Che Nordin (tengah) turut membantu memasak gulai kawah daging di dapur KRT Suadamai sambil diperhatikan oleh seorang penduduk komuniti itu, Mhd Shah Abdul Hamid (kiri).


KAWASAN Rukun Tetangga (KRT) Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) di Cheras, Selangor, menyantuni komuniti seperti diaspirasikan konsep Keluarga Malaysia apabila mengagihkan 100 paket gulai kawah daging dalam Program Iftar Ramadan bagi tahun keempat pada 9 April 2022 lalu.

Penyediaan gulai kawah daging berkenaan adalah daripada wang peruntukan yang sedia ada dan sumbangan orang ramai selepas dilancarkan kempen infak untuk program itu sebagai memberi peluang komuniti berkongsi rezeki awal bulan April 2022 ini.

Setiausaha KRT berkenaan, Che Nordin Ismail, berkata dengan sumbangan infak yang terkumpul itu KRT menggunakannya untuk membeli bahan mentah membuat gulai kawah daging berkenaan dan menu lain untuk empat minggu berturut-turut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan KRT Suadamai

Seorang komuniti Suadamai BTHO, Abdul Hamid Ahmad (kanan) menerima sumbangan iftar Ramadan daripada Ahli Jawatankuasa Keselamatan KRT Suadamai, Ali Idrus dalam majlis agihan Program Iftar Ramadan pada 9 April 2022.


Menurutnya, walaupun juadah iftar itu tidak seberapa tetapi besar ertinya kepada KRT kerana dapat memupuk budaya kongsi rezeki dalam kalangan komuniti kerana selagi situasi pandemik Covid-19 belum reda masih ada antara kita dihimpit masalah perbelanjaan harian.

Jelasnya, sekurang-kurangnya juadah iftar itu dapat menampung menu berbuka keluarga tertentu yang mungkin tidak mampu untuk berbelanja di pasar Ramadan apabila harga makanan dijual terlalu tinggi bagi mereka apabila hilang sumber pendapatan kerana pandemik Covid-19.

“Untuk tahun ini sebagai menghargai sumbangan bakti pihak berkuasa di BTHO, KRT akan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama-sama anggota pasukan berkenaan yang didahulukan dengan anggota bomba pada Ahad 10 April 2022 lalu dan Polis Komuniti BTHO pada minggu akan datang.

“Dalam tempoh dua tahun lalu KRT tetap meneruskan program ini walaupun dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19 bagi meringankan bebanan keluarga dalam komuniti Suadamai,” katanya ketika ditemui pada majlis ringkas agihan juadah iftar Ramadan itu.


Anggota bomba BTHO turut diraikan KRT Suadamai dalam majlis berbuka puasa sebagai menghargai jasa pasukan itu.


Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Keselamatan KRT berkenaan, Ali Idrus yang turut hadir pada majlis berkenaan, melahirkan rasa gembira dapat berkongsi rezeki dengan keluarga dalam kalangan komuniti Suadamai untuk menikmati juadah iftar Ramadan.

Menurutnya, program itu juga secara tidak langsung menunjukkan KRT sentiasa prihatin terhadap permasalahan keluarga dalam komuniti Suadamai khasnya apabila dihimpit pelbagai kesulitan berikutan pandemik Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya.

“Kami berharap dapat meneruskan program menyediakan iftar ini sampai ke penghujung Ramadan dengan menyediakan pelbagai menu berbeza setiap minggu supaya ahli keluarga komuniti berasa gembira serta bersyukur menikmati juadah itu apabila berbuka,” katanya. - KitaReporters


Che Nordin (dua dari kiri) menghulurkan sumbangan iftar Ramadan kepada seorang komuniti Suadamai.

30
19
0
13
1

Copy Link: