untuk Islam. Dia bukan saja korban dirinya dalam peperangan, bahkan dia korbankan anak-anaknya juga. Dia tak biarkan anak-anaknya duduk di rumah, sebaliknya menggalakkan anak-anaknya pergi berperang.

“Kita pula sekarang ini, ada sesetengah ibu bapa terlalu sayangkan anak, sampai jangan sentuh anak aku. Sekarang ini kalau ada orang yang berani sentuh (tegur) anak orang lain, silap hari bulan kena saman. Tapi lain caranya dengan didikan Nusaibah, dia biarkan anak-anak pergi berperang, biar mati syahid.

Cuma sedikit sedih tentang Nusaibah ini, dia nak sangat mati syahid sampai dia sertai peperangan, dia lindung Nabi masa perang Uhud, terputus tangannya, badannya penuh dengan birat kena pedang untuk melindungi Nabi. Tapi dia sendiri tak dapat mati syahid dalam perang. Dia dapat syahid yang lain,” jelas Fawwaz tentang kehebatan Sayyidatina Nusaibah binti Kaab al-Ansari sehingga diberikan gelaran Ummu Imarah.


Furqan Fawwaz juga mencipta lagu selain menyanyi.


Memandang agak lama tidak melakukan aktiviti rakaman di studio, Fawwaz akui pada awalnya, beliau agak resah untuk mendapatkan feel. Namun dengan kerjasama yang baik daripada jururakam iaitu Amin Nordin serta sokongan kuat penerbit iaitu Brosyam, rakaman lagu Nusaibah dapat disiapkan dalam tempoh dua hari saja.

Kata Fawwaz, untuk video muzik Nusaibah, pelakon Wan Nor Azlin yang berpengalaman dalam bidang lakonan itu diberi tanggungjawab untuk melakonkan watak Nusaibah.

“Video muzik menampilkan jalan cerita mengikut lirik. Kita cuba masuk dalam cerita Nusaibah yang ada dalam sejarah. Kita masuk bagaimana Nusaibah di medan perang Uhud, begitu gagah membunuh tentera kafir dan bagaimana dia terputus tangan, pun kita cerita. 

"Pelakon yang melakonkan watak Nusaibah sangat bagus lakonannya. Kalau orang tengok mesti terkesan dengan cerita Nusaibah,” jelas peminat Maher Zain itu.


Anggota kumpulan Zayne tak halang Furqan Fawwaz untuk tampil solo.


Fawwaz yang pernah tampil dengan lagu Lembaran Juzuk Cinta bersama Halim Ahmad sebelum menyertai kumpulan Zayne berkata, seandainya ada lagi tawaran untuknya menjayakan projek solo, beliau tidak akan menolak.

“Sebelum tertubuhnya Zayne, saya memang aktif dalam IG (Instagram) sebagai penyanyi solo dan ada single berjudul Lembaran Juzuk Cinta, duet bersama Halim Ahmad. Hingga kini lagu itu telah mendapat lebih 1 juta tontonan dalam YouTube.

“Malah sebelum menyertai Zayne, saya pernah sertai beberapa kumpulan nasyid dan pernah menyanyi dengan Rabbani. Masa tu arwah ustaz Asri ada lagi sebab anaknya belajar sama dengan saya di Tahfiz Darul Furqan. 

"Masa kecil, saya bersama kawan-kawan ada kumpulan Furqan Junior. Masa di Mesir pula, saya ada kumpulan juga tapi bukan jadi penyanyi sebaliknya sebagai pemain gitar,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.


Sering berkongsi ilmu dengan peminat dalam media sosial.


Anak ketiga daripada enam beradik yang merupakan tenaga pengajar di Tahfiz Darul Furqan, Gombak, itu bakal bergelar ayah kerana isteri kesayangan, Haziraton Najihah dijangka melahirkan anak sulung mereka pada November 2021 ini.

Beliau yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia 13 tahun, sering menggunakan kelebihannya itu untuk mengajar al-Quran dalam bidang seni iatu taranum di Bigo Live, Instagram Live dan sering memuat naik posting beliau bertarannum dalam media sosial.

Lagu Nusaibah, edaran Saudagar Seni itu juga boleh didengari di seluruh digital platform muzik antaranya, Spotify, Joox, Apple Music, KKBox dan Deezer. - KitaReporters


Bersama isteri tercinta yang dijangka melahirkan anak sulung mereka pada November ini.

22
13
0
8
0

Copy Link: